Salam pagi Jumaat. Sekarang masuklah kita pada bahagian yang mungkin paling penting dalam lawatan lapangan untuk HIKMAH Lembah Bujang. Bersambung daripada Dari rumah ibadah 110SM ke kompleks pentadbiran 487SM.
Secara rata tapak-tapak arkeologi yang sudah dibuka di Sungai Batu telah dikenali mewakili 4 fungsi utama :-
1. Tempat ibadah
2. Jeti
3. Pusat pentadbiran
4. Peleburan besi.
Tempat-tempat yang terkait dengan 3 fungsi teratas sudah ditunjukkan dan diceritakan pada artikel sebelum ini. Sekarang masuklah kita ke tempat-tempat yang terkait dengan fungsi 4.
Adapun secara keseluruhannya tapak arkeologi Sungai Batu dibelah dua oleh jalan raya moden menjadi bahagian utara dan bahagian selatan. Tapak-tapak peleburan besi tertumpu di bahagian selatan lalu untuk sampai ke situ kami harus menyeberangi jalan.
Sampai di satu tapak Prof Mokhtar pun bercerita tentang penemuan tapak-tapak peleburan besi di sini. Ada yang dipastikan didirikan abad ke-2 Masihi, ada sedikit lewat. Yang memeranjatkan ada yang katanya (kalau tak salah ingatan dan tak tersilap dengar) sudah didirikan seawal 387 Sebelum Masihi!
Sebetulnya beberapa tamadun besar dunia sudah mula galak menggunakan besi seawal 1,200 SM. Tetapi itu di tempat lain, di Mesopotamia dan sebagainya yang memang kita akui sudah lama memiliki tamadun tinggi. Tapi di Kedah? Di Alam Melayu yang mana ramai masih tak yakin dengan kebolehan bangsa sendiri, katanya buat jarum pun tak reti? Ia adalah suatu yang amat memeranjatkan semua orang termasuk Prof Mokhtar sendiri apabila membuat penemuan tersebut tahun 2010. Namun apabila dikaji balik dengan lebih mendalam rupa-rupanyanya ada sumber-sumber luar seperti di India mahupun di Korea dan Jepun (kalau tak salah ingatan begitulah disebutnya) sudah menyebut tempat-tempat ini mengeksport besi berkualiti tinggi daripada Kedah sejak 2,000 tahun lalu.
Begitulah keadaan kita orang Melayu sudah lama diperbodohkan Barat kemudian bangsa-bangsa kafir yang diangkat Barat untuk memonopoli ekonomi kita agar menyangkakan bangsa kita adalah mundur belaka. Padahal kita telah memiliki tamadun tinggi lama dahulu, cuma ceritanya digelapkan. Setelah beberapa lama baru muncul bukti nyata di Sungai Batu, itupun ada yang ragu-ragu mempersoalkan...
Sesungguhnya kebolehan untuk melebur besi menandakan aras ketamadunan yang tinggi. Harus tahu campuran yang sesuai baru dapat besi yang berkualiti, kalau tidak ia mudah rapuh dan tidak tahan lama. Untuk melebur besi pula harus tahu cara menaikkan suhu api melebihi 1,400 Celsius. Ini memerlukan alatan dan pengetahuan yang bukan sembarangan.
Di satu tapak kelihatan pelajar-pelajar PhD dibawah pengawasan Prof Mokhtar sedang membuat kerja-kerja ekskavasi. Dapatlah dilihat betapa teliti mereka membuat kerja. Teringat kutukan seorang hamba Allah yang pandai bercakap mengenai sejarah di Internet tetapi tidak berani tunjuk muka. Dikatakannya anak-anak Melayu kasar dalam membuat kerja arkeologi, tidak teliti, manja, tak sanggup bersusah-payah, tidak seperti pengkaji daripada Barat. Nampaknya benarlah telahan beberapa pihak. Orang ini hanya pandai mencedok dan mengolah ilmu daripada beberapa sumber, semuanya kajian orang belaka tetapi dibuatnya kelihatan seperti kepandaian luar biasa yang terbit daripada diri sendiri. Nampaknya beliau sendiri tidak pernah turun ke lapangan membuat apa-apa penemuan, cuma pandai bercerita menarik minat orang yang sepertinya sama kuat berangan, lebih cakap daripada bekerja, indah khabar daripada rupa...
Di sini Prof Mokhtar bercakap sedikit tentang ciri-ciri besi, pemprosen lalu menunjukkan contoh ketulan besi yang sudah siap diproses.
