Bersambung daripada HIKMAH Chenor : Menunggu kesesuaian pada pagi hari.
Sekitar jam 10.10 pagi, setelah melihat sudah cukup ramai hadirin, majlis pun dengam rasminya dimulakan.
Saudara Tengku Ahmad Ridhaudin sebagai wakil pihak penganjur tempatan untuk acara ke-14 HIKMAH ini memberikan sedikit kata-kata aluan juga pengenalan. Menetap di Lembah Klang, aktivis kebudayaan Melayu ini adalah orang yang bertanggungjawab membawa acara ke Chenor. Beliau memiliki ramai saudara mara di pekan kecil tepian Sungai Pahang ini.
Kata-kata aluan dan pengenalan disambung oleh bapa saudara Tengku Ahmad iaitu Tengku Hassani. Beliau yang menerajui persatuan kebudayaan tempatan yang dipanggil Warisan Chenor sudah banyak kali mengadakan acara di sekitar ini tetapi baru pertama kali terlibat dalam majlis seperti HIKMAH, baru pertama kali bersama dalam acara yang mana kebanyakan hadirin dan peserta memakai busana tradisional Melayu.
Selepas itu selesailah sesi pembukaan yang asalnya dijadualkan bermula jam 9 dan berakhir paling lambat pun jam 10. Menurut jadual atau atur cara, selepas itu adalah rehat sarapan pagi sehingga jam 10.15, kemudian bermulalah sesi pembentangan pagi membawa ke tengah hari. Oleh kerana sudah ramai bersarapan semasa menunggu majlis dimulakan, kita terus kepada pembentangan pertama. Kelihatan Dr Aminuddin Abdul Karim, seorang pakar ICT (Information Communication Technology) yang meminati sejarah sedang membuka tajuk "Lembah Bama Pusat Tamadun Melayu Silam" sekitar jam 10.40.
Kelihatan peserta/hadirin mendengar begitu santai. Suasana masjid lama yang dibuka tahun 1939 ini terasa begitu aman dan permai. Rujuk artikel Masjid Warisan (Heritage mosque of) Kampung Chenor, Pahang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Untuk pengetahuan ini adalah kali ketiga HIKMAH diadakan dalam masjid. Kali pertama adalah di Terengganu, kali kedua di Muar. Lihat artikel Acara kelima HIKMAH di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu, 5-8 Jun 2013 diikuti Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014.
Untuk acara kali ini keutamaan diberikan kepada para pembentang dari Pahang apa lagi tema atau tajuk sampingan acara adalah "Aliran Sungai Pahang". Kelihatan Aminuddin yang berasal dari Kuala Lipis bercerita tentang tamadun di Lembah Bama yang beliau percaya telah wujud seawal abad ke-5 Sebelum Masihi. Untuk pengetahuan lembah yang dimaksudkan merujuk pada satu kawasan sekitar 5 km dari Sungai Jelai, satu antara dua sungai paling utama (lagi satu adalah Sungai Tembeling) yang membentuk Sungai Pahang. Lihat artikel lama Kampung Relong di Kuala Lipis dan makam Raja Ahmad di blogspot CATATAN SI MERAH SILU
Pembentang kedua, saudara Azlan Ghanie membuka tajuk "Amalan Pejuang Pahang : Antara Silat dan Tasawuf " sekitar jam 11.20. Dikenali sebagai seorang pendita juga disebut orang sebagai seorang Profesor dan Doktor dalam bidangnya iaitu kajian persilatan, beliau tidak perlu lagi diperkenalkan dalam kalangan peminat dan pengamal ilmu persilatan tanah air. Ini kerana selain menjadi presiden Persatuan Guru-guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) dan pengasas Silat Lok 9 beliau juga pengasas dan penerbit majalah "Seni Beladiri". Atas sebab itulah saya meminta beliau untuk menangani tajuk yang agak berat ini.
Keadaan di luar masjid sambil pembentangan berjalan...
