Melihat satu perkembangan baru di Facebook tergerak saya untuk menulis satu status yang agak panjang lebar. Kemudian timbul rasa untuk berkongsi status tersebut di blogspot ini. Sekurang-kurangnya lebih senang dicari bila perlu dirujuk nanti. Isinya adalah seperti di bawah...
BERTINDAKLAH DENGAN BIJAK - TENTANG MEMAKAI KERIS DI TEMPAT AWAM
Salam dari Muar. Alhamdulillah pagi tadi dapat makan nasi beringin berlaukkan ayam kari bersama ibu bapa dan seorang anak di bus stand tepi Sungai Muar, setelah beberapa lama tidak merasainya. Ni balik Muar hantar orang tua selepas membawa mereka berehat 3 malam di rumah saya di Selangor sambil bersama memeriahkan majlis rumah terbuka Sabtu 15 Ogos 2015 bersamaan 30 Syawal 1436 Hijriah. Lihat http://merahsilu.blogspot.com/2015/08/rumah-terbuka-merah-silu-30-syawal-1436.html. Petang nanti saya dan anak kena kembali ke rumah...
OK. Saya lihat ada anak-anak muda mahu memulakan gerakan memakai busana tradisional Melayu di tempat-tempay awam terkenal di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Sebenarnya sejak beberapa tahun kebelakangan ramai telah melakukannya di merata ceruk KL dan Malaysia, cuma mungkin tak semua perasan. Apapun baguslah kalau ada gerakan baru atau tambahan untuk memartabatkan Melayu dan Islam. Cuma saya nak ingatkan. Dalam keghairahan mahu memulakan gerakan baru memakai busana di tempat awam kita harus bijak, bertindak selari dengan undang-undang.
Untuk melengkapkan pemakaian busana Melayu semua tahu kita harus memakai keris sedangkan ia termasuk dalam senarai senjata berjadual kalau tak pun senjata berbahaya. Ini bermakna kalau dibawa ke tempat awam tanpa alasan yang kukuh ia boleh menyebabkan kita ditangkap lalu dipenjarakan. Adalah menjadi matlamat para pejuang agar pemakaian busana penuh tradisional Melayu dapat dibudayakan kembali sehingga ia tidak kelihatan janggal malah dilihat sebagai pakaian patut kita oleh semua orang. Sambil itu kita harus melihat kiri kanan akan kemungkinan wujud pihak-pihak yang boleh merasa terancam.
Maka itu apabila dah pakai busana kita kena tunjukkan diri sebagai orang budiman yang tahu berbudi bahasa, tidak cepat melatah apa lagi hendak menghunuskan keris dalam keadaan mengancam. Keris di pinggang bukan lambang menunjukkan kekuatan atau kekerasan tetapi lambang diri yang memiliki budi pekerti tinggi ingin memartabatkan Melayu dan Islam. Di sini biar dicopy paste akta undang-undang yang melarang kita membawa senjata tajam namun membenarkan pula dalam keadaan tertentu. Baca baik-baik dan fahamkan supaya kita boleh jawab kalau ditanya orang terutama polis kenapa berani membawa keris di tempat awam.
Undang-undang yang dimaksudkan adalah Akta 357. Fahamkan baik-baik apa itu senjata berbahaya, apa itu senjata berjadual kemudian keadaan yang melarang juga membenarkan. Untuk itu hadamkan seksyen 6 (1) dan 6 (3). Kita bergerak bawah seksyen 6(3)(b) sebenarnya iaitu atas nama pakaian rasmi. Kalau dah nama rasmi, kena le lengkap, ada baju Melayu bersampin bertanjak baru boleh sisipkan keris di pinggang. Kalau tak lengkap pun sekurang-kurangnya cukup syarat bagi nampak sifat rasmi Melayunya Semoga gerakan memartabatkan Melayu dan Islam semakin merebak ke seantero ceruk rantau. Amin...
AKTA 357 : AKTA BAHAN-BAHAN KAKISAN DAN LETUPAN DAN SENJATA BERBAHAYA 1958
“Senjata berbahaya” termasuk sebarang peralatan yang sekiranya digunakan sebagai senjata menyerang boleh mendatangkan kecederaan;
“Senjata berjadual” bermaksud sebarang senjata berbahaya yang disenaraikan di dalam ‘Second Schedule’ (sila rujuk di bawah).
Senarai “senjata berjadual” (scheduled weapon – Second schedule) :
1. Flick knife (pisau berspring).
2. Gravity knife (pisau yang keluar secara graviti).
3. Alat sebatan (whip) yang dibuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
4. Semua jenis buku lima (knuckleduster).
5. Semua jenis bilah atau alatan lain yang dilekatkan ke atas pam basikal, paip besi, yang berupaya digunakan untuk memotong atau menikam.
6. Sebarang peralatan seperti pisau dengan tiga tepian yang tajam dan hujung yang tajam, kadang-kadang dipanggil ‘bearing-scrapper’.
7. Kapak kecil.
8. Sebarang keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau imej yang berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
9. Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau taman.
10. Lembing dan mata lembing.
11. Cross-bow.
12. Patrolite, stun gun, taser, control club atau seumpamanya, berkuasa bateri atau apa-apa juga sumber tenaga.
-- Membawa senjata berbahaya di tempat awam
6.(1) Sesiapa yang di dalam jalan atau tempat awam membawa atau memiliki di dalam kawalannya sebarang senjata berbahaya; melainkan dengan kebenaran atau untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang; adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dua sebatan.
(3) Sesebuah senjata akan dianggap dibawa untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang sekiranya ianya dibawa –
(a) oleh ahli Tentera Malaysia atau pasukan tempatan atau polis atau mana-mana pasukan pelawat yang melawat Malaysia dengan kebenaran mengikut undang-undang, atau seseorang yang berkhidmat dengan Kerajaan atau pihak berkuasa tempatan di Malaysia, dan pada setiap kes ianya dibawa di dalam atau berkaitan dengan tugasan beliau; atau
(b) oleh seseorang sebagai sebahagian daripada pemakaian rasmi atau perayaan semasa acara rasmi atau perayaan.
(4) Kesalahan di bawah seksyen (1) di atas adalah boleh ditangkap tanpa waran dan tidak boleh diikat jamin.
-- Kesalahan berkaitan senjata berjadual
7.(1) Sesiapa yang, melainkan bagi tujuan yang tidak menyalahi undang-undang –
(a) membawa atau memiliki di bawah kawalannya;
(b) membuat, menjual atau menyewakan atau menawarkan untuk menjual atau menyewakan; atau
(c) meminjamkan atau memberikan kepada mana-mana individu,
Sebarang senjata berjadual adalah menjadi kesalahan dan jika disabit kesalahannya boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun, atau denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kedua boleh dijauhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
No comments:
Post a Comment