Friday, July 31, 2015

Lawatan lapangan HIKMAH Beruas, shooting "Daulah Melayu" dan pertukaran lokasi acara


Salam Jumaat. Pada artikel Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru yang dibuat 3 hari lalu saya ada memberitahu lokasi acara telah dimuktamadkan mahu diadakan di sebuah chalet di Kampung Bakar Bata, sekitar 12 km ke selatan pekan Beruas. Pagi tadi saya baru menerima berita pertukaran lokasi ke kampung berdekatan. Nasib baik ia tidak mengganggu kerana lokasi baru cukup dekat dengan yang lama. Biar dicopy paste update berkenaan yang diletakkan di Facebook...

--------------

LOKASI HIKMAH BERUAS 8 OGOS DIALIH KE KAMPUNG BANJAR

Salam pagi Jumaat. Hari ini tergerak saya untuk membuat senarai tempat2 yang mahu diliputi dalam sesi lawatan lapangan HIKMAH Beruas yang mahu diadakan Ahad 9 Ogos. Tapi sebelum itu biar dikongsi berita pertukaran yang baru diterima tadi. Saya diberitahu jawatankuasa penganjur tempatan telah membuat keputusan untuk mengalihkan acara ke dewan orang ramai di Kampung Banjar, Beruas. Ini adalah sekitar 1.2 km ke selatan lokasi acara yang diumumkan sebelum ini iaitu di Chalet Md Tan, Kampung Bakar Bata.

Saya belum melihat sendiri dewan ini tetapi dimaklumkan kemudahan yang ada lebih baik berbanding di Kampung Bakar Bata. Dengan itu majlis ilmu Sabtu 8 Ogos akan diadakan di situ, begitu juga taklimat dan perkumpulan untuk lawatan lapangan 9 Ogos. Insyaallah juga akan diadakan aktiviti seperti bacaan puisi pada malam 8 Ogos di dewan ini. Ini bergantung pada kesediaan mereka yang terlibat apabila sampai waktunya memikirkan, selepas majlis ilmu hadirin perlu berehat sebelum menyertai lawatan lapangan keesokan harinya.




Seterusnya saya membuat update ini di FB...


--------------


PENGGAMBARAN DOKUMENTARI "DAULAH MELAYU" PADA HIKMAH BERUAS

Nampaknya saya harus membuat status terbaru HIKMAH Beruas secara berperingkat baru rasa beres. Tadi dah sebut pasal pertukaran tempat acara ke Kampung Banjar sekarang kena kongsi bab ini sebelum menyenaraikan tempat2 bersejarah yang akan dijejaki pada sesi lawatan lapangan.

OK. Rasanya ramai sudah tahu tentang penglibatan saya dalam satu projek dokumentari bernama "Daulah Melayu". Selain menjadi penyelidik saya juga hos lalu harus mengembara ke merata tempat termasuk ke benua Eropah untuk menjayakan projek bersiri yang memakan masa 2 tahun ini. Pihak produksi kami telah bersetuju untuk membuat penggambaran semasa HIKMAH Beruas 8 Ogos nanti. Paling utama mereka mahu mengekori perjalanan dan tempat2 yang diliputi semasa lawatan lapangan 9 Ogos.

Penggambaran dibuat dalam 2 kapasiti. Satu adalah untuk menunjukkan aktiviti saya sebagai hos yang sering terlibat dengan acara2 memartabatkan sejarah dan ketamadunan Melayu. Satu lagi adalah untuk bercerita tentang kerajaan Beruas yang terkait dengan kerajaan lebih lama iaitu Gangganegara itu sendiri. Dengan itu hadirin akan menjadi sebahagian daripada isi dokumentari. Semoga ini dapat menyemarakkan lagi semangat semua untuk berjuang demi kedaulatan Melayu dan Islam di bumi timur ini.

--------------

Dua update di FB ini muncul demi untuk menerangkan sesuatu. Sekarang barulah kita ke cerita utama, lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah yang mahu diadakan Ahad 9 Ogos iaitu sehari selepas majlis ilmu Sabtu 8 Ogos...