Ini salah satu contoh. Nampak seperti batuan biasa di tepian jalan bukan? Perhatikan betul-betul.
Rupa-rupanya terdapat banyak ketulan seperti itu boleh ditemui sambil kita berjalan. Nampak macam tak siap tapi begitulah keadaan besi yang sudah diproses zaman itu. Kata Prof Mokhtar beliau pernah mencuba mengambil beberapa beberapa ketul untuk diproses pada peringkat kedua menjadi parang. Ternyata ia menjadi dan boleh dipakai. Kalau belum proses jangan harap parang boleh dibentuk apa lagi bertahan...
Jalan lagi...
Di tapak ini kami ditunjukkan apa yang dipanggil sebagai tuyere dalam industri peleburan besi. Ia adalah alat seperti tiub tembikar di mana udara boleh dipamkan melaluinya masuk ke dalam relau agar suhu api dapat ditingkatkan melebihi 1,400 Celsius, baru besi boleh dilebur lalu seterusnya diproses. Menariknya prinsip yang sama - udara dipamkan melalui tuyere ke relau - masih terpakai dalam industri besi hingga ke hari ini. Nampaknya ada sebab mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Dr Mahathir mendirikan Perwaja Steel di Gurun sekitar 20 km ke timur dari sini.
Di tapak ini sahaja ada tidak kurang 50,000 tinggalan tuyere purba. Setiap satu dibina dengan ukuran dimensi yang sama, kalau lari pun pun kurang 0.1%. Ini adalah precision atau ketepatan yang tinggi. Bayangkan ini sudah dilakukan di Kedah sejak 2,400 tahun lalu. Dasyat tak dasyat le!
Tapak-tapak peleburan besi di sini ada beberapa dan tak semua sama tempoh kewujudannya. Ada yang daripada abad pertama Masihi, ada yang 300 tahun kemudian. Menariknya ada dapat digunakan selama 500 tahun terus menerus. Hebat tak hebat tu! Apapun di sini saya tak mahu menunjukkan banyak gambar. Kalau mahu lihat lebih banyak sila masuk artikel Tapak peleburan besi purba di Sungai Batu (Ancient iron smelting site at Sungai Batu) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
.
Adapun relau-relau untuk peleburan besi (kalau tak salah orang Kedah panggil gok) di Sungai Batu semuanya sudah hancur. Saya dah lupa kenapa hancur kerana tidak dapat mengambil perhatian 100 peratus pada taklimat lantaran sibuk mengambil gambar di sekitar. Yang saya ingat ada kalanya relau sengaja dipecahkan untuk mengambil sisa besi yang telah diproses tetapi teringgal di dalam.
Mungkin juga relau-relau di Sungai Batu hancur kerana kawasan pernah dijadikan ladang getah kemudian kelapa sawit. Namun telah ditemui sejumlah relau yang masih agak sempurna di Jeniang, Sik, 40 km ke timur daripada sini. Satu daripadanya telah dibawa ke Sungai Batu untuk dijadikan contoh. Kata Prof Mokhtar, ketika ia ditemui, orang kampung sedang menggunakannya untuk menanam serai.
Beginilah rupa relau atau gok itu. Kalau tak tahu mungkin orang ingat busut ana-anai.
Dengan tamatnya penerangan tentang relau, tamatlah juga taklimat Prof Mokhtar untuk lawatan lapangan HIKMAH Lembah Bujang. Semasa taklimat bermula jam 9 pagi, beliau menganggarkan lawatan dan taklimat memakan masa satu jam. Ketika gambar ini diambil sudah jam 12.06!
Oh, biar ditambah satu perkara. Kata Prof Mokhtar beliau telah mengenalpasti beberapa lagi tapak berlainan fungsi yang boleh dibuka untuk melengkapkan cerita tamadun purba Sungai Batu ini. Antaranya adalah tanah perkuburan dan istana. Tapi beliau tidak mahu mendedahkan di mana. Semoga lebih banyak dapat dibongkar demi kedaulatan Melayu dan Islam akhir zaman. Amin. :]
Tahniah saudara RS..
ReplyDeletePendedahan yg menarik... Sy pernah ke Lembah Bujang.. 20 thn lepas..masa tu cuma leh masuk kawasan bukit candi n galeri je...kawasan baru ni open pd public ke...hujung tahun ni nak kesana
Alhamdulillah terbuka kepada umum, kalau tak salah setiap hari sekurang2nya pada waktu pejabat...
ReplyDelete