Secara rata Azlan menyebut bagaimana amalan para pejuang Pahang dahulukala, petua-petua dan amalan yang dibuat setiap hari daripada bangun tidur sebelum Subuh sampai masuk tidur pada waktunya membina siasah dan kekuatan diri. Kemudian beliau memberikan contoh beberapa orang pejuang Pahang yang dihormati hampir ke zaman moden iaitu membawa ke tahun 1960an, antaranya Dato' Yeop Mahidin, pengasas askar Wataniah yang walaupun berasal dari Perak banyak berjasa di Pahang termasuk pernah menyelamatkan Sultan Pahang daripada serangan komunis.
Menurut Azlan ini adalah kali pertama beliau membentang atau bersyarah dalam mana-mana majlis sejak 3 tahun kebelakangan. Atas sebab tertentu beliau terasa malas hendak bercakap kecuali untuk merasmikan majlis atau memberikan kata-kata aluan. Nampaknya anak kelahiran Pekan, Pahang yang saya difahamkan berketurunan bangsawan daripada Sarawak ini merasa terpanggil untuk berkongsi ilmu pada majlis HIKMAH di Chenor. Saya difahamkan kedatangan beliau turut mewakili tokoh budayawan terkenal Pahang, Dato' Aripin Said yang tidak dapat bersama kerana ada komitmen di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi tengah hari itu. Beliau juga sedikit sebanyak mewakili Dato Seri Wan Wahid, timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang juga Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor yang telah diundang ke majli tetapi juga tidak dapat datang kerana ada komitmen lain.
Pembentang ketiga Kapten (B) Haji Awwaluddin membuka tajuk "Pertanian Fitrah" sekitar 12 tengah hari.
Bekas pegawai TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) ini berasal dari Negeri Sembilan tetapi boleh dikira sudah menjadi menjadi orang Pahang kerana sering menetap di kampung Janda Baik, dalam daerah Bentong. Di situ beliau mengusahakan tanaman termasuk padi menggunakan konsep alami iaitu pertanian fitrah. Beliau menerangkan bagaimana ini boleh dilakukan apabila kita faham kitaran penggunaan alam semulajadi oleh makhluk ciptaan Tuhan, misalnya cacing dalam tanah yang boleh menyebabkan kawasan jadi subur akibat aktiviti kebiasaannya membina terowong serupa dengan proses pembajakan yang memberikan 'nafas' kepada tanah.
Pembentangan "Pertanian Fitrah" sebenarnya adalah sebahagian daripada tajuk lebih besar "Dinar Dirham dan Pertanian Fitrah". Awwaluddin juga adalah seorang aktivis penggunaan dinar dan dirham lalu memiliki seorang anak murid bernama Ahmad Afifi Sulaiman. Afifi ini yang menghubungi saya sebulan lalu menawarkan diri untuk membentang. Seminggu lepas baru saya tahu Awwaluddin akan turut membentang. Ke saya terlupa Afifi ada memberitahu? Yang pasti, pada mulanya saya ingat beliau akan membentang berseorangan.
Setelah mendapat tahu dua orang akan membentang tajuk besar yang dipecahkan menjadi dua bahagian, saya fikir Afifi akan memulakan, baru Awwaluddin. Tengok-tengok Afifi membentang kemudian menggunakan sepanduk maklumat berkenaan untuk membantu penerangan.
Masuk sesi soal jawab, seorang hamba Allah yang dipanggil Dato' Ismail tolong menjawab satu soalan. Beliau datang bersama Afifi dan Awwaluddin ke majlis ini. Kami dimaklumkan Ismail pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan negeri Pahang. Oh, untuk majlis ini soal jawab diadakan selepas setiap pembentangan.
Masuk sahaja waktu Zuhur sesi pembentangan pun ditamatkan Kelihatan suasan di luar sementara menunggu orang ramai bersiap sedia untuk solat berjemaah...
Solat...
Makan tengah hari dan rehat...
No comments:
Post a Comment