Disebabkan perubahan lokasi acara adalah cukup dekat berbanding lokasi dahulu maka peta atas yang dipersembahkan dalam artikel Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru3 hari lalu masih terpakai. Peta ini juga melingkungi tempat-tempat yang boleh dilawati demi menjejak sejarah lama kerajaan Beruas dan kerajaan lebih lama Gangganegara. Biar disenaraikan tempat-tempat yang mahu dilawati seperti diberitahu kepada saya pagi tadi...


1. Bukit Shamsul Baharin


Bukit ini terletak kira-kira 7 km ke utara lokasi baru acara iaitu dewan orang ramai Kampung Banjar. Penanda dalam peta berwarna merah masih terpakai untuk menunjukkan lokasinya. Terdapat pelbagai cerita mistik dikaitkan dengan bukit ini, biar pengkaji tempatan menceritakannya nanti semasa sesi ilmu 8 Ogos diikuti taklimat lawatan lapangan 9 Ogos. Saya cuma tahu ada gua berdekatan puncak yang mana ramai pernah terlihat harta karun daripada jauh termasuk pengembara Mat Saleh zaman penjajahan British dahulu namun tiada siapa dapat mengambilnya.

Lagi satu adalah asal-usul nama bukit. Biar diulang, menurut cerita tempatan kerajaan Beruas diasaskan oleh seorang anak Raja Aceh bernama Malikul Mansur. Ini sebenarnya merujuk kepada Sultan Malikul Mansur, cucu kepada Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai hampir 800 tahun lalu, 300 tahun kemudian ia diserap ke dalam kerajaan Aceh. Kitab Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, Sultan Malikul Mansur mewarisi kerajaan Samudera setelah kemangkatan Malikus Saleh. Kekanda baginda Sultan Malikul Mahmud pula telah lebih awal mewarisi kerajaan Pasai.

Namun Malikul Mansur dibuang daripada kerajaan oleh kekandanya akibat mengambil perempuan dari istana Pasai. Hikayat Raja-raja Pasai menyebut baginda dibuang ke Temiang, berhampiran sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang sedangkan kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu menyebut baginda dibuang ke Manjung iaitu berdekatan Beruas sekarang. Selepas membuka Beruas baginda didatangi 2 orang sahabat dari Aceh, Shamsul Baharin dan Daik Ismail lalu menjadikan mereka pembesar. Shamsul Baharin menjadi pemerintah Beruas apabila Malikul Mansur dipanggil kembali ke Aceh. Namanya diabadikan pada bukit kerana dipercayai bersemayam di sekitar situ...


2. Kampung Kota

Kampung ini terletak di tepi jalan Sitiawan-Beruas berhadapan Bukit Shamsul Bahrin. Dipercayai pernah ada kota lama yang besar di sini tetapi yang tinggal adalah sejumlah makam berbatu nesan Aceh. Secara rata pengkaji luar lebih mengenali kampung ini sebagai peninggalan zaman kegemilangan Beruas disebabkan makam-makam yang ada.


3. Muzium Beruas

Terletak di hujung pekan Beruas ia menempatkan relik-relik atau barangan lama yang dipercayai tinggalan lama kerajaan. Saya diberitahu muzium ini terbit hasil ekspedisi tajaan kerajaan Perak yang diadakan tahun 1991. Sedangkan ekpedisi kerajaan adalah susulan daripada ekspedisi-ekspedisi. anak tempatan untuk merungkai misteri kebesaran kerajaan Beruas. Lihat artikel-artikel berikut...










Lawatan ke Muzium Beruas dapat memberikan kefahaman yang baik tentang apa yang perlu diiliputi demi memahami sejarah kerajaan Beruas dan Gangganegara. Ini juga membawa kepada lawatan ke kawasan yang dipercayai tapak pelabuhan lama, dalam lingkungan pekan.



