Salam semua. Ada berita baik ni. Adapun sebaik sahaja selesai memaparkan artikel Semua Agama Asalnya Islam - Menerangkan Kesinambungan yang Hilang Sabtu lalu, artikel yang menutup perkongsian isi beberapa pembentangan pada HIKMAH Janda Baik 30-31 Januari 2016 saya bercadang untuk membuat sejumlah artikel mengandungi gambar-gambar cantik yang diambil oleh pihak pemilik lokasi iaitu ahli rumah Pak Habib S.H.Alattas@ University of Life. Cuma saya perlu menunggu penulisan satu bab buku baru siap. Untuk makluman, sejak 2 minggu lepas saya telah mendapat gerak ilham dan penulisan yang baik untuk sebuah buku baru melibatkan hal Nabi Adam SAW dengan bangsa Melayu. Selepas membuat prakata dan mukadimah saya pun menulis bab. Setiap kali selesai satu bab, baru dibuat artikel tentang isi pembentangan HIKMAH.
Keluarnya artikel Semua Agama Asalnya Islam - Menerangkan Kesinambungan yang Hilang yang merupakan ke-4 tentang pembentangan menandakan ketika itu saya sudah berjaya menyiapkan 4 bab. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa lewat malam tadi saya berjaya menyiapkan bab ke-5 pula lalu bersedia untuk membuat artikel baru di blogspot ini. Cuma petang semalam saya mendapat tahu ada laporan rencana akhbar tentang HIKMAH Janda Baik telah keluar dalam akhbar hari Ahad. Malamnya pula saya dapat tahu ada rencana berkaitan turut keluar tetapi dalam akhbar lain. Oleh itu biar ia dipaparkan dahulu di sini. Selepas siap bab ke-6 baru mula dikongsikan gambar-gambar...
Rencana pertama saya lihat keluar dalam akhbar Metro Ahad semalam. Saya mendapat tahu melalui Wassap lalu bergegas ke kedai untuk membeli akhbar. Gambar ini juga selepasnya diambil pada saiz yang cukup besar untuk tulisan dibaca dengan terang. Sila buka dalam Windows baru untuk paparan penuh.
Rencana kedua iaitu dalam akhbar Berita Minggu @ Berita Harian untuk hari Ahad pula baru disedari selepas melihat pemberitahuan dalam Wassap selepas jam 10.30 malam. Terus saya bergegas lagi ke kedai berdekatan. Nasib baik kedai baru nak tutup, belum betul-betul tutup. Dan nasib baik masih ada senaskah Berita Minggu...
Ketika itu semua surat khabar yang tinggal berbaki malam itu sudah dibungkus dalam plastik untuk dipulangkan kepada pengedar. Oleh kerana masih ada orang di kedai bolehlah saya mendapatkannya walau sudah lewat. Walaupun rencana tidak bercakap tentang HIKMAH tetapi menumpukan perhatian kepada tanjak gambar-gambar yang digunakan cukup terang menunjukkan pada yang tahu bahawa ia diambil pada HIKMAH Janda Baik. Walaupun ada kesilapan fakta mengatakan salah satu gambar diambil pada pameran keris di rumah S.H.Alattas cukuplah ia untuk menunjukkan apa yang dibuat oleh HIKMAH telah mendapat sambutan dan perhatian ramai.
Walaupun saya kemudian dimaklumkan cerita tentang tanjak yang disampaikan dalam rencana adalah tidak tepat pada saya itu hal lain. Pada saya sekurang-kurangnya ada yang sudi mengambil tahu dan menyampaikannya kepada orang ramai. Bab pembetulan kalau perlu biarlah disampaikan oleh orang yang lebih berpengetahuan. Bila ada kesilapan yang diikuti pembetulan ia boleh jadi dialog yang memanjangkan lagi pendedahan tentang budaya orang Melayu kepada orang ramai.
Untuk pengetahuan dua rencana ini boleh dikatakan yang terbaik dan paling panjang setakat ini tentang suatu acara HIKMAH dipaparkan dalam dada akhbar. Sebelum ini acara-acara kelihatan seperti disebut secara sepintas lalu sahaja, antaranya adalah pada keratan akhbar yang terpapar dalam artikel Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013 dan Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013. Harapan saya, selepas ini jika ada mana-mana akhbar sudi meliputi majlis kami semoga mereka dapat mengambil sedikit masa untuk menyelami ilmu-ilmu yang disampaikan pada sesi-sesi pembentangan. Sesungguhnya keutamaan kami dalam HIKMAH adalah berkongsi ilmu tentang sejarah, kebudayaan, keagamaan, tata kenegaraan, ekonomi Islam dan pelbagai perkara lain yang boleh membantu mendaulatkan Melayu dan Islam. Semoga ilmu yang disampaikan dapat disebarkan kepada khalayak yang lebih luas lalu dimanfaatkan. Semoga pihak akhbar dan lain-lain media massa dan membantu memainkan peranan.
No comments:
Post a Comment