Salam malam Jumaat. Masuk pada hari kedua aktiviti HIKMAH Lembah Bujang. Bersambung daripada Berkumandangnya azan Maghrib di Tapak 23 Pengkalan Bujang.
Pagi Ahad 18 Januari 2015. Kelihatan sudah ada agak banyak kereta diletakkan di tepian jalan berdekatan pintu masuk Pos A di Tapak Arkeologi Sungai Batu.
Ini adalah untuk sesi lawatan lapangan rasmi HIKMAH Lembah Bujang.
Ia mahu dimulakan di tapak rumah ibadah yang unik, rumah ibadah yang menurut Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin, pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) belum ditemu apa-apa serupa dengannya di mana-mana bahagian lain dunia.
Lawatan lapangan ini adalah lanjutan daripada pembentangan beliau semasa hari Sabtu. Lihat HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9.
Tepat pada janjinya untuk memulakan taklimat lawatan lapangan jam 9, Prof Mokhtar telah sampai ke lokasi sekitar 15 minit lebih awal. Saya meminta beliau menunggu seminit dua lagi sebelum memulakan taklimat untuk memberi ruang beberapa orang lagi sampai.
Gambar terbalik dengan sendirinya. Malas saya nak pening kepala lagi nak betulkan. Biarkan aje lah ya...
Saya cuba berkongsi isi taklimat secara ringkas apa yang dapat saya ingat tanpa membuat catatan ya. Kalau ada yang tak kena sila beri teguran dan pembetulan...
Prof Mokhtar menerangkan inilah satu-satunya bangunan ibadah yang telah ditemui di Sungai Batu. Ada ciri-ciri tertentu dapat dikenalpasti melalui pengalaman beliau lebih 25 tahun di lapangan melihat runtuhan-runtuhan tamadun di merata dunia untuk menentukannya sebagai rumah ibadah. Dan beliau dapat menyatakan ia bukan rumah ibadah Hindu mahupun Buddha kerana dasarnya berbentuk bulatan, belum lagi ditemui di lain tempat. Beliau cuma dapat menyatakan binaan yang telah dipastikan dibina tahun 110 Sebelum Masihi ini berunsur animisma dan menghadap tepat ke Gunung Jerai. Namun di atas struktur bulat itu ada binaan berbentuk empat segi yang boleh dikaitkan dengan Hindu-Buddha. Cuma ia dibina pada abad ke-6 Masihi, 600 tahun selepas kewujudan bangunan asal.
Bergerak ke lokasi seterusnya.
Ia bukanlah tinggalan binaan purba tetapi lubang empat segi yang digali untuk mendapatkan kepastian tentang lapisan-lapisan tanah di sekitar ini...
Didapati bahawa 2 meter ke dalam adalah air. Ini boleh dijadikan had usaha penggalian di bahagian Sungai Batu yang telah dikenapasti sebagai daratan (ada bahagian yang dikenalpasti sebagai terletak di dalam perairan iaitu sungai dan tasik suatu masa dahulu tetapi telah menjadi daratan). Adapun pada artikel HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9 telah dinayatakan bahawa Prof Mokhtar berasal daripada bidang geologi, bukan arkeologi tulen, Namun disebabkan pengetahuan geologi itulah beliau dapat membuat pemetaan 97 tapak penting di Sungai Batu tahun 2007, ketika itu ladang kelapa sawit. Selepas melalui beberapa proses termasuk mendapatkan dana juga tanah, tapak mula dibuka pasukan beliau 2009.
Sesungguhnya segala itu adalah dalam perancangan Allah SWT jua. Sebelum menjadi ladang kelapa sawit, kawasan ini adalah ladang getah. Kata Prof Mokhtar ketika itu tanah di sekitar semuanya 1 meter lebih tinggi. Ketika ditukar menjadi ladang kelapa sawit tanah yang lebih tinggi itu telah disondol lalu terdedahlah sejumlah batu bata menunjukkan ada binaan lama. Apabila mendapat tanah dengan bantuan Jabatan Warisan baru lokasi-lokasi yang dikenalpasti dapat dibuka sedikit demi sedikit. Oh, semasa di rumah ibadah tadi, Prof Mokhtar menyatakan ada membuat pemetaan baru dengan cara berjalan kaki dari Sungai Batu hingga ke Gunung Jerai lalu mendapati ada 50 tapak arkeologi baru boleh dibuka...
Bergerak ke satu lagi lokasi.
Ini adalah tapak jeti purba. Kalau tak salah ingatan Prof Mokhtar menyebutnya sebagai binaan tahun 286 Sebelum Masihi. Katanya ini adalah jeti khas menuju ke rumah ibadah. Zaman itu masih ada sungai selebar 100 meter dengan kedalaman 30 meter. Jeti ini terletak di sebelah kanan menghulu sungai...
Bergerak lagi kita lebih jauh ke arah barat.
Kiranya ketika ini kami sedang berdiri di tengah sungai purba.
Ke utara sedikit ada tinggalan daripada tasik purba. Kata Prof. Mokhtar pasukan penyelidik beliau telah berjaya mengimbas 8 buah kapal purba yang tenggelam di dalam tasik. Tetapi untuk mengeluarkannya memerlukan belanja yang amat besar, tidak kurang RM10 juta kerana memerlukan kepakaran penyelam dan alatan tertentu dalam air. Katanya setakat ini dasar tasik telah berjaya digali sehingga kedalaman 24 meter, dengan cara menyedut lumpur ke luar tasik. Inipun menelan belanja RM700,000 apalagi hendak mengeluarkan kapal-kapal purba dengan selamat tanpa mencacatkan struktur.
Bergerak ke barat lagi...
Kalau tak salah ingatan di belakang itu adalah tinggalan jeti purba tapi untuk bahagian kiri mudik ke hulu sungai.
Jam 10.20 gitu kami rehat minum dan sarapan.
Taklimat disambung di hadapan runtuhan atau tinggalan yang dipercayai bangunan pentadbiran, ada yang bersambung terus dengan jeti menunjukkan ia adalah kompleks pelabuhan.
Berdekatan ini ada 3 buah bangunan pentadbiran yang semuanya dikenal pasti dibina pada tahun 487 Sebelum Masihi. Ini menjadikannya bangunan bukti ketamadunan paling tua pernah ditemui di Asia Tenggara setakat ini. Untuk makluman ini adalah artikel ke-171 di blogspot ini.
No comments:
Post a Comment