Salam malam Jumaat. Setelah hampir seminggu acara Festival Ketamadunan dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII dapat dilangsungkan dengan jayanya baru saya terasa boleh bercerita tentangnya. Gambaran tempat ia berlangsung boleh dilihat pada artikel HIKMAH VII bersedia untuk menggegar Hang Tuah Center yang dibuat Jumaat malam Sabtu lalu. Sekarang kita ke acara...
Pagi Sabtu 30 Nov 2013, hadirin mula mendatangi kawasan pusat acara iaitu auditorium Hang Tuah Center.
Antara paling awal sampai adalah kumpulan kompang Paluan Mim dari Rawang, Selangor. Datang secara sukarela untuk membuat persembahan, mereka pertama kali terlibat dengan HIKMAH apabila datang membuat persembahan, secara sukarela juga di HIKMAH VI di Shah Alam 7 Sept. Lihat Acara keenam HIKMAH di Shah Alam 7 Sept 2013.
Sejumlah hadirin terutama pihak urusetia yang didatangkan dari Banting, Selangor kemudian ke hadapan bangunan utama yang berupa istana kesultanan Melaka untuk menyambut tetamu kehormat.
Berbaju batik merah jambu, beliau adalah pengurus besar PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka), Datuk Khamis Abbas. Untuk pengetahuan PERZIM yang merupakan satu badan bawah kerajaan negeri adalah pemilik Hang Tuah Center. Kelihatan di belakang beliau En. Nurman, pegawai yang mengendalikan HTC.
Selepas berhenti sejenak melihat persembahan kompang kami berjalan ke auditorium. Saya sebagai pengasas dan presiden HIKMAH mengiringi di kanan beliau. Turut mengiringi tapi kelihatan di belakang saya adalah Ustaz Mahyuddin pemilik Anjung Hikmah, sebuah badan warisan dari Banting. Beliau bertanggungjawab menganjurkan acara, atas permintaan kumpulan Hulubalang Melayu dari Kuala Langat yang turut menjayakannya.
Kumpulan Paluan Mim mengikut dari belakang sambil mengalunkan lagu-lagu kompang.
Persembahan diteruskan di dalam auditorium...
Cikgu Badrul dari Hulubalang Melayu bertindak sebagai MC.
Ustaz Mahyuddin kemudian dipanggil untuk membaca doa juga sebuah sajak.
Saya pula memberikan pengenalan tentang HIKMAH dan peranan kami sebagai pengisi ilmu bagi acara.
Datuk Khamis memberikan ucapan alu-aluan lalu merasmikan majlis.
Ini diikuti upacara sumpah perjuangan hulubalang diikuti persembahan solo silat oleh seorang guru yang dikenali sebagai Tok Bad.
Orang-orang kuat Hulubalang Melayu menyaksikan dari barisan hadapan.
Urusetia bergambar di luar perkarangan auditorium.
Ketika itu hadirin sedang menikmati jamuan ringan.
Turut bersama adalah kumpulan kuda kepang yang didatangkan dari Banting kalau tak salah. Mereka tidak membuat persembahan kerana kalau dibuat harus mengambil masa tidak kurang 2 jam. Namun mereka tetap menyerikan majlis dengan pakaian yang pelbagai ragam selain mengiringi upacara sumpah hulubalang.
Suasana sekitar jamuan ringan...
No comments:
Post a Comment