Salam. Sudah 5 hari berlalu selepas acara ke-9 HIKMAH iaitu Mutiara HIKMAH berlangsung dengan jayanya di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Rasanya bolehlah dibuat cerita tentangnya.
Sabtu 22 Februari 2014. Orang ramai sudah mula hadir seawal 8.30 pagi ke lokasi acara di Kompleks Tabung Haji.
Ketika gambar ini diambil sudah jam 8.52. Walaupun dinyatakan pada atur cara program bermula 8.45, kami membiarkan dahulu agar mereka yang datang sedikit lewat dapat mengikuti atur cara. Mereka yang hadir awal menunggu sahaja dengan sabar.
Berbanding acara-acara HIKMAH terdahulu kecuali di sekitar Selangor dan Lembah Klang kelihatan majoriti hadirin adalah orang tempatan. Keadaan ini membayangkan semangat membara orang Pulau Pinang untuk menghayati pengisian. Sudah lama acara HIKMAH tidak mendapat penghormatan sebegitu rupa. Ini kerana satu, walaupun HIKMAH telah bertandang ke merata tempat di Semenanjung Malaysia majoriti yang datang adalah orang luar yang sering mengikuti perkembangan HIKMAH di Internet terutama melalui Facebook. Dan sejak acara ke-4 HIKMAH di Bachok, Kelantan 16 Mac 2013 lokasi acara sering kelihatan sepi pada awal pagi, selepas jam 10 baru cukup ramai orang untuk menerbitkan suasana meriah.
Sebagai contoh lihat sahaja acara ke-8 yang diadakan di rumah saya di Sungai Buaya 2 minggu sebelum ke Pulau Pinang. Klik pada HIKMAH VIII di Sungai Buaya - Pagi yang agak sepi. Tajuknya sahaja sudah cukup untuk membayangkan keadaan. Masuk tengah hari baru acara kelihatan hidup...
Keadaan di Pulau Pinang mengingatkan pada 3 acara terawal HIKMAH iaitu pertama di Shah Alam 4 Nov 2012, Melaka 25 Nov 2012 dan Lumut, Perak 27 Jan 2013 di mana hadirin datang begitu awal dengan penuh bersemangat. Beberapa gerai jualan juga sudah didirikan termasuk gerai buku saya.
Setelah terasa hadirin cukup ramai acara pun dibuka dengan laungan azan oleh adik Mohd Shafiq Aiman dari Bayan Lepas. Gambar ini diambil jam 9.20
Laungan azan itu tidak ada dalam atur cara asal. Kalau ikut atur cara majlis dibuka dengan doa selamat jam 8.45 namun ia dilakukan kemudian iaitu pada jam 9.25. Ustaz Mohd. Ikhwan dari Masjid al-Hidayah, Bayan Lepas membacakan doa. Beliau adalah pengerusi jawatankuasa program Mutiara HIKMAH, orang yang bertanggungjawab membawa acara ini ke Pulau Pinang. Dengan kuasa Allah SWT beliau dan beberapa orang rakan dapat menyatukan pelbagai fikrah anak-anak Pulau Pinang yang sesetengah bertentangan arah demi menjayakan majlis yang boleh dikira begitu bersejarah sekurang-kurangnya buat mereka yang dapat menghayati apa itu perjuangan demi mendaulatkan Melayu dan Islam.
Isteri saya, Puan Nor Afidah Yusof yang baru-baru ini dilantik sebagai setiausaha HIKMAH kerana berjasa mengatur kelancaran program demi program sejak HIKMAH diasaskan 12 Okt 2012 pula menjadi MC atau juru acara. Asalnya seorang anak Pulau Pinang mahu menggalas tugas. Tapi pada hari sebelum acara beliau memaklumkan diperlukan di tempat kerjanya pagi hingga tengah hari Sabtu. Lalu isteri saya diminta mengisi kekosongan...
Bacaan doa diikuti persembahan qasidah oleh para pelajar sebuah ma'ahad tahfiz. Maaf saya tak ingat dari mana, samada dari Pulau Pinang atau Kedah sekitar Kulim. Saya cuma dapat merujuk pada catatan ringkas yang isteri saya buat sebagai juruacara. Namun tak dapat pula saya membaca tulisan nama tahfiz tu, kelihatan seperti al-Munawarah tapi saya tak pasti.
Maaf ya jika catatan ini tidak lengkap seperti halnya sebuah laporan berita. Walaupun saya pernah menjadi wartawan akhbar perdana berbahasa Inggeris The New Straits Times 1996-2001 disiplin kewartawanan yang memerlukan saya mencatatkan setiap perincian maklumat sudah lama ditinggalkan.
