Tuesday, July 28, 2015

Lokasi tepat HIKMAH Beruas 8 Ogos dan atur cara terbaru

Malam ini masuklah tarikh Hijriah 13 Syawal 1436. Sedar tak sedar dah dekat 2 minggu kita menyambut kemeriahan hari-hari raya bulan Syawal. Diharap tidak terlambat untuk pihak kami mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua...

Merujuk pada artikel Tarikh baru HIKMAH Beruas ditetapkan 8 Ogos yang dipersembahkan hampir 2 bulan lalu. Dipaparkan 10 hari sebelum kita mula berpuasa bulan Ramadhan, ia adalah artikel terakhir di blogspot HIKMAH sebelum yang ini. Maka harus dimaklumkan telah berlaku sedikit perubahan tentang acara, Sebelum itu biar diceritakan tentang lokasi...


Lokasi Tepat Acara



Telah diputuskan secara muktamad bahawa acara  akan diadakan di chalet yang kelihatan. 



Sebelum ini saya pernah bercadang untuk mengadakan acara di Masjid Kampung Kota, 4 km daripada pekan Beruas. Satu lagi tempat yang dicadangkan adalah di dewan orang ramai di pekan.



Setelah dipertimbangkan pelbagai hal. kami iaitu HIKMAH dan pihak penganjur tempatan merasakan kemudahan yang terdapat di chalet ini lebih sesuai untuk membantu kelancaran majlis.









Letaknya di Kampung Bakar Bata, sekitar 12 km ke selatan pekan Beruas. Chalet terletak di tepi jalan sekitar 100 meter daripada papan tanda ini.




Kedudukan lokasi acara HIKMAH Beruas berbanding beberapa tempat di negeri Perak. Dalam banyak-bantak tempat yang kelihatan dalam peta ini saya percaya yang paling dikenali ramai adalah Lumut kerana ia adalah bandar peranginan dan pintu masuk ke Pulau Pangkor. Maka itu bolehlah diberitahu lokasi acara terletak 34 km daripada bandar Lumut...




Ini pula laluan-laluan yang boleh diambil dari Kuala Lumpur. Saya lihat di Google Earth koordinat lokasi adalah 4°23'46''N 100°47'01''.

Tentang perubahan sejak Tarikh baru HIKMAH Beruas ditetapkan 8 Ogos dipaparkan, pada artikel tersebut saya ada menyebut bahawa Raja Muda Perak, DYTM Raja Jaafar ibni almarhum Raja Muda Musa akan merasmikan majlis Jumaat malam Sabtu 7 Ogos 2015. Dalam Facebook pula saya menambah adinda baginda YM Raja Kobat akan membentang tentang Beruas dan Gangganegara siang Sabtu 8 Ogos. Namun semasa bulan Ramadhan saya dimaklumkan Raja Kobat tidak dapat bersama lalu mengamanahkan seorang adinda untuk membentang mewakili beliau .

Pada awal Syawal kami dikejutkan dengan berita adinda yang dimaksudkan iaitu YM Raja Muzaffar telah meninggal dunia. Takziah dan al-Fatihah diucapkan kepada waris-waris si mati, keluarga Raja Muda dan kerabat-kerabat diraja Perak yang terkait dengannya. Dengan ini keluarga mereka tidak dapat melibatkan diri dalam acara. Perasmian yang dicadangkan 7 Ogos 2015 pun dibatalkan lalu kita terus pergi pada Sabtu 8 Ogos...



Atur Cara HIKMAH Beruas 8 Ogos


8 - 9 : Kedatangan peserta/sarapan

9 - 9.30 : Sedikit kata-kata aluan/pembukaan daripada pengerusi penganjur tempatan diikuti presiden HIKMAH

9.30-11.30 : Sesi pembentangan pagi

Rehat 15 minit

11.45 - 1.45 : Sesi pembentangan tengah hari

Rehat makan tengah hari/solat Zuhur

2.45-4.45 : Sesi pembentangan petang

Rehat minum petang/solat Asar

5.15 - 5.45 : Sesi berkumpulan mengikut minat seperti Perkerisan, Persilatan dan Busana sambil beramah mesra. Tajuk/tema adalah "Jejak Batu Bersurat"... untuk membincangkan bagaimana mahu memanfaatkan sebaik mungkin sesi lawatan lapangan atau field trip yang mahu diadakan hari Ahad.



