Thursday, September 22, 2016

Konsep jihad dan tauhid yang benar pegangan ulamak dalam persilatan

Masuk pembentangan kedua pada HIKMAH Seremban. Bersambung daripada artikel Tentang busana Melayu dan perkara-perkara berkaitan milik bangsa kita menurut kitab ulamak silam.


Pembentangan dibuat oleh puan Tun Suzana Othman, pengasas dan pengerusi KEMUDI (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam).



Beliau yang terkenal sebagai jenulis buku “Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu” diminta membawa tajuk "Ulamak dan Persilatan dalam Sejarah Alam Melayu".


Suzana membuka perkara dengan menceritakan bagaimana dakwah Islam dimulakan oleh Nabi Muhammad SAW di Mekah dan apa yang ditekankan di sana. Secara rata penganut Islam diisi dengan pemahaman tauhid yang kental sepanjang 13 tahun Nabi berdakwah di Mekah.Suzana menyebutnya sebagai Tauhid Makrifat.


Apabila pemahaman tauhid itu sudah cukup sempurna baru ditekankan syariat juga pembinaan negara. Beliau merujuk pula pada tempoh 10 tahun baginda Rasulullah SAW berdakwah di Madinah.


Pada fasa Madinah itulah umat Islam yang sudah bernegara mula diuji dengan peperangan demi peperangan. Antaranya adalah Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak. Maka itu ada ayat Al-Quran yang menyeru agar kita membina kekuatan melalui ilmu peperangan dan sebagainya. Cuma Suzana menambah kekuatan yang disediakan bukan sahaja merujuk pada ilmu peperangan, bermain pedang dan sebagainya tetapi juga kekuatan ekonomi dan ilmu pemikiran terutama untuk zaman sekarang.


Kekuatan ilmu perang Nabi dan para sahabat sebenarnya berlandaskan tauhid yang benar seperti diterapkan di Mekah selama 13 tahun. Apabila menyentuh tentang Alam Melayu maka ilmu persilatan sering disebut sebagai pakaian perang bangsa kita. Menurut Suzana, pernah terdapat unsur-unsur tahyul dan syirik dalam ilmu persilatan Melayu ketika zaman sebelum Islam, ketika bangsa kita ada yang menganut fahaman animisma, Hindu dan Buddha. Tetapi ini dibersihkan apabila masuk agama Islam terutama melalui fahaman Tauhid berserta pelajaran, pengamatan dan pengamalan ilmu Tasawuf.


Maka itu ilmu persilatan turut menjadi pakaian para ulamak dalam menyampaikan dakwah Islam. 


Disebutlah bahawa pahlawan Melayu silam sering melakukan wirid dan sebagainya termasuk ketika berperang di mana diperuntukan satu waktu untuk gencatan senjata supaya penumpuan boleh dibuat pada wirid...


Suzana turut memasukkan cerita kebesaran kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dalam pembentangan.





Sesungguhnya kedatangan para penjajah Barat seperti Portugis yang menakluki Kota Melaka pada tahun 1511 juga Sepnayol yang datang lewat sedikit adalah lanjutan daripada Perang Salib di Timur Tengah dan peristiwa kejatuhan Andalusia ke tangan orang Kristian. Kedatangan penjajah seterusnya seperti Belanda dan British juga tidak lain adalah kesinambungan kebencian terhadap umat Islam yang panjang.


Ulamak-ulamak Melayu silam yang turut pandai bersilat gigih berjuang menentang penjajah yang bukan Islam.


Kesimpulan yang saya dapat, ilmu persilatan yang benar, bukan mengandungi faktor-faktor syirik dan tahyul adalah amalan para ulamak selain para pesilat. Mereka mengamalkan silat dalam konteks untuk berdakwah menyebarkan Islam sambil berjihad melawan mereka yang menghalang dakwah, memusuhi dan mahu menghancurkan umat Islam. Untuk mencapai hal dan keadaan seperti ulamak-ulamak terdahulu kita harus memiliki ilmu tauhid yang mantap. Oleh itu galilah mutiara ilmu yang pernah diterima para sahabat semasa 13 tahun Nabi Muhammad berdakwah di Mekah. Itulah yang boleh memberikan kita kekuatan untuk menangani cabaran akhir zaman.


No comments:

Post a Comment