4. Kampung Dendang

Saya dah penat memberikan huraian. Cukuplah disebut kampung ini terletak sekitar 4-5 km ke timur pekan Beruas iaitu di tepi jalan ke Ipoh. Di situ katanya ada tempat dipanggil pintu gerbang, nampaknya merujuk pada pintu gerbang kerajaan. Lebih menarik ada kawasan yang jika dipijak mengeluarkan bunyi seperti gendang dipalu. Katanya ini menunjukkan kawasan di bawah bumi situ kosong, ada ruang tinggalan daripada zaman lama kerajaan.


5. Kampung Che Putih

Yang ni saya cuma tahu menghala ke barat pekan iaitu jalan ke Taiping. Katanya ada lokasi menunjukkan keberadaan kerajaan purba Gangganegara.


6. Kampung Pulau Meranti

Ada sejumlah makam-makam di sekitar kampung. Banyak barangan lama telah ditemui di kawasan ini

7. Ladang berdekatan Pulau Meranti 

Satu bukit dalam ladang berkenaan dipercayai adalah lokasi batu bersurat Beruas yang misteri pernah dilihat pencari rotan 30 tahun lalu. Tetapi sejak itu tidak pernah ditemui.


Lain-lain tempat

Terletak lebih jauh sikit tetapi masih dalam lingkungan yang mampu diliputi dalam lawatan lapangan adalah tempat-tempat legenda seperti Makam Puteri Bunian, Padang Antah Berantah dan Kota Kulit Kerang. Sebetulnya banyak cerita berkaitan kerajaan lama Beruas juga Gangganegara boleh ditelusuri melalui lokasi-lokasi dalam lingkungan 20-30 km daripada pekan Beruas. Ada antara tempat-tempat ini pernah diceritakan dalam siri novel terkenal "Bercakap dengan Jin" kerana memang cerita di dalamnya berlaku dalam lingkungan yang dimaksudkan.

Tetapi ini cuma  akan dilakukan jika ada permintaan, masa dan tenaga. Secara rata lawatan lapangan ini akan cuba merungkai banyak perkara termasuk yang bersifat mistik tentang kerajaan-kerajaan lama yang pernah wujud di sekitar ini. Sesungguhnya ini bukanlah kerja enteng. Ia adalah satu misi besar yang saya percaya ada kaitan dengan kebangkitan Islam di akhir zaman. Untuk membaca pengalaman saya sendiri menjejak tempat-tempat ini lihat artikel-artikel berikut di blogspot CATATAN SI MERAH SILU :- :-













Nota : Banyak lokasi pernah dijejaki tetapi masih banyak juga yang belum pernah saya sampai. Apapun saya diberitahu semua lokasi dapat dicapai dengan kenderaan ringan seperti kereta biasa, tidak perlu 4WD. Secara rata ada jalan kampung menuju ke semua tempat. Walaupun ada yang masuk lebih ke dalam kita tak perlu pergi begitu jauh. Misalnya Bukit Shamsul Bahrin. Kawasan paling menarik dan misteri adalah menghampiri puncak, perlu trekking jalan kaki mendaki bukit ke dalam. Tapi kita tidak akan pergi sejauh itu kerana banyak tempat hendak diliputi dalam masa terhad dan kami tidak mahu orang penat. Sebaliknya kami akan menggunakan jalan yang boleh dicapai kereta sedalam yang mungkin, cukup agar semua orang dapat melihat keistimewaan setiap tempat. Selepas itu kalau ada yang mahu lebih adventure boleh atur sendiri sesi pengembaraan kemudian.


Tuesday, July 28, 2015

Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru

Malam ini masuklah tarikh Hijriah 13 Syawal 1436. Sedar tak sedar dah dekat 2 minggu kita menyambut kemeriahan hari-hari raya bulan Syawal. Diharap tidak terlambat untuk pihak kami mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua...

Merujuk pada artikel Tarikh baru HIKMAH Beruas ditetapkan 8 Ogos yang dipersembahkan hampir 2 bulan lalu. Dipaparkan 10 hari sebelum kita mula berpuasa bulan Ramadhan, ia adalah artikel terakhir di blogspot HIKMAH sebelum yang ini. Maka harus dimaklumkan telah berlaku sedikit perubahan tentang acara, Sebelum itu biar diceritakan tentang lokasi...


