Friday, March 10, 2017

Terbaru tentang HIKMAH Aceh 2017 - Rencong khas peribadi dan hal-hal berkaitan...




Salam petang Jumaat. Semenjak mempersembahkan artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 pada 4 Januari saya belum lagi berkongsi apa-apa perkembangan terbaru tentang acara di blogspot ini. Perkembangan setakat dikongsikan di Facebook terutama setelah membuka event page untuk acara pada 10 Februari. Itupun jarang apa lagi selepas itu kawan-kawan di Aceh sebagai penganjur tempatan disibukkan beberapa lama dengan pilihanraya seluruh Indonesia yang menentukan ketua-ketua daerah juga gabernor terbaru Aceh.

Tak sampai 2 minggu lalu baru keadaan kembali normal lalu mereka boleh kembali pada perbincangan bagaimana hendak menjayakan acara. Walaupun masa kelihatan begitu suntuk saya tidak risau kerana yakin dengan kemampuan mereka melaksanakan sesuatu dengan notis pendek. Lihat sahaja bagaimana acara ke-10 HIKMAH dapat dijayakan mereka 3 tahun lalu. Lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014. Awal tahun 2015 saya pernah datang tanpa dijangka apabila tiba-tiba sahaja seorang kawan mengajak pergi sana lalu menawarkan untuk menaja segala perbelanjaan. Dalam tempoh seminggu setelah mendapat tahu saya akan sampai kawan-kawan Aceh dapat mengatur satu acara ad hoc untuk saya berkongsi ilmu pada khalayak umum. Lihat artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Bincang Sejarah Adat dan Budaya Aceh-Malaysia di blogspot CATATAN SI MERAH SILU
.
Semalam saya bercadang untuk berkongsi beberapa perkembangan terbaru yang diterima dalam tempoh seminggu kebelakangan. Tetapi timbul pula rasa untuk melepaskan dahulu berita terbaru tentang acara lain HIKMAH yang dijadualkan menyusul selepas Aceh. Itu yang ditulis artikel Tentang rancangan mengadakan acara HIKMAH di Istana Bandar, Jugra - Dah dapat tarikh pasti.... Sekarang bolehlah diceritakan tentang perkembangan untuk penganjuran acara ke-20. Biar diberikan menurut point form lalu dipanjangkan dengan penerangan ya...





1. Tentang rombongan dari Malaysia - Hampir 30 orang dijadualkan turut serta

Pada bahagian hampir penghujung artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017  ada dipaparkan rancangan perjalanan saya dan keluarga sekitar acara. Diberitahu bahawa kami akan bertolak ke Aceh 16 Mac sebelum kembali ke tanah air 23 Mac. Lalu sesiapa sahaja dari Malaysia yang mahu menyertai majlis boleh membeli tiket pergi balik sendiri pada mana-mana tarikh yang mereka suka, sesuai dengan kelapangan dan rancangan perjalanan masing-masing. Alhamdulillah sukacita dimaklumkan pada ketika ini sudah 27 orang telah membuat kepastian (insyaallah) akan bersama. Semoga lebih ramai lagi muncul untuk turut serta.


2. Tentang atur cara - Lawatan lapangan berserta gotong royong membersihkan makam?

Dalam artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 juga ada disebut cadangan topik-topik yang mahu diutarakan. Secara rata ia mahu menusuri sejarah Aceh sejak awal kedatangan Islam sehingga zaman-zaman kemudian untuk menunjukkan kenapa wilayah ini boleh dikatakan kunci kepada kebangkitan Islam akhir zaman, Cadangan awal adalah pembentangan ilmu akan mengambil masa penuh pagi hingga petang kerana ada banyak perkara yang mahu diperkatakan. Tetapi apabila difikirkan balik mungkin pembentangan akan dibuat separuh hari sahaja seperti halnya acara ke-10 HIKMAH di Muzium Aceh. Selebihnya akan dibuat lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah, mungkin ada gotong royong sedikit membersihkan makam.

Cadangan ini terbit apabila penaung HIKMAH, Dato Dr Othman Yatim atau Prof Othman memberitahu memang merancang mahu ke Aceh bulan Mac tapi belum tentu bila. Katanya misi utama beliau adalah untuk menyertai kerja gotong royong NGO anak muda Aceh yang dipanggil MAPESA (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh). Secara sukarela tanpa bantuan dana mana-mana pihak mereka menggunakan duit poket sendiri untuk berkumpul membersihkan makam-makam lama. Mereka juga mendirikan batu-batu nesan yang sudah rebah lalu mengumpul data untuk kajian lanjutan.

