Friday, January 23, 2015

Bergambar beramai-ramai dan tahlil di makam Sultan Muzaffar Syah I Kedah

Untuk menutup cerita aktiviti lawatan lapangan HIKMAH Lembah Bujang biar dipersembahkan artikel ini. Bersambung daripada Tapak peleburan besi di Sungai Batu - Bukti Kedah sudah mengeksport besi sejak lebih 2000 tahun lalu!.



Selesai taklimat lawatan lapangan oleh Prof Mokhtar saya mengajak hadirin berkumpul kembali di hadapan tapak rumah ibadah untuk bergambar beramai-ramai.



Sudah menjadi semacam tradisi, setiap kali selesai acara HIKMAH (dan mana-mana acara keramaian pun saya rasa) peserta dan mereka yang terlibat akan bergambar beramai-ramai sebagai kenangan. Tetapi selepas selesai acara di Taman Lembah Bujang hari Sabtu, boleh pula terlupa. Mungkin kerana teruja hendak melihat tapak arkeologi yang dipercayai masjid purba. Lihat Berkumandangnya azan Maghrib di Tapak 23 Pengkalan Bujang.



Sebagai gantinya kami buat di sini pula.




Ini masih lagi relevan kerana lawatan lapangan ke tapak arkeologi Sungai Batu ini termasuk dalam program rasmi HIKMAH Lembah Bujang.




Turut termasuk dalam program rasmi lawatan lapangan adalah ziarah ke makam Sultan Muzaffar Syah I, raja Kedah yang dikatakan pertama memeluk Islam.




Untuk program ini saya sekadar mengajak sesiapa yang sanggup ikut tanpa terlalu menekankannya. Ini kerana saya tahu, selepas lawatan ke Sungai Batu ada yang perlu mengejar urusan lain walaupun makam sekadar 1.6 km sahaja daripada tapak arkeologi.



'

Ternyata boleh tahan ramai dapat meluangkan masa untuk turut serta.



Kecuali saya dan keluarga serta seorang dua lagi, inilah kali pertama mereka menziarahi makam Sultan Muzaffar yang memerintah Kedah 1136-1179 Masihi.




Tahlil ringkas pun diadakan dipimpin oleh sahabat kami Ustaz Mahyudin (baju biru).



Kebetulan hari itu, 18 Januari adalah hari keputeraan Sultan Kedah merangkap Yang di-Pertuan Agong sekarang. Maka sangat kenalah ziarah dan tahlil diadakan di sini.




Kembali ke homestay di pinggir bandar Sungai Petani untuk bersiap dan check-out, tengok-tengok tuan rumah tempat HIKMAH Lembah Bujang diadakan iaitu saudara Che Ross sudah sedia menunggu bersama keluarga.  Beliau tidak dapat bersama semasa lawatan lapangan kerana kepenatan. Walaupun memiliki rumah di Taman Lembah Bujang beliau sebenarnya menetap di Seberang Perai sekitar 40 km perjalanan - selepas acara mereka sekeluarga sibuk mengemas hingga lewat malam sebelum kembali berehat di Perai.



Tu le. Sepatutnya kami bergambar bersama beramai-ramai selepas acara tamat hari Sabtu. Sebagai gantinya kami bergambar di sini pula, di ruang legar homestay. Nasib baik ramai juga antara kami yang datang dari luar Kedah bermalam di homestay yang sama.



Che Ross memimpin doa selamat.




Selepas itu baru kami berpisah membawa haluan masing-masing, ada yang ingin naik lebih utara ke Perlis, ada yang mahu melihat tempat-tempat tertentu di Yan. Antara kami yang menginap di homestay ini ada yang sudah lebih awal berpisah iaitu semasa di Sungai Batu lagi, untuk melawat sekolah-sekolah pondok di sekitar. Dengan ini selesailah cerita aktiviti sekitar HIKMAH Lembah Bujang 17-18 Januari lepas. Wassalam.


No comments:

Post a Comment