Lokasi Tepat Acara



Telah diputuskan secara muktamad bahawa acara  akan diadakan di chalet yang kelihatan. 



Sebelum ini saya pernah bercadang untuk mengadakan acara di Masjid Kampung Kota, 4 km daripada pekan Beruas. Satu lagi tempat yang dicadangkan adalah di dewan orang ramai di pekan.



Setelah dipertimbangkan pelbagai hal. kami iaitu HIKMAH dan pihak penganjur tempatan merasakan kemudahan yang terdapat di chalet ini lebih sesuai untuk membantu kelancaran majlis.









Letaknya di Kampung Bakar Bata, sekitar 12 km ke selatan pekan Beruas. Chalet terletak di tepi jalan sekitar 100 meter daripada papan tanda ini.




Kedudukan lokasi acara HIKMAH Beruas berbanding beberapa tempat di negeri Perak. Dalam banyak-bantak tempat yang kelihatan dalam peta ini saya percaya yang paling dikenali ramai adalah Lumut kerana ia adalah bandar peranginan dan pintu masuk ke Pulau Pangkor. Maka itu bolehlah diberitahu lokasi acara terletak 34 km daripada bandar Lumut...




Ini pula laluan-laluan yang boleh diambil dari Kuala Lumpur. Saya lihat di Google Earth koordinat lokasi adalah 4°23'46''N 100°47'01''.

Tentang perubahan sejak Tarikh baru HIKMAH Beruas ditetapkan 8 Ogos dipaparkan, pada artikel tersebut saya ada menyebut bahawa Raja Muda Perak, DYTM Raja Jaafar ibni almarhum Raja Muda Musa akan merasmikan majlis Jumaat malam Sabtu 7 Ogos 2015. Dalam Facebook pula saya menambah adinda baginda YM Raja Kobat akan membentang tentang Beruas dan Gangganegara siang Sabtu 8 Ogos. Namun semasa bulan Ramadhan saya dimaklumkan Raja Kobat tidak dapat bersama lalu mengamanahkan seorang adinda untuk membentang mewakili beliau .

Pada awal Syawal kami dikejutkan dengan berita adinda yang dimaksudkan iaitu YM Raja Muzaffar telah meninggal dunia. Takziah dan al-Fatihah diucapkan kepada waris-waris si mati, keluarga Raja Muda dan kerabat-kerabat diraja Perak yang terkait dengannya. Dengan ini keluarga mereka tidak dapat melibatkan diri dalam acara. Perasmian yang dicadangkan 7 Ogos 2015 pun dibatalkan lalu kita terus pergi pada Sabtu 8 Ogos...



Atur Cara HIKMAH Beruas 8 Ogos


8 - 9 : Kedatangan peserta/sarapan

9 - 9.30 : Sedikit kata-kata aluan/pembukaan daripada pengerusi penganjur tempatan diikuti presiden HIKMAH

9.30-11.30 : Sesi pembentangan pagi

Rehat 15 minit

11.45 - 1.45 : Sesi pembentangan tengah hari

Rehat makan tengah hari/solat Zuhur

2.45-4.45 : Sesi pembentangan petang

Rehat minum petang/solat Asar

5.15 - 5.45 : Sesi berkumpulan mengikut minat seperti Perkerisan, Persilatan dan Busana sambil beramah mesra. Tajuk/tema adalah "Jejak Batu Bersurat"... untuk membincangkan bagaimana mahu memanfaatkan sebaik mungkin sesi lawatan lapangan atau field trip yang mahu diadakan hari Ahad.



Lawatan Lapangan Hari Ahad 

Ya, kami akan mengadakan sesi lawatan sambil memakai busana tradisional Melayu ke tempat-tempat bersejarah di Beruas. Insyaallah ia akan dimulakan sekitar jam 9 pagi Moga-moga dapat menjejaki sebuah batu bersurat misteri yang katanya pernah dilihat di satu lokasi tertentu. Sila rujuk artikel-artikel berikut...
















