Salam semua 31 Disember ini. Salam penutup tahun 2016. Ketika ini tinggal kurang 6 jam sahaja lagi sebelum kita menyambut dan meraikan kedatangan tahun 2017. Ini adalah satu artikel kompilasi yang mahu meluahkan sedikit rasa yang kalau boleh mahu dilupakan langsung apabila masuk tahun baru. Di bawah adalah satu klip video bagi menunjukkan gambar orang beramai selepas setiap acara HIKMAH iaitu daripada yang pertama sehingga yang ke-19. Sekarang masuk kita pada apa yang mahu diperkatakan...
Dalam pada HIKMAH yang diasaskan lebih 4 tahun lalu terus mengorak langkah demi langkah bagi memperkasakan pemikiran bangsa supaya dapat menggalas tugas mendaulatkan Islam sambil mengembalikan sifat sebenar keMelayuan saya dapati masih ada suara-suara skeptik sumbang yang menuduh kami terutama saya sendiri sebagai presiden dan pengasas HIKMAH macam-macam. Ada yang masih percaya saya melaksanakan acara demi acara untuk membuat duit. Ada yang fikir saya ada hati untuk merampas takhta entah di kerajaan mana kerana mahu menjadi sultan. Maka HIKMAH kononnya tidak lain tidak bukan cuma wadah untuk membina jaringan pengaruh kekuasaan. Selain itu ada yang menganggap HIKMAH cuma kumpulan dan perhimpunan picisan yang tidak menerbitkan apa-apa faedah dan kebaikan kecuali syok sendiri berkumpul beramai-ramai berbusana tradisional Melayu berkongsi ilmu yang tidak ada makna.
Beginilah. Saya hendak menjawab dan melepaskan ini sebelum tamat tahun 2016. Selepas ini saya mahu melupakannya lalu akan buat dek dan tak tahu sahaja dengan kata-kata sumbang. Maka itu biar ditegaskan... cuma orang yang bodoh, buta atau angkuh, atau kesemuanya sekali sahaja yang sanggup menafikan kedudukan dan pencapaian HIKMAH sejak ia ditubuhkan 12 Oktober 2012. Berapa banyak persatuan dan perkumpulan telah muncul selepas mereka yang berkenaan menghadiri acara-acara HIKMAH? Berapa ramai pihak cuba meniru cara pengisian kami? Cuma mereka tidak mahu mengaku atau pihak lain yang terlibat dengan mereka-mereka ini kemudian sahaja yang tak tahu cerita. Melalui penganjuran majlis kami di merata negeri dan tempat hingga ke luar negara termasuk di tempat berprestij tinggi seperti Muzium Negara, satu institusi ikonik yang sedia mengakui majlis kami di sana sebagai anjuran bersama, ramai kawan-kawan aktivis dan kumpulan mendapat ruang untuk melebarkan jaringan dan pengaruh.
Tetapi kami seperti biasa terus bergerak dari tempat ke tempat, tingkat ke tingkat tanpa terlalu mempedulikan segala hal ini. Cuma sesekali, apabila muncul lagi fitnah-fitnah dan suara-suara kurang enak yang cuba menafikan sumbangan kami saya merasa terkilan. Adakala timbul rasa mahu merajuk, berhenti langsung daripada melaksanakan apa-apa lagi acara. Walhal ada yang berniat sumbang untuk menciplak cara gerak kerja kami sambil menutup jejak mereka dalam meniru ilham dan cara, kononnya mereka bergerak atas ilham sendiri yang asli,
Dalam usaha menangani segala kerenah supaya boleh menutup perkara lalu melangkah masuk menikmati tahun baru 2017 tanpa membawa apa-apa beban negatif perasaan saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH merasakan perlu untuk menonjolkan sedikit keistimewaan dan prestij HIKMAH. Atas sebab itu 4 artikel selepas Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016 dibuat dalam tempoh sehari pada 31 Disember. Di sini, dalam artikel ini bolehlah dikumpulkan pautan-pautann berkenaan sambil membentuk naratif sendiri.
1. Untuk menunjukkan dengan jelas betapa kami sebenarnya sudah berjaya melakukan sesuatu yang membentuk sejarah bangsa harus dilihat bagaimana kami dapat mengadakan acara demi acara di merata tempat sambil mengambil kira beberapa faktor yang boleh meraih berkat. Hal ini disorot melalui artikel Tempoh masa/musim acara-acara HIKMAH - Satu kajian kes. Melihat senarai yang tertera sahaja harus dapat menimbulkan rasa hormat terhadap usaha kami oleh mereka yang jujur dalam menilai perkara.
2. Melihat pula pada jangkauan usaha kami di mana acara-acara dapat diadakan di pelbagai ragam tempat, pusat seni, muzium, masjid, makam dan bermacam lagi. Mereka yang berlapang dada harus dapat meneliti lalu melihat bahawa langkah kami mendapat restu rahmat pertolongan daripada Ilahi. Lihat Fungsi lokasi acara-acara HIKMAH - Dari pusat seni ke kolej ke masjid dan makam-makam.
3. Melihat gambar-gambar kami berkumpul selepas selesai suatu acara pun sudah harus dapat menunjukkan usaha kami telah menjalar ke merata lapisan masyarakat lalu menerbitkan hasil-hasil positif walaupun tidak dinyatakan dengan terang atau tidak dibuat apa-apa akuan. Walaupun gambar rata-rata diambil lewat petang di mana ramai hadirin sudah meninggalkan majlis baki yang terkumpul dapat menyatakan banyak perkara tersurat dan tersirat yang boleh ditangkap oleh mereka yang memiliki pandang tembus hati, dapat menebak niat walau tersembunyi di sebalik segala macam zulmat. Lihat Gambar beramai-ramai pada acara-acara HIKMAH.
4. Lihat pula pada siapakah mereka-mereka yang sudi berkongsi ilmu pada majlis-majlis kami. Mereka tidak dibayar namun sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk sama-sama berkongsi ilmu percuma buat faedah masyarakat. Lihat dan kaji siapakah mereka-mereka ini. Ingat budak-budak picisan banyak cakap yang hakikat sebenar pencapaian hidup mereka jauh panggang dari api? Ingat ini jenis ketrampilan diri lebih indah khabar daripada rupa? Lihat Senarai pembentang HIKMAH dan tajuk serta kredibiliti.
Dengan ini cukuplah luahan hati. Selepas ini saya tidak akan peduli lagi kata-kata cemuhan insan-insan kerdil yang iri hati, dengki atau tidak memahami. Mereka-mereka yang mahu menutup kelemahan diri sendiri sehingga apabila ditegur, saya pula yang dikatakan iri hati. Nak iri hati apa? Kalau anda jujur melihat pencapaian dan jangkauan pengaruh HIKMAH nescaya anda akan dapati saya tidak ada apa-apa yang perlu diirihatikan dengan pencapaian-pencapaian kerdil golongan yang lebih sudu daripada kuah. Cukup.
No comments:
Post a Comment