OK. Sudah diberitahu pada artikel HIKMAH Beruas - Busana, makanan, pedang dan mimbar. Menyelesaikan hal tertunggak... bahawa ada pembentangan daripada anak tempatan Beruas mahu dilupuskan atau dibawa ke waktu malam. Sebetulnya sejak awal lagi ada permintaan daripada pihak penganjur tempatan agar acara turut dilaksanakan waktu malam. Memikirkan harapan orang serta ada perkongsian ilmu harus dibuat tentang Beruas oleh anak tempatan, dan lagi pihak penganjur tempatan sudah pun membuat tempahan untuk makan malam di dewan saya pun bersetuju.
Selepas Isyaq, selepas hadirin mendapat sedikit rehat dan sudah mandi/membersihkan diri juga bersolat kami iaitu mana-mana yang masih tinggal terutama mereka yang bermalam di chalet berdekatan pun berkumpul kembali di dewan.
Ketika saya sampai makan malam sudah dimulakan...
Jemaah dari masjid sebelah pun turut memeriahkan.
Ramai antara kami mengulangi kembali pakaian siang hari. Saya sendiri memberikan cadangan agar mereka berbuat begitu sejurus sebelum menangguhkan acara pada waktu petang.Ini kerana menyedari rata-rata hadirin menyediakan busana untuk dipakai 2 hari sahaja iaitu untuk acara utama/sesi-sesi pembentangan ilmu siang Sabtu dan sesi lapangan hari Ahad.
Lagipun buat apa kotorkan banyak baju? Takda salahnya diulang pakaian siang hari yang kalau kotor pun hanya akibat peluh. Dah mandi kemudian pakai balik, masih cukup segak dan menyegarkan.
Untuk sesi malam beberapa orang anak tempatan yang pernah menyertai ekspedisi-ekspedisi menjejak kesan-kesan sejarah di Beruas ada sama untuk berkongsi ilmu. Mereka pernah menyertai ekspedisi tahun 1986 yang pernah menghiasi dada-dada akhbar juga ekspedisi tajaan kerajaan negeri Perak tahun 1991 yang antara lain membawa pembentukan sebuah muzium di Beruas. Rujuk artikel-artikel berikut :-
Jam 10, selepas semua orang sudah puas makan malam lalu bersedia untuk mendengar perkongsian ilmu saya pun membuka sesi dengan bercerita apa yang saya tahu tentang sejarah kerajaan Beruas dan Gangganegara. Turut diceritakan adalah apa yang saya faham tentang rentetan peristiwa yang pernah menyebabkan cerita tentang Beruas memenuhi dada akhbar 30 tahun lalu sehingga terbit ekspedisi tajaan kerajaan seterusnya muzium. Selepas itu saya meminta anak-anak tempatan yang terlibat dalam cerita naik ke pentas lalu berkongsi ilmu.
Kelihatan Tuan Syahril, adinda kepada Puan Kay Shahar berkongsi pengamalan bersama ekspedisi. Sedikit sebanyak beliau membawa amanah ayahanda mereka, arwah Dato' Shaharuddin yang begitu giat mahu memperkenalkan sejarah kegemilangan Beruas dan Gangganegara kepada dunia.
Sepatutnya saya menunjukkan gambar anak tempatan seterusnya berkongsi ilmu iaitu Cikgu Junaidi, Beliau duduk di sebelah Syahril. Tapi takda pula dalam kamera, nampaknya saya terlupa mengambilnya. Baik Syahril mahupun Junaidi turut berkongsi pengalaman-pengalaman mistik dalam perjalanan mereka menjejak kegemilangan Beruas. Selepas itu adinda Syahril, Puan Zuhriah pula berkongsi ilmu.
Jika perkongsian Syahril dan Junaidi tiada dalam atur cara asal yang saya sediakan 2 hari sebelum acara, Zuhriah pula memang tersenarai sebagai pembentang sejak senarai mula dibuat awal tahun. Ikut atur cara tersebut (rujuk HIKMAH Beruas - Antara atur cara yang dirancang dengan undangan rumah terbuka yang muncul tiba-tiba) beliau yang merupakan seorang pakar motivasi harus menjadi pembentang kedua sesi petang 2.45-4.45. Tajuk yang diberikan adalah "Beruas sebagai satu Tapak Kebangkitan Akhir Zaman". Selepas itu seorang lagi anak tempatan, Tuan Murshidi, pengkaji sejarah Beruas, ahli ekspedisi kerajaan 1991 merangkap pengerusi penganjur tempatan dijadualkan menutup sesi dengan tajuk "Menjejak Tamadun Lama Beruas Gangganegara".
Cuma perubahan yang tiba-tiba muncul akibat memenuhi undangan rumah terbuka di Beruas siang hari menyebabkan dua pembentangan tersebut harus samada dilupuskan atau dianjak ke waktu malam. Yang dilupuskan adalah pembentangan oleh Murshidi kerana ia sudah cukup digantikan dengan perkongsian pengalaman oleh Syahril dan Junaidi. Zuhriah pula yang meneruskan tajuk. Menggunakan gaya seorang pemidato beliau dapat membawanya dengan baik.
Sayang, saya juga terlupa hendak mengambil gambar Zuhriah berpidato. Tahu-tahu sahaja beliau telah menutupnya lalu memulakan cabutan bertuah. Cabutan dibuat menggunakan kertas-kertas kecil yang sudah disebarkan lebih awal untuk diisi hadirin dengan nama dan nombor telefon. Tengok-tengok nama saya paling awal dipanggil padahal saya tidak pernah mengisi kertas...
Rupa-rupanya isteri saya yang mengisi kertas dengan maklumat diri saya. Beliaulah yang mengambil gambar saya menerima hadiah daripada penaja iaitu Datin Naila (tak pasti ejaan), seorang pengusaha bumiputera. Naila kemudian bercerita tentang produk yang menjadi hadiah cabutan bertuah. Sama seperti saya, beberapa orang telah menerima kad yang katanya boleh membantu penjimatan petrol dalam kereta malah membantu melancarkan peredaran darah dalam badan pengguna.
Selesai itu Syahril membacakan sebuah puisi penuh bersemangat.
Hadirin kusyuk mendengar. Namun saya harus berterus-terang tidak ingat apa yang diperkatakan. Mungkin kerana kepala lebih sibuk memikirkan atur cara untuk sesi lawatan lapangan siang Ahad.
Hampir tengah malam baru kami bersurai. Semua perlu berehat kerana aktiviti siang Sabtu pun sudah cukup memenatkan, sambung lagi sehingga lewat malam. Siang Ahad pula perlu meliputi banyak tempat. Dan tempat-tempat yang mahu diliputi di Beruas bukan sembarangan. Ada unsur-unsur kuat mistik yang menyebabkan tanpa sokongan kukuh daripada pihak tertentu tidak mungkin ia dapat dijejaki dengan selamat beramai-ramai...
No comments:
Post a Comment