Salam semua. Adapun gambar-gambar ini juga gambar-gambar pada artikel seterusnya telah diletakkan di blogspot pada pagi Ahad 8 September. Rabu malam Khamis 11 September hampir jam 11 baru saya mendapat gerak untuk membuat ceritanya. Mari... :]
Pagi Sabtu 7 September setelah beberapa lama menunggu kedatangan tetamu termasuk dif-dif kehormat majlis HIKMAH Merdeka Raya @ HIKMAH VI pun dibuka dengan Persembahan kompang oleh kumpulan Kesenian Kompang Paluan MIM.
Kumpulan yang berpusat di Rawang ini adalah antara yang paling awal menawarkan diri untuk membuat persembahan secara sukarela pada majlis yang diadakan di Galeri Shah Alam.
Sungguh, persembahan mereka yang boleh membawa pelbagai alunan, dari zikir dan selawat sehingga gabungan lagu-lagu Melayu yang diberi suntikan tarian ala Gangnam Style menarik minat ramai. Dianggotai pelajar sekolah menengah dari aliran pendidikan khas difahamkan kumpulan ini pernah mewakili negeri Selangor dan ada ditonjolkan di TV3.
Ini diikuti persembahan silat dari kumpulan Jejak Panglima yang menonjolkan gerak tangkas dari perguruan Silat Harimau Putih...
Selepas itu saudara Zahamri Nizar dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor memberikan sedikit kata-kata aluan. Untuk pengetahuan pertubuhan ini adalah penganjur bersama HIKMAH VI dan saudara Zahamri atau Zam terlibat secara langsung menjayakan acara.
Pengasas merangkap presiden HIKMAH, saudara Radzi Sapiee kemudian memberikan pengenalan tentang HIKMAH.
Video-video yang meringkaskan acara-acara terdahulu HIKMAH pun ditayangkan.
Seterusnya tetamu kehormat, Profesor Dato' Dr Othman Yatim dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya memberikan kata-kata aluan. Sekali lagi beliau bertindak sebagai perasmi majlis, setelah melakukannya ketika acara pertama HIKMAH dibuat di Kompleks Taman Seni Islam @ Yayasan Restu, Shah Alam 4 November 2012. Kata prof beliau sebenarnya mendapat 2-3 lagi jemputan untuk menghadiri acara pada masa yang sama. Tetapi cendekiawan bertaraf dunia ini memilih untuk hadir ke HIKMAH kerana teruja dengan semangat mahu memperjuangkan kedaulatan Melayu dan Islam.
Perasmian pun dibuat dengan kata-kata ringkas. Masuk giliran anak-anak dari kumpulan Seni Tarian Serumpun membawa tiga bentuk tarian tradisional. Sila klik sini.
Dengan itu tamatlah segmen pembukaan HIKMAH VI. Hadirin diberi masa berehat sebentar lalu ada yang mengambil peluang untuk bergambar.
Sambil itu ada yang berlegar-legar melihat pelbagai jenis pameran...
Kelihatan tersenyum adalah Puan Ain, pengasas rangkaian penjagaan kecantikan Ains Beauty Care. Beliaulah yang bertanggungjawab membawa kumpulan tarian tradisional Seni Tarian Serumpun secara sukarela.
Acara diteruskan dengan sesi pembentangan. Saudara Zam memulakan dengan kertas kerja bertajuk "Hasil Kerja Seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam".
Paling menarik adalah apabila Zam mendedahkan bagaimana sudah wujud usaha jahat orang bukan Melayu untuk menghina Islam dan hak-hak orang Melayu melalui lukisan dan wadah seni. Mungkin sudah sampainya kita menangani ini dengan menghasilkan kerja-kerja yang mengangkat martabat Melayu dan Islam, kerja-kerja seni yang apabila ditatap waima oleh orang tak tidak tahu seni pun boleh menimbulkan rasa atau semangat positif mengangkat jati diri perjuangan yang syumul.
Usaha serupa sebenarnya telah dibuat dalam bentuk seni persembahan budaya oleh segelintir pihak. Selepas pembentangan kertas kerja, ahli-ahli Persatuan Teater Ruhul Islam (PETRI) yang datang jauh dari Kota Bahru, Kelantan pula menyahut seruan perjuangan melalui cara tersendiri.
Kumpulan ini sebenarnya dianggotai ramai pelajar sekolah menengah tetapi tidak dapat hadir kerana sedang bersedia menghadapi peperiksaan PMR. Lihat persembahan yang pernah dibuat mereka pada HIKMAH VI di Bachok, Kelantan, masuk artikel Acara keempat HIKMAH di Bachok 16 Mac 2013. Tetapi atas semangat mahu mengenengahkan unsur-unsur keIslaman dalam seni persembahan beberapa orang ahli yang lebih tua sanggup datang dengan belanja sendiri walaupun tidak menerima apa-apa bayaran.
Persembahan teater sepatutnya diikuti satu pembentangan tentang kajian DNA Melayu. Tetapi disebabkan hal tertentu pembentangnya tidak dapat sampai pada waktu yang ditetapkan lalu masa diisi dengan satu pembentangan lain (dibuat separuh jalan) diikuti persembahan kompang lagi dari kumpulan Kesenian Kompang Paluan MIM. Untuk mengetahu lebih lanjut tentang kumpulan ini sila klik sini.
No comments:
Post a Comment