Friday, June 14, 2013

HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Tok Pulau Manis, Syarif Muhammad al-Baghdadi dan pengembalian sistem khalifah

Salam Jumaat. Sekarang masuklah kita pada penceritaan hari seterusnya tentang HIKMAH V. Kalau dikira pada tarikh Gregorian atau menurut kalendar Mat Saleh, hari seterusnya adalah Khamis 6 Jun 2013 sedangkan acara sudah bermula pada malam sebelumnya 5 Jun. Maka itu ia boleh dikira hari kedua. Tapi kalau menurut kiraan Islam, acara pada malam sebelumnya berlaku 27 Rejab, sama tarikh dengan siang Khamis. Ini kerana menurut kalendar Islam hari baru bermula sebaik sahaja masuk Maghrib. Apapun hari itu adalah hari sambutan Isra' dan Mi'raj, malam sebelumnya malam Isra' dan Mi'raj. Maka biarlah cerita bersambung dari artikel HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham.


Awal pagi Khamis, saya sudah bersiap memakai sepasang baju Melayu, bersampin, bertanjak dan berkeris. Bersama keluarga juga seorang rakan perempuan dan anaknya, kami telah bermalam di kuarters dalam kawasan Masjid Makmur. Walaupun kaki bersimen separuh dan berbungkus, walaupun harus berjalan berpapah tongkat kiri dan kanan, sebagai pengasas HIKMAH saya rasa patut berpakaian begini untuk hari itu. Saya dijadualkan akan membuat sedikit kata-kata pengenalan juga pembentangan. Berbusana begini adalah salah satu konsep yang ingin diwar-warkan HIKMAH kepada setiap anak Melayu.


Namun belum sampai masa saya ke masjid lagi. Sebaliknya saya keluar menuju ke satu kawasan di pinggir pusat bandar raya Kuala Terengganu.


Imam masjid, Ustaz Khairul Azhar membawa saya masuk ke ruang siaran langsung radio RTM.


Kami telah dijemput untuk bercakap tentang HIKMAH V di radio FM Terengganu 8.30-9 pagi. Kemudian kami meluangkan sedikit masa bersama kakitangan di sana.


Sekitar 9.20 baru kami kembali ke masjid.


Kalau ikut jadual asal jam 9 pagi lagi harus sudah bermula perasmian oleh Dato' Zuber Embong, bekas ahli parlimen Kuala Terengganu yang merupakan seorang anak cucu Tok Pulau Manis, wali besar Terengganu abad ke 17 Masihi. Tapi kami kemudian diberitahu beliau akan bertolak menaiki pesawat dari Kuala Lumpur penerbangan jam 8.20 ke 8.40 saya dah lupa. Atas sebab itu saya dan ustaz Azhar merasakan kami ada masa untuk memenuhi jemputan RTM untuk bersiaran langsung bercakap tentang HIKMAH 8.30-9. Namun apabila kami kembali ke masjid, bukan sahaja Dato' Zuber belum muncul, orang yang ada dalam masjid pun cuma beberapa kerat.

Mungkin ini disebabkan tiada siapa cukup pandai untuk menghidupkan majlis ketika kami berada di RTM. Saya pun mengambil microphone atau pembesar suara lalu mula memberi sedikit pengenalan tentang acara sambil menyelitkan sedikit cerita lain, antaranya tentang karamah Sultanul Awliya, Sheikh Abdul Qadir dalam memberi ceramah ilmu di Baghdad 900 tahun lalu, sehingga ratusan ribu orang dikatakan memeluk atau memperbaharui Islam di tangan beliau. Setelah beberapa lama saya mendapat berita. Dato' Zuber  mendapat panggilan saat akhir untuk menghadiri satu mesyuarat penting di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Ini bermakna beliau tidak dapat menghadiri HIKMAH V.


