Saturday, September 24, 2016

Laut China Selatan sebagai medan pergolakan yang akan menguji umat Melayu akhir zaman

Masuk pembentangan ketiga. Bersambung daripada artikel Konsep jihad dan tauhid yang benar pegangan ulamak dalam persilatan


Pembentangnya adalah perunding kewangan Islam juga aktivis dinar dan dirham, Puan Norbaini Hassan.


Beliau diminta membawa tajuk  "Dinar dan Dirham : Perkembangan Terbaru dalam keadaan Malaysia Tersepit antara Pengaruh Blok Amerika dengan Pengaruh blok China".


Oleh kerana pembentang sebelumnya, puan Tun Suzana Othman telah menyentuh tentang kaitan Perang Salib di Timur Tengah dan kejatuhan Andalusia di Eropah daripada tangan umat Islam ke tangan umat Kristian dengan penaklukan Kota Melaka oleh Portugis tahun 1511, Norbaini membuka dengan menyambung perkara sebagai satu kesinambungan percaturan geopolitik kuasa-kuasa besar kufar yang mahu menguasai kepentingan umat Islam di Alam Melayu.


Apabila disebut tentang Alam Melayu maka Asia Tenggara menjadi rujukan dengan negara kita Malaysia memiliki kedudukan penting dalam percaturan. Terkini sejak beberapa tahun yang lalu adalah persaingan antara blok kuasa Amerika dengan blok kuasa negara China untuk mengukuhkan kedudukan di perairan persekitaran terutama Laut Cina Selatan yang merupakan kawasan perairan paling luas di Asia Tenggara. Kata Norbaini ia dahulu dikenali sebagai Laut Champa. Champa adalah sebuah kerajaan besar Melayu silam yang sudah hilang identiti dan kesan akibat ditelan migrasi dan penaklukan gerombolan pendatang dari Cina Selatan, gerombolan yang menerbitkan negara seperti Vietnam. 

Maka dibincangkan isu Kepulauan Spratly di Laut Cina Selatan di mana tentera negara China telah menambak beberapa buah pulau dan terumbu karang lalu mendirikan pengkalan. Disebut sekali hal orang Sulu yang katanya berhak terhadap negeri Sabah dan bagaimana mereka merupakan satu-satunya kumpulan etnik Melayu Islam yang tidak pernah ditakluk oleh mana-mana penjajah atau puak kufar. Melihat perlumbaan mengembangkan kuasa dan pelbagai perkembangan akhir zaman yang dijangka akan mengganggu kehidupan ramai termasuk di Malaysia kita disarankan mula menyimpan wang emas dinar dan dirham perak. Kata Baini akan sampai satu zaman di mana tidak ada lagi yang bernilai kecuali emas dan perak. Oleh itu bersedialah untuk menghadapi zaman tersebut dengan persediaan yang memadai.

No comments:

Post a Comment