Salam. Merujuk pada artikel Chenor siap siaga untuk menerima HIKMAH Sabtu 9 Mei yang dipersembahkan Jumaat lalu. Sukacita dimaklumkan acara telah selamat diadakan keesokan harinya. Kita mulakan cerita...
Pagi Sabtu 9 Mei 2015. Setelah puas berehat bermalam di sebuah homestay berdekatan saya bersiap-sedia memakai busana tradisional Melayu dengan kombinasi warna yang rata-rata merah dan hitam untuk acara.
Sementara isteri dan anak-anak juga lain-lain yang menginap di homestay sama sibuk bersiap saya bergerak dahulu berjalan kaki dalam 200-300 meter ke tempat acara iaitu Masjid Warisan Chenor...
Nampaknya sudah ada beberapa orang sampai lebih awal.
Kalau ikutkan pun acara dijadualkan bermula jam 9 pagi dengan sesi pembukaan. Menurut maklumat pada kamera pula gambar ini diambil jam 8.52.
Rata-rata mereka yang datang awal mahu berniaga lalu menyiapkan barangan masing-masing.
Ada pula yang datang untuk menyiapkan tempat bagi menerima peserta.
Saya sendiri terlibat untuk menyediakan sokongan peralatan audio-visual untuk pembentangan. Kali ini sebuah set televisyen disediakan untuk membantu persembahan slaid. Gambar ini diambil selepas beberapa lama saya dan seorang rakan berusaha agar paparan pada laptop dapat kelihatan pada televisyen. Jam pada dinding masjid menunjukkan 9.20. Nampaknya jam kamera saya lewat 2 minit kerana menurutnya gambar dirakam 9.18.
Di luar semakin ramai peserta muncul termasuk mereka yang ingin berniaga lalu sibuk menyiapkan gerai.
Beberapa orang pembentang juga telah muncul, sedia untuk majlis dimulakan.
Siap ada patung berbusana menjadi saksi! :]
Ada pula yang bersarapan menikmati makanan yang disediakan. Ketika ini sudah jam 9.38 menurut kamera saya, sudah lewat lebih setengah kalau menurut jadual asal kerana acara sepatutnya dimulakan jam 9.
Begitulah keadaan pada mana-mana acara HIKMAH, Kami boleh memulakan pada bila-bila masa yang dianggap sesuai, tentunya dalam had waktu yang patut dalam perkiraan yang munasabah.
Kami tidak mengharapkan kedatangan begitu ramai orang, cukuplah dengan yang sedikit tetapi sanggup datang tanpa dipaksa mahupun dijanjikan apa-apa ganjaran. Pada tahap ini rata-rata yang kelihatan datang daripada luar Chenor dan persekitaran, ada daripada Kuantan dan Kuala Lipis. lebih ramai daripada Selangor dan Lembah Klang. Saya menunggu sahaja masa yang sesuai untuk memulakan acara menurut gerak rasa dan keadaan...
No comments:
Post a Comment