Tuesday, April 17, 2018

Haul Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0 - Barakah para wali bagi mereka yang meraikan majlis



Jam 9.30 malam, selepas beberapa komponen majlis dijalankan lewat petang sehingga selepas solat Isyak sampailah masanya untuk komponen terakhir majlis yang boleh dianggap kemuncak.


Berkumpullah semua hadiran dan peserta di khemah berhadapan pentas utama di Anjung Menjaro. Ada persembahan silat diselang-selikan dengan bacaan selawat dan qasidah.





Sekali lagi saya duduk di atas pentas bersama barisan ulamak juga pemilik tempat dan penganjur majlis Ayahanda Dato' Hashim Ismail yang merupakan seorang guru mursyid tariqat Naqsyabandiyah...


Bersama juga di atas pentas adalah Abuya Aswad dari Madrasah Ahbabul Mustafa dan pendakwah juga penceramah terkenal Ustaz Zainul Asri.


Antara yang memberikan persembahan adalah ahli persatuan Silat Bunga Kedah...








Lain-lain perguruan terutama Silat Gayong yang dibawa oleh anak-anak madrasah di bawah bimbingan Ayah Hashim turut memberikan persembahan. Untuk makluman beliau adalah pemegang bengkung hitam cula enam (ke tujuh?) Gayong...


Kemudian Abuya Aswad pergi ke hadapan memberikan tausiyah tentang keberkatan menghadiri majlis sebegini demi memuliakan orang yang berjasa besar membawa Islam ke Alam Melayu seperti Sheikh Abdullah al-Qumairi...









Tiba giliran Ustaz Zainul Asri memberikan sedikit kata-kata mengambil kira bahawa majlis ini juga diadakan untuk menyambut Hari Isra' dan Mikhraj yang jatuh pada tarikh 27 Rejab iaitu pada siang tadi...








Kemudian baru Ayah Hashim memberikan kata-kata akhir sebagai pihak penganjur dan pengasas majlis haul lalu beliau berkongsi pengalaman hidup sendiri melibatkan karamah para wali...





Masuk jam 11.39 dif-dif kehormat menerima cenderahati daripada pihak penganjur. Selepas itu majlis ditutup dengan semua hadirin bersalam-salaman dengan barisan ulamak serta dif kehormat. 


Baru teringat, seorang ulamak dari Pulau Jawa,  Kiyai Zainul Arifin muncul sedikit lewat untuk komponen malam itu namun sempat memberikan juga sedikit kata-kata sebelum memanjatkan doa panjang lebar untuk kesejahteraan semua dunia dan akhirat. Maka lengkaplah majlis dengan pelbagai aspek demi meningkatkan kesedaran zahir dan batin. Untuk makluman ini adalah artikel ke-353 di blogspot ini.


Haul Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0 - Ziarah ke makam Sultan Muzaffar Syah Kedah



Jam 3.13 petang kami meninggalkan Yan menuju ke arah selatan Gunung Jerai.


Asalnya kami bergerak dalam konvoi lebih 10 buah kereta. Tetapi disebabkan kereta yang betul-betul di hadapan kereta kami bergerak perlahan kami terpisah daripada kumpulan besar.


Jam 3.52 kami sampai ke destinasi iaitu makam Sultan Muzaffar Syah Kedah untuk sesi ziarah.


Tengok-tengok cuma ada sedikit orang sahaja di sana/ Ah? Apakah majlis tahlii dan zikir yang mahu diadakan untuk almarhum sultan yang merupakan raja Kedah pertama memeluk Islam tahun 1136 Masihi hasil didikan dan dakwah Sheikh Abdullah Qumairi telah selesai? Kami terlambat sampai lalu orang lain semua sudah pulang?


Rupa-rupanya kami termasuk antara orang yang sampai awal. Kumpulan besar yang tadi kelihatan sudah jauh meninggalkan kami pula yang terpisah-pisah tersalah jalan...