Dalam menulis di blogspot-blogspot saya kini termasuk blogspot HIKMAH saya cuma bersandarkan apa yang dapat diingatkan beserta maklumat bercatit/bercetak dari mana-mana pihak yang sedia ada untuk tatapan. Kalau nak ada maklumat lengkap baru boleh menulis alamatnya jarang sangat le saya nak menulis. Lagipun sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya perlu mengawasi pelbagai aspek kelancaran majlis, bukan setakat membuat laporan di blogspot.
Dan kalau ikut protokol kebiasaan majlis bukan kerja saya mengambil gambar-gambar ini apalagi mahu membuat laporan. Saya seharusnya duduk di kerusi VIP di hadapan menghadap pentas. Tapi selagi belum betul-betul perlu saya suka 'merayap' ke merata tempat melihat perkembangan majlis dari pelbagai sudut mengambil sendiri gambar-gambar. Oh, selepas qasidah adalah alunan bacaan Al-Quran oleh adik Ibnu Muslim kalau tak salah ingatan. Beliau pernah menjadi juara bacaan Quran di Masjid al-Hidayah.
Rasanya sudah disebut dalam artikel sebelum ini bahawa Masjid al-Hidayah di Bayan Lepas merupakan penganjur utama majlis melalui pemuda qaryah masjid. Kelihatan beberapa orang kuat masjid berada di barisan hadapan, dua kerusi VIP yang kosong itu adalah untuk saya dan tetamu terhormat yang belum sampai, seorang timbalan menteri. Ini kerana beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang perlu menghadiri mesyuarat PIBG di sebuah sekolah.
Nota : Ketika ini saya tidak tahu hamba Allah berbaju biru yang duduk di salah satu kerusi itu adalah seorang ahli dewan undangan negeri, ADUN Pulau Pinang. Ketika bersalaman saya ingat beliau adalah wakil dari Tabung Haji. Ini kerana malam sebelumnya saya diberitahu empat kerusi empuk VIP di tengah hadapan adalah untuk pengurus besar atau apa pangkatnya, tapi orang tertinggi dari Kompleks Tabung Haji Pulau Pinang diikuti saya, timbalan menteri dan pengerusi pemuda qaryah masjid.
Ketika gambar atas dan ini diambil jam 9.54, semua 300 kerusi yang disediakan sudah boleh dipenuhi malah melimpah lagi.
Cuma ramai yang memilih untuk berlegar-legar termasuk saya sendiri. Selagi belum perlu duduk di sebelah tetamu terhormat selagi itu saya mengambil peluang melihat keadaan dari pelbagai sudut.
Tamat bacaan Quran, naik sahabat kami, Sheikh Raja Aman Raja Mokhtar untuk membawa bacaan selawat istimewa demi mendapatkan keberkatan dan syafaat Rasulullah SAW ke atas majlis. Ini tiada dalam atur cara asal tetapi dihadirkan setelah beliau bersetuju untuk mengambil-alih satu slot pembentangan 2-3 hari sebelum acara. Untuk makluman Sheikh Raja Aman pernah membawa bacaan selawat pada HIKMAH I, II dan III. Selepas itu beliau disibukkan dengan hal lain, setelah setahun lebih gitu baru dapat bersama kembali pada acara HIKMAH.
Ketika berselawat itulah muncul gerak spontan untuk saya dan beberapa orang rakan pendokong kuat HIKMAH naik ke pentas berselawat sama sambil mengajak hadirin menghayatinya dengan lebih mendalam. Menarik sungguh keadaan apabila kami yang berpakaian seperti para pembesar dan pahlawan Melayu lama turut bersama seorang sheikh tariqat membacakan selawat. Sayang saya tidak dapat mengambil gambar ketika itu. Dah turun pentas baru mengambil gambar, ketika sesi mahu ditutup dengan doa.
Selepas itu hadirin diajak makan pagi di dewan belakang. Ketika gambar ini diambil sudah jam 10.40. Sedangkan kalau ikut atur cara asal sarapan harus selesai sebelum sesi pembentangan dimulakan jam 10.
Tapi begitulah HIKMAH. Kami menurut gerak dan sedia akur dengan keadaan. Dan pengalaman menunjukkan setiap kali akan muncul hasil yang terbaik di mana walau apapun yang berlaku ia tetap menerbitkan manfaat bagi semua. Lihat nanti sambungan cerita...
Nota : Selepas artikel ini disiarkan saya diberitahu kumpulan anak muda yang membuat qasidah itu adalah dari Ma'ahad Tahfiz al-Munawar, Kulim, Kedah. Adik yang membaca Quran pula bernama Mohd Ibnu Sina. Saya lebih suka menyatakan ini dalam bentuk nota kaki berbanding memperbetulkannya pada perenggan berkenaan. Sesungguhnya inilah cara saya menulis di blogspot sejak memulakan penulisan sebegini hampir 8 tahun lalu. Pada saya ia adalah cara penulisan yang jujur menurut keadaan kerana ada rentetan masa dan peristiwa yang mempengaruhi keadaan dan cita rasa penulisan itu sendiri.
No comments:
Post a Comment