Pada ketika aura HIKMAH di Pulau Pinang semakin membara - selain banner-banner HIKMAH, 100 bendera tertera 2 kalimah syahadah katanya mahu diangkat di serata kawasan berkenaan - timbul rasa untuk berkongsi sesuatu...
Peta ini dibuat sebulan lepas lalu dikongsikan di Facebook untuk menunjuk laluan perhubungan antara Aceh dengan Semenanjung. Kelihatan dengan nyata seluruh pantai barat Pulau Pinang menghadap ke Aceh. Malah boleh dilukis garis lurus melintang menyambungkan makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Salih sehingga menghampiri pulau mutiara itu.
Bagindalah raja besar Melayu yang dikatakan mendapat mandat besar dari Nabi Muhammad SAW untuk memimpin sebuah kerajaan yang terdapat ramai para wali. Ini ditekankan melalui satu sabda yang disebut dalam sebuah hikayat lama, sabda yang walaupun tidak pernah tercatat dalam mana-mana kitab kumpulan hadis yang muktabar tetap dianggap sahih oleh ramai guru agama pengajian pondok terutama di Aceh.
Oh. Dua gambar ini di atas ini sebenarnya adalah sebahagian dari slaid yang dipersembahkan dalam satu sesi sembang santai di Wisma Sejarah Sabtu lepas. Saya telah dijemput Persatuan Sejarah Malaysia untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman lalu sejumlah slaid diatur untuk membantu persembahan. Lihat artikel Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Ini pula atur cara majlis di Pulau Pinang diletakkan dalam bentuk grafiks, untuk memenuhi permintaan seorang kenalan FB yang mahu mewar-warkan acara kepada lingkungan pergaulannya. Tertera tajuk pembentangan "Mencari Diri dan Erti" untuk sesi petang. Tajuk itu akan dibentangkan oleh saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH juga penulis siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh". Gerak hati saya menyuruh menggunakan slaid dari Wisma Sejarah dengan sedikit penambahan untuk menangani tajuk.
Cukuplah artikel ini ditulis mengikut gerak yang muncul beberapa jam tadi. Untuk makluman ini adalah artikel ke 111 di blogspot ini. Semoga HIKMAH di Pulau Pinang akan membuka jalan penyatuan Alam Melayu yang lebih besar. Saya dapat merasakan akan terjalin hubungan kuat membawa ke Aceh dan dari situ semacam penyatuan Malaysia-Indonesia demi kebangkitan sebenar Islam akhir zaman. Amin.
No comments:
Post a Comment