Saturday, September 24, 2016

Jejak pengIslaman awal Red Indian juga kedatangan orang Melayu ke Amerika

Sekarang masuk kita pada pembentangan pertama petang merangkap pembentangan ke-4 secara keseluruhan semasa HIKMAH Seremban. Bersambung daripada artikel Laut China Selatan sebagai medan pergolakan yang akan menguji umat Melayu akhir zaman.


Ia dibuat oleh pemilik premis Ustaz Hasanuddin Yusof, pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara. Penulis buku “Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara” ini diminta membawa tajuk "Red Indian telah DiIslamkan lebih 1,000 Tahun Lalu : Jejak Lama Pendakwah Islam juga Orang Melayu di Amerika". 


Namun disebabkan kesibukan menyiapkan tempat juga menyediakan makanan untuk hadirin beliau tidak sempat menyiapkan slaid. Oleh itu saya bukakan program Google Earth lalu memberikan tumpuan pada gambar satelit sekitar Lautan Atlantik untuk membantu penerangan.



Namun beliau nampaknya tidak menggunakan langsung paparan itu. Sebaliknya Hasan meneruskan cerita sambil merujuk pada buku bertajuk "Red Indian Madinah" tulisan beliau yang terbit tahun lepas.



Buku itu memperincikan segala hal yang mahu disentuh dalam pembentangan. Antaranya adalah bagaimana para pedagang Islam dari Tanah Arab juga benua Afrika telah sampai ke Amerika sejak abad ke-7 Masihi lalu mengIslamkan penduduk tempatan. Turut ditunjukkan bukti-bukti kedatangan awal Islam seperti tulisan pada batu yang kelihatan tidak lain adalah tulisan Arab, ayat-ayat Al-Quran, nama Nabi Muhammad juga nama-nama tempat yang berunsur Arab dan sebagainya. Sesekali Hasan menunjukkan muka surat berkenaan kepada hadirin. Mendapati ia terlalu kecil untuk ditangkap oleh kami yang duduk jauh walaupun paling hadapan, saya membuka program video capture yang dapat menangkap keadaan di hadapan komputer/ Ini  dapat dipancarkan atau dipaparkan ke skrin atau layar putih lalu boleh dilihat oleh ramai.





Menariknya, kajian menunjukkan pernah ada orang Melayu dari Melaka datang ke Amerika beberapa abad yang lampau. lebih tepat di Amerika Tengah. Kajian dibuat oleh seorang sarjana Barat bernama Dr Barry Fell. Beliau menemui tulisan berbentuk Jawi pada sebuah gua di El Salvador. Apabila diteliti, ia berbunyi "Katib Malaqah (Melaka) Haji Mi Malaya".


Selain itu terdapat kajian menunjukkan bahawa orang Maya yang pernah menerbitkan ketamadunan tinggi di Amerika Tengah, membina piramid-piramid teguh juga menerbitkan kalendar musim yang tepat adalah tidak lain daripada rumpun orang Melayu juga. Tetapi banyak kesan terutama yang boleh menunjukkan keIslaman suatu tempat dirosakkan oleh penjajah terutama orang Sepanyol yang keluar meneroka Amerika sambil membawa dendam Perang Salib juga tindak balas terhadap penaklukan orang Islam di Semenanjung Iberia, barat Eropah yang menerbitkan tamadun tinggi Andalusia. Hal ini sama seperti di Filipina yang penduduk asalnya semua sudah beragama Islam tetapi rata-rata kecuali di selatan dapat dimurtadkan oleh Sepanyol. Sama sahaja halnya selepas Sepanyol dan Portugis dapat menakluki kembali Andalusia dengan jatuhnya kubu terakhir umat Islam di Granada tahun 1492. Polisi mereka, bunuh semua orang Islam tak kira orang tua, perempuan, mahupun kanak-kanak kecuali yang sedia untuk murtad. Hancurkan segala masjid dan apa-apa kesan yang menunjukkan keIslaman, ubah rupa atau gantikan dengan monumen-monumen yang menunjukkan penguasaan Kristian.


Tamat sahaja pembentangan buku "Red Indian Madinah" yang ditawarkan pada harga istimewa untuk HIKMAH Seremban laku tegar. Kelihatan Hasan di kanan bergambar bersama seorang penyokong setia HIKMAH yang dikenali sebagai Johan Lela Perkasa dalam Facebook. Separuh daripada gambar yang dikongsikan tentang pembentangan adalah sumbangan daripada beliau.


No comments:

Post a Comment