Saturday, August 22, 2015

HIKMAH Beruas - Lawatan lapangan dan konvoi kawan-kawan

Salam semua. Sampai masa untuk menyambung cerita yang tertunggak selepas artikel HIKMAH Beruas - Sajian malam warga tempatan dipersembahkan 9 hari lalu. Masuk pada sesi lawatan lapangan pada hari selepas majlis ilmu...



Pagi Ahad 9 Ogos 2015 tibalah bahagian yang saya difahamkan paling ditunggu-tunggu oleh ramai pihak.



Ia adalah lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah di Beruas dan sekitarnya...




Untuk itu kami berkumpul dahulu di dewan orang ramai Kampung Banjar jam 9 pagi sebelum berlepas ke pekan Beruas. 







Ketika gambar-gambar di atas diambil separuh daripada kami sudah berlepas lebih awal sementara yang lain menunggu untuk saya menyelesaikan sedikit hal tertentu.




Kami bertemu di Muzium Beruas, tempat pertama mahu dilawati dalam lawatan lapangan ini...








Sedikit sejarah terpampang pada papan maklumat di halaman muzium. Ada kenyataan tentang batu bersurat yang pernah dilihat orang di Beruas, kenyataan yang membawa saya untuk mengadakan acara HIKMAH di sekitar ini. Rujuk artikel-artikel berikut :-









Muzium begitu meriah dengan kehadiran kami apa lagi ramai memakai busana tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Lihat artikel Group visit to Beruas museum di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Sesungguhnya muzium juga pekan kecil Beruas yang mengandunginya jarang menerima tetamu seperti kami. Menerima tetamu luar iaitu bukan warga tempatan dalam jumlah yang agak terserlah pun jarang, kalau berpakaian begini mungkin kali pertama. Walaupun wilayah ini memiliki sejarah yang sangat besar ia sudah lama dilupakan lantaran perubahan zaman yang memencilkan ia menjadi tempat yang kurang diminati kecuali pada mereka yang betul-betul peka. Siapa sangka tiba-tiba boleh muncul begitu ramai yang cintakan sejarah daripada pelbagai pelusuk negara Malaysia malah daripada Pulau Bentan di Indonesia dan Aceh pun ada!




Tempat seterusnya dijejaki terletak dalam kawasan sekolah ini.








Kami diberitahu padang sekolah terletak di atas tapak pelabuhan purba kerajaan Beruas. Ia merujuk pada satu zaman di mana sungai besar pernah mengalir di hadapan ini. Perubahan zaman telah menyaksikan sungai mengering menjadi paya kemudian ditimbus menjadi padang. Lihat artikel Visit to site of Beruas ancient harbour.




Cuma ada satu bahagian sahaja yang masih kekal berair lalu dikenali sebagai Tasik Mani Dendang. Menurut ceritanya ia pernah cuba ditimbus tapi tak dapat. Walaupun 1,000 muatan lori berisi tanah dan pasir dihumbankan ia tetap berair lalu dibiarkan begitu sahaja. Lihat Tasik (Lake of) Mani Dendang dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Selepas itu kami berkonvoi masuk ke satu kawasan yang agak jauh ke pendalaman.







Di situ, di tempat bernama Pulau Meranti kami mengadakan tahlil di hadapan sepasang makam purba. Lihat  Convoy to Pulau Meranti.




Selesai itu kami mengambil jalan short-cut menghulu Sungai Beruas untuk ke Kampung Kota.








Kami sampai ke kampung sekitar jam 12.40 lalu terus ke balai yang kelihatan untuk makan tengah hari. Lihat Feted by Kampung Kota folks.










Selesai makan diikuti kata-kata aluan oleh ahli jawatankuasa Kampung Kota baru kami masuk pendalaman kampung untuk menziarahi makam-makam lama yang dikenali sebagai "Makam Raja-raja Beruas". Lihat Tombs of the kings of Beruas.





Kalau ikut rancangan asal lawatan lapangan yang diumumkan dalam artikel Lawatan lapangan HIKMAH Beruas, shooting "Daulah Melayu" dan pertukaran lokasi acara pada 31 Julai, makam di Kampung Kota adalah tempat yang kedua mahu diziarahi. Pertama adalah Bukit Shamsul Baharin yang menghadap kampung, di seberang jalan besar. Ini kerana kedudukan kedua-dua tempat ini adalah yang paling dekat dari Kampung Banjar iaitu lokasi majlis ilmu hari Sabtu. Tetapi petang ketika pembentangan sedang berlangsung, kami diberitahu bahawa masyarakat kampung mahu menyambut kami dengan makan tengah hari. Maka itu rancangan ditukar... biar kami pergi ke tempat-tempat yang lebih jauh terlebih dahulu, dah dekat penghujung baru ke Kampung Kota...




Dalam rancangan asal juga ada disebut kami mahu masuk ke ladang tempat batu bersurat Beruas pernah dilihat orang berpuluh tahun lalu. Tetapi ini terpaksa dibatalkan kerana susah hendak mendapatkan kebenaran masuk ke ladang yang katanya dimiliki syarikat daripada sebuah negara Eropah. Cukuplah kami mendekatinya apabila bertandang ke Pulau Meranti. Mungkin sebab itu lawatan ke kawasan tersebut dirasakan paling menerbitkan aura mistik oleh ramai orang?

Kami juga tidak dapat menjejakkan kami ke Bukit Syamsul Bahrim kerana diberitahu jalan masuk ke kaki bukit tidak berapa elok. Perjalanan berkonvoi sekitar 20 kereta ke Pulau Meranti menunjukkan bukan mudah hendak mengendalikan rombongan beramai-ramai - ada juga yang tersilap mengambil simpang lalu tersesat jalan sebelum dihantar warga tempatan untuk mencari dan membetulkan arah. Dan lagi ramai sudah penat, sampai ke makam raja-raja Beruas pun dah dekat 2 petang. Cukuplah kami melihat bukit tersebut daripada makam. Itulah yang kelihatan pada latar belakang gambar atas. Saya melalui HIKMAH, dengan kerjasama warga tempatan yang berpengetahuan sudah menunjukkan dan membuka jalan. Selepas ini kalau mahu melihat lebih dekat boleh atur sendiri pengembaraan.


2 comments:

  1. Bilakah ada ada ekspedisi lapangan seperti ini lg? Sy berminat untuk ziarah dan mengkaji sejarah2 gangga negara. No tel sy 01950501950

    ReplyDelete