Kami pun duduk menunggu di makam.


Jam 4.12 baru kumpulan besar sampai bersama tetamu-tetamu kehormat...








Peserta pun mula mengambil tempat duduk dalam kawasan makam...











Sebaik sahaja semua bersedia majlis tahlil dan zikir pun dimulakan...




















Selepas bacaan doa dan sebagainya majlis diteruskan dengan tausiyah tentang kaifiat menziarahi kuburan dan makam terutama milik orang besar sepert baginda sultan yang menjadi asbab rakyat Kedah malah Alam Melayu masuk memeluk Islam. Ketika itu sudah turun hujan lebat mencurah-curah  kilat berdentum dasyat seolah-olah mahu menyatakan sesuatu tentang keadaan.


Selepas jam 5 baru hujan reda dan langit kembali cerah. Hadirin pun mula beredar...


Terbentanglah pemandangan indah Gunung Jerai selepas hujan seolah-olah memberikan restu untuk kami meneruskan majlis. Walaupun antara kami ini ada bermacam ragam dan arah  tujuan saya percaya suatu hari nanti hati-hati kami akan disatukan untuk bergerak dalam landasan yang sama atas nama Allah SWT dan Rasul demi perjuangan dan kebangkitan sebenar Islam akhir zaman. Insyaallah... :]





Monday, April 16, 2018

Haul Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0 - Perarakan Maulidur Rasul dan majlis di pentas utama



Masuk jam 11.20 kami bersiap untuk komponen seterusnya majlis.


Untuk itu saya dan keluarga berjalan kaki ke pusat peranginan Titi Hayun yang terletak betul-betul di kaki Gunung Jerai.


Kami berkumpul untuk membuat perarakan Maulidur Rasul...





Tidak lama kemudian kami pun memulakan perarakan sambil melaungkan salawat juga qasidah.


Sampai ke hadapan pusat peranginan persendirian yang mahu dijadikan tahfiz (rujuk Haul Sheikh Abdullah al-Qumairi 2.0 - Perasmian sekolah tahfiz Darul Hashimiah) barisan kami disertai oleh pemain gendang dan serunai silat...





Perarakan diteruskan sampai ke lokasi utama majlis haul iaitu di Anjung Menjaro...









Masuk ke pusat peranginan persendirian tersebut terus menuju ke pentas utama...














Sebagai salah seorang ahli undangan utama saya pun mengambil tempat duduk atas pentas bersama penganjur majlis dan pemilik tempat, Ayahanda Dato' Hashim Ismail...





Dari situ saya mengikuti majlis termasuk persembahan silat...




Seorang lagi tetamu kehormat, YM Raja Shahriman dari Kuala Kangsar kemudian diminta membacakan sajak menggambarkan semangat Melayu dan kebangkitan akhir zaman.


Persembahan silat dibuat lagi untuk menaikkan terus semangat.











Hampir jam 12.30 tetamu paling utama, YTM Tuan Syed Idrus bin Syed Baharom daripada Persatuan Kerabat Diraja Kedah muncul mengambil tempat.


Beliau seterusnya menandatangani deklarasi majlis lalu memberikan ucapan berkenaan.


Seterusnya sampai giliran saya berkongsi sedikit ilmu tentang orang Melayu, asal usul kita dan peranan Melayu dalam kebangkitan Islam akhir zaman.








Semangat perjuangan terus dibangkitkan dengan bacaan sajak oleh saudara Che Ross. 


Beliau yang mewakili persatuan silat Pusaka Gayong terutama dari gelanggang Gurun, Kedah turut merupakan seorang sahabat setia HIKMAH. Malah beliau adalah pemilik tempat dan penganjur tempatan bagi acara ke-12 kami. Rujuk artikel lama Acara kedua belas HIKMAH di Pondok A.M. Bawa Muhaiyaddeen dan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah 17-18 Jan 2015...