Saya sendiri pernah berkesempatan menyertai satu usaha mereka 2 tahun lalu. Gambar yang ditunjukkan di atas diambil ketika bersama mereka. Lihat artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri.  Cuma baru tahun ini saya mendapat tahu bahawa usaha gotong royong tersebut cuma dilakukan pada hari Ahad sahaja. Ini disebabkan ahli kumpulan ini rata-rata adalah mahasiswa universiti. Ahad baru ada kelapangan dan gotong royong biasa dilakukan separuh hari.

Dahulu, semasa mengadakan acara ke-10 HIKMAH di Aceh 29 Mac 2014 saya tidak memberitahu Prof Othman kerana tidak mahu menyusahkan beliau. Namun apabila kemudian mendapat tahu, beliau menegur saya kenapa tidak mengajak? Kalau diberitahu awal tentu beliau pergi dengan belanja sendiri. Itu yang saya beritahu awal kali ini. Tetapi beliau pula tidak dapat memberikan komitmen kerana lebih memikirkan rancangan dengan MAPESA.

Oleh kerana acara ke-20 HIKMAH jatuh pada hari Ahad saya pun bertanya kawan Aceh yang terlibat dalam penganjuran jika MAPESA boleh membuat gotong royong berdekatan lokasi HIKMAH di Rumah Chut Nyak Dhien, Kalau dapat biarlah atur cara dirombak untuk memberi ruang bagi Othman menyertai gotong royong juga acara HIKMAH.  Ini cuma boleh dilakukan kalau acara dibuat separuh hari, bukan sepenuhnya Alang-alang dah fikir nak buat begitu biar peserta HIKMAH juga dapat menyertai gotong royong. Paling kurang mereka boleh memeriahkan suasana dengan kehadiran memakai busana tradisional baik cara Melayu Semenanjung mahupun cara Aceh.

Namun saya kemudian diberitahu MAPESA sedang memberikan tumpuan pada Kampung Pande dekat kuala Sungai Aceh, 10 km dari Rumah Cut Nyak Dhien. Dari segi logistik agak susah dan melecehkan juga mahu membawa peserta HIKMAH ke sana apatah lagi MAPESA sedang menangani kawasan berlumpur di tepian laut. Kawan dari Aceh mencadangkan, kalau begitu mungkin kita boleh cari satu kawasan makam lama di darat berdekatan Rumah Cut Nyak Dhien. Kita boleh buat sesama sendiri, tak semestinya melibatkan MAPESA.

Itulah perkembangan paling mutakhir saya terima tentang acara dan ini adalah melalui perbualan telefon yang berlaku 4 hari lalu. Semalam saya terjumpa Prof Othman dalam satu majlis ilmu di Dewan Bahasa Pustaka lalu beliau memberitahu akan bertolak ke Aceh keesokan hari. Nampaknya beliau mahu menyertai gotong royong MAPESA Ahad 2 hari lagi. Sedangkan HIKMAH cuma akan berlangsung Ahad seminggu selepas itu.

Saya tanya bila beliau balik. Jawabnya belum tentu, belum beli tiket lagi. Kalau begitu ada kemungkinan Othman akan hadir, ada kemungkinan tidak. Beliau tidak memberikan kata putus. Yamg pasti beliau mahu menyertai gotong royong Ahad ini. Kalau begitu masih patutkah HIKMAH diadakan separuh hari sahaja untuk memberi laluan pada gotong royong dan/atau lawatan lapangan? Pada ketika ini saya pun belum pasti...


3. Tentang rencong khas peribadi untuk majlis - Dah 80 peratus siap katanya

Yang ini mungkin bersifat peribadi. Tetapi saya merasakan ia sangat terkait dengan persiapan ramai termasuk gabungan NGO-NGO Aceh untuk menjayakan acara HIKMAH itu sendiri. Dua minggu lalu seorang kawan lain dari Aceh berkongsi di FB saya gambar-gambar seorang pandai besi pembuat senjata di Aceh dipanggil Utoh sedang membuat rencong iaitu senjata khas Aceh. Dinyatakan bahawa orang ini adalah yang paling utama di Aceh masih tinggal membuat rencong cara tradisional, bukan cara moden yang dilakukan ramai untuk membuat rencong souvenir yang banyak terjual di kedai-kedai buah tangan. Diberitahu bahawa seperti halnya pandai buat keris cara lama, orang ini boleh membuat rencong sesuai dengan perwatakan kita. Ini harus berdasarkan ilmu firasat yang tidak dimiliki semua orang.

Saya terus tergerak untuk membuat tempahan, Apabila saya memberitahu isteri beliau pun ingin menempah satu buat dirinya. Gambar-gambar kami pun diminta untuk ditelek diri dan perwatakan bagi membentuk rencong yang sepadan. Alhamdulillah, pagi tadi saya menerima berita rencong-rencong kami sudah 80 peratus siap. Biar dikongsikan gambar di bawah sebagai pemangkin semangat. Cukuplah perkongsian perkembangan untuk acara HIKMAH Aceh 2017 buat masa ini...





No comments:

Post a Comment