Lawatan Lapangan Hari Ahad 

Ya, kami akan mengadakan sesi lawatan sambil memakai busana tradisional Melayu ke tempat-tempat bersejarah di Beruas. Insyaallah ia akan dimulakan sekitar jam 9 pagi Moga-moga dapat menjejaki sebuah batu bersurat misteri yang katanya pernah dilihat di satu lokasi tertentu. Sila rujuk artikel-artikel berikut...
















Tajuk-tajuk Pembentangan


Senarai pembentangan dan pembentang adalah seperti berikut :-


1. Dinar Dirham vs Wang Kertas dan Penipuan Perbankan – Amirul Haji Mohamad, jururunding kewangan Islam, aktivis dinar dan dirham

2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail kini wartawan bebas

3. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis siri buku "Berpetualang ke Aceh"

4. Pentingnya Salasilah Dalam Memahami Peranan dan Amanah - Megat Iskandar At-Terawis, setiausaha Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia

5. Ikonografi Zulfikar di Alam Melayu : Kibaran Panji-panji Perjuangan Melayu Islam – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni ukir dan khat

6. Kesatuan dalam Kepelbagaian : Identiti Ragam Hias Gunungan Mimbar Sultan Iskandar Muda (1607-1636) – Dr Harleny Abd Arif,  doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (mintak sesi petang)

7. Beruas sebagai satu tapak kebangkitan akhir zaman – Zuhriah Dato’ Shahruddin, motivator/trainer, seorang anak Beruas

8. Menjejak Tamadun Lama Beruas Gangganegara – Pengkaji sejarah Beruas, ahli ekspedisi kerajaan 1991, tuan Murshidi

Ada satu lagi slot telah diperuntukkan untuk mencukupkan 9 agar setiap sesi pembentangan (pagi, tengah hari dan petang) dapat diisi dengan 3 pembentangan sepanjang 30-40 minit setiap satu. Slot ini jadi kosong akibat kerabat diraja Perak yang dijadualkan membentang sudah meninggal dunia. Namun ada pihak lain menawarkan diri untuk mengisi lalu memberitahu akan memberi kepastian dalam tempoh sehari dua ini. Kalau tak jadi mungkin 8 pembentangan yang sedia tersenarai akan dibahagikan kepada 2 sesi.



Tentang Penginapan di Chalet

Saya dimaklumkan ada 18 biji chalet kesemuanya di lokasi acara. Pihak penganjur tempatan akan menyewa 3 buah untuk penginapan Jumaat malam Sabtu dan 7 untuk Sabtu malam Ahad. Ia adalah untuk kegunaan pembentang dan urusetia. Jika ada ruang lebih  baru kami boleh memberi pihak lain menginap secara percuma dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang sudah biasa mengikuti HIKMAH. Selain daripada itu tuan-tuan dan puan-puan boleh menyewa sendiri. Seingat saya sebiji chalet sewanya RM70 satu malam dan boleh memuatkan satu keluarga dengan selesa.


Tentang Berniaga Semasa Acara

Hampir lupa. Seperti biasa pada setiap acara HIKMAH tapak perniagaan percuma disediakan kepada sesiapa sahaja yang berminat. Tak perlu pun mendaftar, datang sahaja ambil tempat. Cuma kami tidak dapat menjanjikan kerusi dan meja, maka itu elok bawa sendiri ya. Lagi satu. Harap semua dapat berpakaian tradisional Melayu, sebaiknya berbusana penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris bagi yang laki-laki. Insyaallah jumpa kita di Beruas 8 Ogos iaitu 11 hari lagi! :]





Update Rabu 29 Julai 2015 bersamaan siang 13 Syawal 146 Hijriah - copy daripada Facebook...


SLOT PEMBENTANGAN HIKMAH BERUAS DAH CUKUP 9


OK. Saya baru dapat kepastian setelah ada orang menawarkan untuk mengisi kekesongan slot yang diumumkan semalam. Tajuknya "Teori Membangun Umat Cemerlang. : Rahsia Pemakanan para Rasul dan Kesan Amalan Harian Mereka daripada Sudut Sains" oleh tuan Idris Zainal Abidin, seorang pengkaji sejarah dan pengusaha makanan sunnah. Dengan ini cukuplah 9 tajuk oleh 9 orang pembentang untuk mengisi 3 sesi ilmu semasa HIKMAH Beruas berlangsung 8 Ogos, pagi, tengah hari dan petang. Setiap sesi diisi oleh 3 pembentangan, setiap pembentang diberi masa paling maksimum 40 minit. Alhamdulillah...


No comments:

Post a Comment