Sunday, September 8, 2013

HIKMAH Merdeka Raya - Dari DNA Melayu ke pencarian makna besar kemerdekaan



Adapun persembahan kompang yang disebut pada penghujung artikel sebelum ini dibuat sambil peserta menikmati juadah waktu rehat makan tengah hari dan solat Zuhur. Selepas itu acara disambung dengan pembentangan kertas kerja tentang DNA Melayu.


Pembentangan oleh Puan Zaharah Sulaiman dari Ikatan Arkeologi Malaysia ini sepatutnya dibuat selepas persembahan teater Islam sebelum tengah hari. Namun hal tertentu menyebabkan ia cuma dapat dimulakan hampir jam 2.


Pada mulanya saya sebagai pengatur isi majlis risau juga bagaimana penerimaan hadirin kerana ditakuti subjek menjadi berat bagi acara HIKMAH kali ini yang mahu diadakan lebih santai berbanding biasa kerana lebih merupakan sambutan merdeka dan raya.











Tetapi saya dapat melihat ia cukup menarik bagi semua dan saya rasa boleh dilanjutkan lama lagi jika tidak kerana ruang harus diberikan untuk pembentangan seterusnya.










Jam 3.30 saudara Shamsul Yunos yang merupakan seorang aktivis media massa membentangkan kertas kerja bertajuk “Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu”.




Ikut rancangan, sesi selepas makan tengah hari dan rehat Zuhur harus dimulakan dengan persembahan alunan syair Melayu dan gurindam oleh penggiat seni Nuqtah jam 2.40, baru diikuti pembentangan oleh Shamsul jam 3. Tapi seperti biasa acara-acara HIKMAH memiliki fleksibiliti di mana pertukaran boleh berlaku secara tiba-tiba tetapi tidak mencacatkan perjalanan keseluruhan acara. Persembahan syair dan gurindam dibatalkan untuk memberi lebih ruang pada pembentangan ilmu yang merupakan intipati utama setiap acara HIKMAH.





Pertukaran jadual yang tak dirancang menyebabkan kertas kerja oleh saya, Radzi Sapiee sebagai pengasas dan presiden HIKMAH cuma dapat dimulakan sekitar 4.15, lewat setengah jam berbanding rancangan asal bermula 3.45. Pembentangan bertajuk “Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai Blue Print Kebangkitan Ummah” dibuat selepas mengumumkan bahawa pelakon veteran Maimon Mutallib yang merupakan seorang penyokong kuat HIKMAH sudah kembali ke rahmatullah sekitar jam 2.20. Mengupas agak lanjut pernyataan yang dibuat berdasarkan hasil perbincangan dari HIKMAH I dan HIKMAH II penghujung tahun lalu ia tamat sekitar jam 4.45. Rujuk artikel lama Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?.


Selepas itu adalah waktu rehat untuk makan petang dan solat Asar. Ia dilanjutkan agak lama berbanding rancangan asal lalu di celah itu saudara Mujiburrizal yang datang jauh dari Aceh membuat satu persembahan nyanyian nasyid yang tidak dirancang. Untuk pengetahuan beliau pernah mempelopori arena nyanyian nasyid bersama kumpulan Raihan sekitar tahun 1990an. Pernah mengikuti dan membuat pembentangan pada HIKMAH II di Melaka beliau kini masih menyanyi di Aceh tetapi lebih banyak menumpukan perhatian pada tugas sebagai duta muzium sana.


Akhirnya sesi berkumpulan yang merupakan salah satu aktiviti teras setiap acara HIKMAH dimulakan jam 5.45 berbanding rancangan sebelumnya di mana ia harus dimulakan jam 5.










Alhamdulillah ia tetap dapat diadakan dalam suasana penuh harmoni apalagi semua sudah berkesempatan mengisi perut untuk waktu petang, berehat dan menunaikan solat Asar.










Sesi berkumpulan dihentikan jam 6.15 lalu moderator setiap kumpulan diminta naik ke pentas untuk merangkumkan maklum balas setiap kumpulan dalam tempoh sekitar 1 minit. 


Oh... tajuk perbincangan adalah “Apakah makna merdeka raya bagi anda?” di mana merdeka raya itu bermaksud merdeka yang besar, mungkin merdeka dari tuntutan hawa nafsu dan sebagainya. Setiap kumpulan diminta memberikan maklum balas apakah makna merdeka raya mengikut bidang kumpulan masing-masing seperti Persilatan, Perkerisan dan sebagainya.


Tamat perkongsian dari setiap kumpulan tiba sesi bergambar...






Tamat sesi bergambar, sampailah masa untuk bersurai...


Ketika itulah saya diingatkan kalau ikut rancangan asal harus ada satu persembahan silat, sekali lagi oleh kumpulan Jejak Panglima yang membawa aliran Silat Harimau Putih (mereka telah membuat satu persembahan pada sesi pembukaan). Persembahan pun dibuat hampir senja. Selesai itu baru HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI betul-betul tamat.


No comments:

Post a Comment