Salam tengah hari Jumaat. Bersambung dari HIKMAH Pagoh 8 Nov - Menyentuh peribadi mulia sultan dan hilangnya dinar Melaka.
Berbalik pada waktu rehat tengah hari/solat Zohor. Sambil ada yang makan sambil itu ada menjalankan aktiviti masing-masing beramah mesra dengan kenalan baru dan sebagainya.
Selepas jam 2 gitu sesi pembentangan petang dimulakan dengan kertas kerja bertajuk "Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Sambungan Aceh ke Muar". Oleh kerana saya yang membentang tidaklah dapat mengambil gambar sendiri. Cuma nak beritahu pembentangan terganggu sekitar 5 minit, mungkin lebih lama akibat komputer tiba-tiba mati apabila mahu menyebut tentang bantuan yang diturunkan dari kayangan untuk membina sebuah kapal/rakit, lebih tepat balai gambang seperti diceritakan dalam satu hikayat tentang Muar. Isi pembentangan itu akan saya kongsikan dalam artikel lain. Di sini biar kita terus pada pembentangan kedua bertajuk "Raja Temenggung Muar : Satu kaitan Aceh, Melaka lama dan beberapa kesultanan sekarang" oleh Puan Tun Suzana Tun Hj Othman.
Beliau telah menulis lebih 10 buah buku kalau tak salah, paling terkenal saya kira yang bertajuk "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu". Mengikut jam saya pembentangan bermula jam 2.48, hampir 20 minit lewat berbanding jadual asal.
Tajuk yang saya berikan itu sangat dekat di hati beliau kerana isi berkenaan telah menghiasi hampir semua buku beliau yang sempat saya baca walau sepintas lalu. Ini kerana Tun Suzana sendiri terkait dengan cerita kerana berasal daripada keturunan Bendahara Pahang. Sedang keturunan Bendahara Pahang terkait dengan Raja Temenggung Muar iaitu satu dinasti raja bawahan kepada Empayar Johor-Riau-Lingga yang pernah memerintah NEGERI Muar. Dan asal-usul mereka ada termasuk Saiyid dan kerabat diraja dari Aceh.
Di sini tidaklah ingin saya mengulas panjang kecuali menunjukkan keadaan semasa majlis.
Melihat ke luar...
Nampaknya ramai juga sudah seronok memanah. Sambil itu mereka boleh mengikuti pembentangan yang boleh kedengaran jelas di luar melalui sistem pembesar suara masjid.
Tu dia sahabat-sahabat kami daripada kumpulan NGO aktivis yang dipanggil Armada Malaiu. Sejak beberapa lama mereka sering datang menyerikan acara-acara HIKMAH. Memanah adalah antara aktiviti utama mereka.
Kembali masuk ke dewan solat...
Pembentang ketiga, saya panggil Cikgu Kamaludin menangani tajuk "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu", Mantan pensyarah Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis ini telah menulis dan menerbitkan 3 buah buku bersifat ilmiah. Memakai nama pena Pelita Di Dalam Kaca, penulisan beliau yang berjaya mendapat perhatian tinggi adalah novel bertajuk Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafur. Memaparkan wawasan tamadun tinggi Islam, isinya dipakai untuk membentuk pembentangan di Pagoh.
Jam 4 lebih gitu pembentangan tamat untuk memberi laluan pada solat Asar berjemaah. Selepas itu kami minum petang sambil menunggu sesi terakhir yang akan memberikan peluang kepada semua yang hadir untuk berkongsi pandangan dan maklum balas.
No comments:
Post a Comment