Sunday, November 23, 2014

Kehilangan dinar Melaka - Usaha meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu?

Salam. Satu lagi kertas kerja dari HIKMAH Pagoh yang boleh dikongsikan, satu-satunya kertas kerja milik orang lain yang slaidnya ada tertinggal di dalam komputer riba atau laptop saya.



Kertas kerja dengan tajuk di atas ini adalah yang ketiga dan terakhir untuk sesi pembentangan tengah hari. Sepatutnya ia dibuka oleh seorang pencari matawang lama dari Kota Tinggi, Johor. Ikut rancangan, selain menyatakan pendapat beliau ke mana hilangnya wang dinar emas Melaka (ya, ia tidak ada dalam simpanan mana-mana pihak yang diketahui waima muzium-muzium di Malaysia sekalipun) pencari matawang ini akan menunjukkan sejumlah syiling lama Johor yang baru ditemui dalam satu kerja mencari gali persendirian lebih kurang sebulan sebelum majlis. Tetapi entah kenapa beliau tidak muncul lalu Puan Norbaini Hassan yang merupakan seorang perunding dinar dan dirham harus menangani topik ini bersendirian.





Beginilah arah tuju pembentangan ini. Norbaini menceritakan bagaimana saya telah meminta beliau mendapat sekeping dinar emas Melaka atau sekurang-kurangnya gambar untuk ditunjukkan semasa majlis. Ini kerana HIKMAH Pagoh diadakan di sebelah satu-satunya makam sultan Melaka yang masih terpeliahara di Malaysia hingga kini, makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah lebih 500 tahun lalu. Lain-lain makam iaitu di sekitar Kota Melaka telah dirosakkan Portugis selepas menakluki kota tahun 1511, dicabut batu nesan dan sebagainya sehingga tidak dapat dipastikan kedudukannya lagi. Saya mahu hal dinar emas Melaka digandingkan dengan pembentangan mengenai pengukuhan ekonomi Islam berdasarkan penggunaan kembali wang dinar dan dirham. Ini dibuat untuk melawan sistem ekonomi konvesyional sekarang yang didirikan berdasarkan riba' perbankan.





Ketika mencari dinar emas Melaka inilah baru diketahui ia tidak ada dalam simpanan mana-mana pihak yang diketahui dan diakui. Ada individu mengaku memilikinya tetapi koleksi beliau boleh diragui kerana diketahui sesetengah orang suka membuat barangan tiruan atau palsu untuk dipamerkan dengan meletakkan bayaran yang tinggi. Turut dibangkitkan beberapa hal yang agak kabur dalam sejarah negeri Melaka...








Apabila mendengar ada kumpulan persendirian sering membuat kerja-kerja cari gali menggunakan alat pengesan logam atau metal detector di Kota Tinggi, Johor, Norbaini membawa satu pasukan anak muda bergegas di sana. Kebetulan ketika sampai kumpulan itu sedang membuat kerja di Kampung Tembioh. Mereka dapat menyaksikan penemuan agak banyak syiling lama, cuma rata-rata syiling Johor.





Realiti sebenar ekonomi orang Melayu pun diperihalkan.








Cadangan cara memperbaiki keadaan dan ini berdasarkan sistem ekonomi Islam yang pernah dipraktikkan sebelum penjajah British membawa masuk perbankan dan penggunaan duit kertas, dua-dua berasaskan riba'.







Selesai penerangan masuk sesi soal jawab. Tetapi ini tidak boleh dibuat kerana ketika itu sudah hampir masuk waktu Zohor. Bilal sudah bersedia untuk melaungkan azan. Diingatkan bahawa pembentangan diadakan di dalam Masjid Sultan Alauddin Riayat Shah I iaitu di sebelah makam sultan. Lihat HIKMAH Pagoh 8 Nov - Menyentuh peribadi mulia sultan dan hilangnya dinar Melaka.

Kembali kepada persoalan tentang kehilangan dinar Melaka. Saya telah mendapat satu jawaban yang agak memuaskan dari seorang pakar numismatik (ilmu wang syiling) baru-baru ini. Lihat artikel Kekhalifahan raja-raja Melayu dan dinar emas Melaka yang hilang di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Di situ harus ada petunjuk apa yang berlaku kepada matawang emas tersebut dan apakah usaha susulan yang harus dibuat untuk mencarinya...


No comments:

Post a Comment