Ketika ini sudah malam Jumaat 21 Muharram. Biar disambung cerita daripada HIKMAH Pagoh 8 Nov - Hol almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah, wali Allah yang terpilih.
Setelah beberapa lama sampailah masa untuk memulakan sesi pembentangan tengah hari.
Sesi dibuat di dalam dewan solat masjid. Selepas saya memberi sedikit mukadimah pembentang pertama, saudara Hasan Yusof pun membuka jertas kerja bertajuk "Sultan Alauddin Riayat Syah - Wali Allah yang Terpilih".
Beliau yang merupakan pegawai penyelidik mahkamah syariah Melaka sedang mengambil cuti untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD. Anak muda ini baru mengeluarkan buku bertajuk "Sultan-sultan Soleh di Nusantara" sekitar setengah tahun lalu.
Sultan Alauddin Riayat Shah memerintah Melaka 1477-1488 menurut perkiraan lama, 1449-1481 menurut perkiraan baru berdasarkan maklumat daripada kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu (dikenali Barat sebagai Raffles 18), perkiraan yang meletakkan Melaka sebagai diasaskan tahun 1262 Masihi, bukan 1400an seperti dipegang sekian lama. Baginda dikenali sebagai seorang sultan yang warak, alim ilmu agama, sanggup turun padang menyamar sebagai rakyat biasa untuk melihat keadaan sebenar negeri, bukan sekadar mendengar laporan dari para pembesar.
Pembentangan boleh didengar di luar masjid melalui sistem pembesar suara yang biasa digunakan untuk melaungkan azan juga menyampaikan khutbah Jumaat. Sambil sesi berjalan saya meninjau-ninjau ke luar melihat pameran dan jualan yang ada...
Kembali ke dewan satu sisi yang baru diketahui tentang sultan juga kerajaan sedang didedahkan.
Ia merupakan hubungan Melaka dengan kerajaan Turki Uthmaniuah yang sudah lama digelapkan. Seingat saya hal ini mula ditimbulkan kepada umum awal tahun ini, melalui penulisan-penulisan dari Turki yang menyebut keakraban antara dua kerajaan sejak sekitar 1450-1460 gitu. Malah ada menyebut Sultan Alauddin mengahwini puteri Sultan Muhammad al-Fateh, pemerintah Uthmaniyah yang sangat terkenal menakluki kota Konstantinople tahun 1453. Kota yang merupakan pusat Empayar Rom Timur, juga dikenali sebagai Empayar Byzantium itu diberi nama baru Istanbul. Kejatuhannya ke tangan Uthmaniyah menyebabkan empayar kebanggan Eropah dan dunia Kristian itu runtuh sama sekali.
Pembentangan kedua dibuat oleh saya. Bertajuk "Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang", isinya akan dipanjangkan dalam artikel lain nanti. Di sini kita terus pergi kepada pembentangan ketiga yang bermula jam 12.30. Ikut jadual dan rancangan asal pembentangan ini harus dimulakan jam 12 oleh seorang pencari matawang lama dari Johor. Tapi entah kenapa beliau tidak muncul lalu kita terus pergi kepada bahagian kedua pembentangan yang dibuat oleh Puan Norbaini Hassan, perunding dan penggiat dinar dan dirham.
Adapun masa yang diperuntukan untuk sesi pembentangan tengah hari adalah 2 jam. Rancangnya 3 pembentangan memakan masa 30 minit setiap satu diikuti 30 minit soal jawab sebelum masuk waktu rehat makan tengah hari dan solat Zohor. Cuma 2-3 minggu sebelum acara Puan Norbaini ada menyatakan mahu membawa masuk pencari matawang sebagai pembuka tajuk (lihat gambar atas). Beliau meminta masa lebihan 10 minit agar pencari matawang dapat bercakap 20 minit, beliau 20 minit meninggalkan baki 20 minit untuk soal jawab buat seluruh sesi.
Namun apa yang terjadi adalah sesi itu sendiri bermula sekitar 11.15 iaitu lewat 15 minit daripada yang dijadualkan. Mukadimah yang memakan sedikit masa sambil menunggu cukup hadirin daripada luar masuk ke dalam menyebabkan pembentangan pertama bermula sekitar 11.25. Ketika saya memulakan pembentangan kedua waktu sudah melepasi jam 12. Walhal kalau ikut jadual asal saya harus sudah selesai membentang ketika itu.
'Kehilangan' pencari matawang menyebabkan masa yang tinggal cukup untuk pembentangan ketiga dan terakhir di tangan Norbaini seorang, Kalau pembentangan dibuat berdua tentu mereka jadi terkejar-kejar untuk mengimbangi masa. Cuma soal jawab tidak dapat diadakan kerana nak tak nak kami harus berhenti jam 1 kerana masuk waktu Zohor, laungan azan mesti dibuat sekitar itu. Begitulah HIKMAH... apabila terjadi perubahan tak disangka pada saat-saat akhir ia tetap menerbitkan kebaikan buat semua.
Melihat lagi keluar sementara pembentangan menghampiri penamat...
Ketika itu sudah ada yang membuka aktiviti memanah.
Solat Zohor berjemaah, Gambar ini diambil jam 1.14 iaitu selepas selesai solat.
Selepas doa, hadirin pun diajak makan.
Alhamdulillah sudah 11 kali mengadakan acara HIKMAH, dengan kuasa Allah kami tetap mendapat bantuan untuk memberikan makan minum kepada semua peserta tanpa perlu mengenakan apa-apa bayaran waima kepada mereka yang datang berniaga.
No comments:
Post a Comment