Monday, November 24, 2014

Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Kaitan Aceh-Muar dan keistimewaan Bukit Treh


Dalam artikel sebelum ini telah disebut, kecuali Hikayat Malim Dewa (juga Hikayat Malim Deman yang merupakan kesinambungan cerita raja anak beranak), saya tidak pernah menemui mana-mana hikayat menyebut Muar sebagai kerajaan yang pernah berdiri sendiri. Rasanya tidak pernah ditemui juga Muar pernah berdiri sebagai kerajaan yang bukan bawahan mana-mana kerajaan lain dalam mana-mana buku sejarah. Maka masuklah penceritaan kepada satu dinasti kerajaan yang jarang atau tidak pernah disebut orang. Masuklah buku ini sebagai pembuka satu rahsia yang hilang...



Ia adalah buku dari Indonesia terbitan tahun 2007 berdasarkan sebuah naskah yang telah ditulis 4 dekad lebih awal. Walaupun ia tulisan seorang Batak yang kelihatan anti-Islam lalu mungkin penulisannya ada menyimpang perhatian harus diberikan kepada bahagian-bahagian tertentu yang boleh memberikan petunjuk kewujudan kerajaan yang hilang.



Ia adalah sebuah dinasti raja-raja berketurunan Nabi Muhammad SAW yang dipanggil Dinasti al-Kamil, katanya pernah berkuasa di Sumatera sejak abad ke-12 Masihi.



Dalam penceritaan ini ada watak-watak yang sedia dikenali dalam sejarah lama Sumatera. Antaranya, watak bernama Johan merujuk kepada pengasas kerajaan lama Aceh juga watak bernama Burhanuddin yang dikatakan membawa Islam ke Tanah Minangkabau setelah selesai mengaji dengan seorang sheikh di Aceh. Namun menurut buku ini watak-watak tersebut membawa cerita agak berlainan daripada apa yang diketahui selama ini dalam sejarah. Selain itu terdapat beberapa watak yang tidak pernah saya temui dalam sumber lain, misalnya Sultan Bahaudin al-Kamil dan anaknya Sultan Muhammad al-Kamil yang memerintah kerajaan Daya/Pasai di Aceh.



Menariknya adalah cerita Sultan Muhammad itu kemudian mendirikan kerajaan Islam di Muar tahun 1286 Masihi. Walaupun tidak ditemui dalam sumber-sumber lain saya fikir cerita ini harus diberikan perhatian, Turut disebut Malik al-Mansur yang terkenal di dalam Hikayat Raja-raja Pasai sebagai cucu kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai (di sini disebut Mansur adalah putera, sama seperti diceritakan dalam kitab Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang) menjadi menantu Sultan Muhammad.




Sekarang kita lihat di mana kedudukan Aceh, di mana kedudukan Muar.



Pada zaman tersebut kerajaan Samudera Pasai, saya anggarkan diasaskan sekitar 1240an Masihi oleh Sultan Malikus Saleh sedang meningkat naik lalu mencakupi banyak wilayah terutama di pantai timur utara Sumatera.



Seterusnya biar digunakan sedikit cerita daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) sebagai rujukan.




Disebut bahawa Dinasti al-Kamil yang pernah berkuasa di Sumatera membawa ke Muar itu berketurunan Nabi Muhammad SAW. Dalam sejarah Aceh pula memang ada keturunan baginda masuk memerintah turun temurun bermula di Perlak seawal 840 Masihi. Saya fikir Dinasti al-Kamil yang disebut penulis Batak Indonesia itu harus ada kena-mengena dengannya.




Kita ke Muar pula. Biar peta moden dijadikan rujukan.


Merujuk kembali kepada artikel Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Mencari kebenaran tersembunyi di sebalik cerita ajaib hikayat. Adapun salah satu sebab Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman dijadikan rujukan adalah kerana ia menyebut tentang Muar pada satu zaman yang lampau. Kedua-dua buku itu pernah ditelaah dengan teliti ketika saya mula mencari salasilah keluarga sebelah bapa yang bersambung ke Aceh penghujung 2001. Pada ingatan saya dalam buku itulah tersebut ayat sebegini : "Muar belum bernama Muar, Muar bernama Teluk Dalam."

Ketika menyediakan isi pembentangan ini saya membaca kembali kedua-dua hikayat daripada hadapan hingga ke belakang. Tengok-tengok langsung tak jumpa ayat yang menunjukkan keadaan Muar zaman lampau itu. Setelah menyelidik balik baru tersedar ayat serupa ditemui dalam buku "Sejarah Ringkas Muar". Buku terbitan lama yang tidak ada lagi naskah baru ini diterbitkan oleh sebuah syarikat di Muar yang kalau tak salah sudah lebih 20 tahun gulung tikar.



