Jumaat lepas saya telah membuat artikel bertajuk HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Tok Pulau Manis, Syarif Muhammad al-Baghdadi dan pengembalian sistem khalifah menceritakan aktiviti hari Khamis acara kelima HIKMAH. Hari ini Khamis pula saya mahu menceritakan aktiviti hari selepasnya iaitu pada siang Jumaat.
Pagi Jumaat 7 Jun 2013 bersamaan 28 Rejab. Acara dimulakan dengan persembahan qasidah memuji peribadi junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW oleh pelajar Madrasah al-Hidayah, Kuala Terengganu.
Malam sebelumnya iaitu malam Jumaat saya, isteri dan anak-anak sempat bertandang mendengar mereka mengalun-alunkan qasidah indah di tempat mereka berdekatan Pantai Batu Burok. Kelihatan di sini pengetua mereka Ustaz Mustaffa Kamal memberikan tausiyah ilmu berkenaan relevannya qasidah juga tentang kepentingan ilmu Tasawuf sempena tajuk kecil acara : "Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu".
Antara hadirin yang ada pagi itu.
Ramai yang memakai jubah sempena hari Jumaat yang mulia...
Selepas jam 10.30 pembentangan pertama pun dimulakan oleh Sheikh Halit Osmanli, seorang warga Singapura, pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah yang kini menetap di Johor Bahru. Tajuk pembentangan adalah "Tasawwuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah".
Beliau yang memiliki titisan darah pejuang lama Turki bercerita panjang lebar tentang empayar Uthmaniyah yang pernah berpusat di Istanbul, Turki. Empayar yang mula terkenal setelah berjaya menakluki pusat kerajaan Byzantium atau Kristian Rom Timur iaitu Konstantinople (kemudian ditukar nama menjadi Istanbul) tahun 1453 Masihi itu muncul sebagai kuasa Islam paling kuat di dunia lalu menjadi pusat kekhalifahan ummah selama beberapa abad. Sayangnya atas permainan musuh terutama Yahudi ia mulai lemah abad ke 18 lalu jatuh selepas Perang Dunia Pertama 1914-1918. Institusi kesultanannya diluputkan sehingga Turki menjadi sebuah republik sambil segala jajahan takluknya termasuk Baitul Muqaddis difaraidkan di kalangan kuasa-kuasa Barat. Sejak itu umat Islam kehilangan khalifah lalu senang diperkotak-katikkan hingga kini.
Hmm. Untuk penerangan panjang lebar ada eloknya dirujuk artikel Mengenang 88 tahun kejatuhan pemerintahan khalifah Islam yang dibuat di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Artikel ini mengandungi sedutan berkenaan dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?". Sedutan tersebut mengaitkan segala yang berlaku dengan usaha puak Yahudi Illuminati menghapuskan Islam dalam rangka kerja besar mereka untuk menakluki dunia. Lalu kejatuhan khilafah turut dikaitkan dengan usaha penjajahan kuasa-kuasa Barat seperti Portugis dan Belanda untuk menakluki kerajaan-kerajaan di Alam Melayu seperti Melaka dan sebagainya.
Lebih sejam kemudian sampai giliran pembentang seterusnya, Ustaz Razi Yaacob, seorang pensyarah dari Universiti Sultan Zainal Abidin atau UniSza mengambil pentas. Menggunakan tajuk "Sumbangan Tokku Paloh : Membangun Sosial dalam bidang Pengajian Ilmu Agama di Terengganu", beliau bercerita tentang tokoh bertaraf wali yang hidup abad ke 19 hingga 20 itu.
Adapun di kalangan masyarakat banyak yang telah membaca kisah tentangnya, Tokku Paloh sangat terkenal dengan perkara-perkara karamah atau mencarik adat, antaranya dapat menyebabkan seluruh armada kapal British yang sedang berlabuh di luar pantai Terengganu menjadi senget apabila beliau menyengetkan serbannya. Namun pembentangan Ustaz Razi lebih berkisar pada hal-hal sumbangan yang tidak melanggar hukum akal. Sesungguhnya pada usaha dakwah mengembangkan Islam dan ilmu agama yang dikongsikan Tokku Paloh pun sudah ada kehebatan tanpa perlu menunjukkan karamah. Cuma kita sering lebih tertarik pada perkara yang pelik-pelik lalu terlepas pandang atas kelebihan yang ditunjukkan dengan cara 'biasa-biasa'.
Hampir jam 1 acara dihentikan untuk memberi laluan buat orang-ramai bersolat Jumaat secara berjemaah. Saya berehat di luar sehinggalah khutbah mula berkumandang.
Sekitar 3.30 petang gitu baru acara disambung dengan pembentangan bertajuk "Tradisi Gemilang : Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19" oleh saudara Mohd. Zahamri Nizar, seorang aktivis seni rupa Melayu dan ahli penulisan khat.
Ikut jadual asal sepatutnya petang itu diisi dengan pembentangan bertajuk "Tariqat dan Syariat satu kelaziman, Kepentingan Pengijazahan dalam Pengamalan" oleh Dr. Abdul Manan dari UniSZA. Tetapi pada saat-saat akhir beliau diminta mewakili universiti ke satu acara di Kuantan, Pahang.
Zahamri pula sepatutnya membentang kertas kerjanya pada pagi Sabtu. Namun bila ada kekosongan petang Jumaat beliau diminta untuk mengisi.
Setelah memperkenalkan ciri-ciri khas seni mushaf Quran yang berasal dari beberapa tempat di Nusantara/Alam Melayu, ciri-ciri yang membezakan antara satu sama lain baru beliau bercakap panjang lebar tentang naskah-naskah lama dari Terengganu. Adalah sesuatu yang menarik apabila beliau memberitahu, sarjana-sarjana Barat telah meletakkan mushaf Terengganu sebagai setaraf naskah dari Parsi lalu diakui antara yang terbaik dalam seluruh dunia Islam!
Apa yang mengkagumkan adalah seni hiasan pada mushaf memiliki ciri-ciri ketelitian dan ketepatan geometri juga matematikal yang sangat tinggi. Di sini Zahamri cuba meniru hiasan pada satu mukasurat menggunakan sebuah perisian komputer. Ini cuma berjaya ditiru menggunakan teknologi tinggi zaman sekarang sedangkan mushaf yang menjadi rujukan dibuat hampir 200 tahun lalu. Bagaimanakah pelukis mushaf zaman itu dapat menghasilkan karya yang begitu tepat rekaletaknya? Apakah ada menggunakan sejenis alatan lama yang tidak diketahui apa? Atau mereka mampu melukis terus ke atas kertas dengan tepat sepertimana sesetengah pengukir kayu diketahui dapat mengukir terus tanpa membuat walau sedikitpun kesilapan corak dan ukuran yang boleh dilihat mata kasar?
No comments:
Post a Comment