Tajuk-tajuk Pembentangan


Senarai pembentangan dan pembentang adalah seperti berikut :-


1. Dinar Dirham vs Wang Kertas dan Penipuan Perbankan – Amirul Haji Mohamad, jururunding kewangan Islam, aktivis dinar dan dirham

2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail kini wartawan bebas

3. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis siri buku "Berpetualang ke Aceh"

4. Pentingnya Salasilah Dalam Memahami Peranan dan Amanah - Megat Iskandar At-Terawis, setiausaha Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia

5. Ikonografi Zulfikar di Alam Melayu : Kibaran Panji-panji Perjuangan Melayu Islam – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni ukir dan khat

6. Kesatuan dalam Kepelbagaian : Identiti Ragam Hias Gunungan Mimbar Sultan Iskandar Muda (1607-1636) – Dr Harleny Abd Arif,  doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (mintak sesi petang)

7. Beruas sebagai satu tapak kebangkitan akhir zaman – Zuhriah Dato’ Shahruddin, motivator/trainer, seorang anak Beruas

8. Menjejak Tamadun Lama Beruas Gangganegara – Pengkaji sejarah Beruas, ahli ekspedisi kerajaan 1991, tuan Murshidi

Ada satu lagi slot telah diperuntukkan untuk mencukupkan 9 agar setiap sesi pembentangan (pagi, tengah hari dan petang) dapat diisi dengan 3 pembentangan sepanjang 30-40 minit setiap satu. Slot ini jadi kosong akibat kerabat diraja Perak yang dijadualkan membentang sudah meninggal dunia. Namun ada pihak lain menawarkan diri untuk mengisi lalu memberitahu akan memberi kepastian dalam tempoh sehari dua ini. Kalau tak jadi mungkin 8 pembentangan yang sedia tersenarai akan dibahagikan kepada 2 sesi.



Tentang Penginapan di Chalet

Saya dimaklumkan ada 18 biji chalet kesemuanya di lokasi acara. Pihak penganjur tempatan akan menyewa 3 buah untuk penginapan Jumaat malam Sabtu dan 7 untuk Sabtu malam Ahad. Ia adalah untuk kegunaan pembentang dan urusetia. Jika ada ruang lebih  baru kami boleh memberi pihak lain menginap secara percuma dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang sudah biasa mengikuti HIKMAH. Selain daripada itu tuan-tuan dan puan-puan boleh menyewa sendiri. Seingat saya sebiji chalet sewanya RM70 satu malam dan boleh memuatkan satu keluarga dengan selesa.


Tentang Berniaga Semasa Acara

Hampir lupa. Seperti biasa pada setiap acara HIKMAH tapak perniagaan percuma disediakan kepada sesiapa sahaja yang berminat. Tak perlu pun mendaftar, datang sahaja ambil tempat. Cuma kami tidak dapat menjanjikan kerusi dan meja, maka itu elok bawa sendiri ya. Lagi satu. Harap semua dapat berpakaian tradisional Melayu, sebaiknya berbusana penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris bagi yang laki-laki. Insyaallah jumpa kita di Beruas 8 Ogos iaitu 11 hari lagi! :]





Update Rabu 29 Julai 2015 bersamaan siang 13 Syawal 146 Hijriah - copy daripada Facebook...


SLOT PEMBENTANGAN HIKMAH BERUAS DAH CUKUP 9


OK. Saya baru dapat kepastian setelah ada orang menawarkan untuk mengisi kekesongan slot yang diumumkan semalam. Tajuknya "Teori Membangun Umat Cemerlang. : Rahsia Pemakanan para Rasul dan Kesan Amalan Harian Mereka daripada Sudut Sains" oleh tuan Idris Zainal Abidin, seorang pengkaji sejarah dan pengusaha makanan sunnah. Dengan ini cukuplah 9 tajuk oleh 9 orang pembentang untuk mengisi 3 sesi ilmu semasa HIKMAH Beruas berlangsung 8 Ogos, pagi, tengah hari dan petang. Setiap sesi diisi oleh 3 pembentangan, setiap pembentang diberi masa paling maksimum 40 minit. Alhamdulillah...