Saya dapat menyemak kembali hal ayat ini kerana ada mengambil cerita berkaitan untuk dimasukkan ke dalam buku ke-7 saya, "Jejak Keluarga Yakin : Satu Sketsa Sejarah" (terbit Oktober 2011). Salinan buku "Sejarah Ringkas Muar" pernah dirujuk di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur untuk membantu penulisan...



Buku saya ini memaparkan sejarah beberapa tempat/daerah di selatan dijalin dengan cerita perjalanan keluarga sebelah ibu yang cenderung kepada ibunya yang berdarah Jawa. Ini adalah untuk mengimbangi cerita dalam siri "Berpetualang ke Aceh" (2006-2007) yang berat kepada darah sebelah bapa.


Sebagai anak kelahiran Muar (ibu saya dari sana) beberapa tempat bersejarah situ ditonjolkan dalam buku...


Muar pernah menjadi negeri sendiri tetapi di bawah penguasaan Empayar Johor-Riau yang mewarisi jajahan takluk Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis 1511. Status Muar sebagai negeri malah bertahan sehingga tahun 1920an. Ada objek seperti kepala kereta api lama buatan British tertulis M.S.R., singkatan untuk Muar State Railway (bukan district atau daerah) menjadi bukti. Tetapi tulisan itu sudah dipadam. Nasib baik saya sempat merekodkannya lebih awal...



Ada sebuah bukit kecil bernama Bukit Treh di Kampung Bukit Treh, bersebelahan tempat asal ibu saya iaitu Kampung Temiang yang ceritanya harus diangkat untuk menyokong keberadaan Muar sebagai sebuah kerajaan lama.



Ada cerita lagenda serupa cerita sumpahan Si Tanggang sebagai mukadimah. Ketika menulis cerita berkaitan dalam buku inilah saya mengulang ayat "Muar belum bernama Muar, Muar dipanggil Teluk Dalam" lalu mendakwa ia disebut di dalam Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman.




Sedikit cerita si Tanggang...



Cuma yang di Bukit Treh itu ada variasi atau perubahan/perbezaan kerana watak si Tanggang itu bertukar menjadi burung helang.



Bukit Treh yang disebut orang kapal terbalik disumpah menjadi batu...







Namun menurut buku "Sejarah Ringkas Muar" watak di Bukit Treh itu sebenarnya bernama lain iaitu Setunggal. Cuma kisahnya sahaja serupa si Tanggang kecuali bab bertukar menjadi helang. Cerita dari buku itu saya ulang dalam "Jejak Keluarga Yakin." Terdapatlah ayat menyebut "Pada zaman dahulu ketika Muar masih bernama Teluk Dalam."




Nampaknya ayat ""Muar belum bernama Muar, Muar bernama Teluk Dalam" itu ditemui dalam satu sumber lain yang saya tak ingat apa. Apapun cerita Bukit Treh merujuk pada zaman yang sama.



Di bukit itu terdapat sejumlah kesan menunjukkan suatu masa dahulu ia terletak dalam laut atau berdekatan laut. Antaranya adalah tembok panjang yang dibuat daripada batu karang...






Cerita Bukit Treh ini penting bagi saya kerana bukit ini pernah menjadi saksi perkembangan keluarga sebelah ibu selama beberapa generasi.



Kita lihat balik kedudukan Bukit Treh dan bentuk muka bumi sekitar melalui gambar satelit daripada program Google Earth.



Zaman "Muar belum bernama Muar, Muar bernama Teluk Dalam" dalam cerita Setunggal yang serupa kisah si Tanggang itu membayangkan keadaan lampau di mana laut menjangkau lebih jauh ke pendalaman. Kebiasaannya kapal besar berlabuh sekitar 100-200 meter dari pantai lalu perahu digunakan untuk berulang-alik ke jeti/pelabuhan. Berdasarkan kenyataan ini garis pantai zaman itu boleh dilakarkan seperti di atas.

Selepas berlaku sumpahan sehingga kapal menjadi bukit, lautan berdekatan menjadi daratan keadaan muka bumi boleh dilakarkan begini. Oleh kerana pada lereng bukit  ada tembok batu karang saya berpendapat ia adalah tinggalan binaan istana suatu zaman dahulu. Saya ada petunjuk lain untuk menyokong ini tapi tak perlulah dipanjangkan di sini. Cukuplah buat masa ini disebut saya percaya ia tinggalan istana raja-raja Dinasti al-Kamil. Untuk pengetahuan Bukit Treh adalah satu-satunya bukit yang boleh ditemui dalam jejari 8 km dari pusat bandar Muar...


No comments:

Post a Comment