Saya pun meneruskan acara dengan menjemput pembentang dari Kota Bahru, Kelantan, Cikgu Najib agar memulakan bicara. Seperti disebut pada artikel  HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham asalnya pembentangan pertama siang Khamis iaitu selepas pengenalan oleh saya dan perasmian oleh Dato' Zuber adalah mengenai dinar dan dirham oleh Puan Norbaini Hassan, seorang perunding pakar bidang. Tetapi disebabkan perubahan keadaan beliau telah membentangkan kertas kerjanya malam sebelum itu. Maka kertas kerja Cikgu Najib yang harus menyusul kemudian menjadi yang pertama siang Khamis. Beliau yang asalnya dijadualkan membentang 10.45 pun membuka bicara sejam lebih awal.


Kertas kerja beliau bertajuk "Hubungan Syarif al-Baghdadi  dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah  Tok Syeikh Pulau Manis". Cikgu Najib yang berketurunan Tok Pulau Manis, dari satu cabang yang berhijrah ke Kelantan turut memaparkan salasilah berserta kajian peribadi yang telah dibuat selama sedekad gitu. Untuk pengetahuan Tok Pulau Manis berasal dari keturunan satu watak misteri yang dikenali sebagai Syarif Muhammad al-Baghdadi, atau Syarif al-Baghdadi. Dipercayai orang ini berketurunan Saidina Hassan, cucu sulung Nabi. Beliau dikatakan bertanggungjawab menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu.


Cikgu Najib turut menonjolkan gambar sebuah peti logam yang katanya kini berada di London, ingin dijual pada harga berjuta Pound Sterling. Peti itu disebut sebagai peti amal Muhammad al-Baghdadi lalu ada yang percaya ia milik Syarif yang dikatakan pernah bertakhta di Kuala Berang, Terengganu. Atas sebab tertentu baginda dikatakan turun takhta di Baghdad kemudian ke Mekah sebelum membawa diri ke Tanah Melayu. Walaupun peti amal itu dikatakan ditemui di kawasan sekitar Baghdad, peliknya sebahagian ukiran pada dindingnya sangat terang bermotifkan budaya unik Melayu - ada gambar orang bertanjak berkeris dan sebagainya.


Ketika itu sudah ada ramai pendengar atau peserta memeriahkan acara.


Walaupun tidak seramai pada acara-acara HIKMAH sebelum ini suasana masih terasa cukup meriah dan berseri.


Mungkin orang tidak berapa ramai kerana Isra' dan Mi'raj bukan hari cuti di Terengganu? Lagipun ini adalah kali pertama acara HIKMAH diadakan lebih dari satu hari. Mungkin orang ramai mahu menumpukan pada hari lain, mungkin hari terakhir iaitu Sabtu?


Selepas itu sampai giliran saya membuat pembentangan bertajuk "Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu". Ia merujuk pada kajian peribadi saya mengaitkan Syarif Muhammad al-Baghdadi dengan seorang keturunan Rasullah SAW yang dikenali sebagai Muhammad Nafs al-Zakiyah, anakanda kepada seorang bangsawan bernama Abdullah bin Hassan al-Muthanna bin Saidina Hassan. Kajian yang pernah dimasukkan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit November 2007 ini telah dikutip dan dikembangkan ramai pihak termasuk Cikgu Najib sendiri. Lihat sedutan yang diletakkan dalam artikel lama Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!.


Dalam keadaan kaki saya cedera retak dan baru seminggu dibedah masuk besi lebih senang saya membuat pembentangan sambil duduk di pinggir pentas, bukan di kerusi atau berdiri di atas rostrum. Ini menerbitkan suasana lebih santai sambil menyenangkan diri saya. Disebabkan pembentangan Ciku Najib mengambil masa agak lama saya cuma dapat memulakan persembahan selepas jam 12.30. Ini menyebabkan saya harus berhenti  untuk solat Zuhur dan makan tengah hari. Selepas itu baru disambung penyampaian dalam 10-15 minit semata-mata untuk menerangkan isi mukadimah satu penulisan yang saya terima ketika pertama kali sampai di makam Tok Pulau Manis, 15 km dari Kuala Terengganu tahun 2003. Beginilah isi yang telah saya ringkaskan sedikit lalu dimasukkan ke dalam buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?"...

Segala puji-pujian itu bagi Allah, Tuhan semesta alam.. Selawat dan salam ke atas Rasulullah Salallahualaihiwassalam dan Ahlil Baitnya, Saidina Abu Bakar dan Khalifah-khalifah Rasulullah, Saidina Ali Karamallahuwajha, Saiditina Fatimah Al-Zahrah, Al-Hassan, Al-Hussein dan Salman Al-Farisi.

Menjunjung kemuliaan Khalifah-khalifahmu Paduka Sharif Muhammad dan Paduka Sharif Al-Kubra Sheikh Sharif Abdul Malik Tok Pulau Manis, kedua-dua kota sucimu di kawasan Timur jauh. Dan kami bermohon bergantung padaMu dan berwasilah kepada Rasulullah SAW kepadaMu. Adapun kemudian daripada itu, kami berlindung kepadaMu Ya Allah akan pena yang derhaka dan pendustaan dan mengada-adakan sesuatu daripada sesuatu untuk maksud sesuatu.

Kami mohon ditonton oleh umat akan kehadiran keturunan Rasulullah SAW yang disebutkan menjadi khalifah ke seluruh dunia dan setelah gagal dibatalkan oleh Bani Umaiyah dan kaum-kaum Wahabi dan kaum-kaum Ahli Kitab Al-Fasik, Yahudi dan Nasrani dan kaum-kaum derhaka dan ahli siasat dan ahli muslihat…



Selepas itu seorang aktivis, saudara Umar Azmon membuat pembentangan bertajuk "Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini". Beliau yang merupakan penggiat penggunaan matawang dinar dirham dari kumpulan yang dipanggil Murabbitun memilih untuk mengikut cara saya menyampai dari tepian pentas. Kalau ikut jadual asal beliau cuma diberi slot setengah jam, setelah pembentangan lain bertajuk "Wali Songo dan Perkembangan Islam di Nusantara" dibuat oleh Ustaz Halim Bashah, seorang penulis dan pengkaji sejarah dari Kelantan 3-4 petang. Tapi Ustaz Halim pula kurang sihat lalu slot pun diberikan kepada Umar untuk beliau panjangkan.


Kumpulan beliau aktif mencetak dinar dirham untuk diaplikasikan di beberapa tempat di dunia terutama kesultanan-kesultanan kecil di Indonesia. Sambil bercerita sejarah panjang penggunaan dinar dan dirham beliau memasukkan hal-hal penting berkaitan seperti bagaimana kerajaan Turki Uthmaniyah yang merupakan kekhalifahan terakhir umat Islam boleh jatuh akibat tipu-daya musuh yang membelakangkan penggunaan matawang dinar dirham yang dianjurkan Rasulullah SAW.


Saya tertarik dengan langkah-langkah yang diketengahkan untuk menaikkan kembali kedaulatan sebenar Islam. Sesungguhnya memang misi HIKMAH adalah mencari, berkongsi dan mengaplikasikan cara-cara PRAKTIKAL untuk memperkasakan ummah.


Pembentangan Umar tamat sejurus sebelum waktu solat Asar. Selepas itu kami minum petang kemudian meninjau bahagian belakang kanan masjid.


Ia adalah bahagian yang diperuntukkan untuk pameran dan perniagaan sepertimana hal kebiasaan pada acara-acara HIKMAH. Seperti biasa, buku-buku saya turut dijual.






Menarik adalah inisiatif yang diambil Ustaz Azhar iaitu imam masjid dan orang-orangnya untuk membuat dan menjual barangan cenderamata HIKMAH V.


Seorang peserta yang turut berniaga barangan kemudian mengendalikan kelas senaman tua Melayu. Ia tidak ada dalam atur cara. Namun anak muda yang mengamalkan seni Silat  Melayu Keris Lok 9 itu secara sukarela menawarkan untuk mengajar kerana seronok dengan misi HIKMAH mahu mendaulatkan orang Melayu dan Islam.


1 comment:

  1. Alhamdulillah, negara kita ini ramai alim ulama besar zaman silam.

    ReplyDelete