Wednesday, April 24, 2019

Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun

Merujuk kepada artikel Haul Tok Pulau Manis - Apabila penyanyi rock Awie beraksi pada acara julungkali yang dipersembahkan semalam. Adapun majlis haul yang turut diwar-warkan sebagai festival ini mengandungi banyak komponen termasuk pertunjukan silat dan memanah tradisional. Tetapi untuk perkongsian tak perlulah diceritakan semua.  Antara paling menarik adalah wacana ilmu yang diadakan di Masjid Tok Pulau Manis pagi hingga petang Sabtu 20 April 2019...











Selepas bermalam di satu taman perumahan beberapa kilometer dari lokasi saya dan keluarga sampai ke masjid jam 9.50.





Ceramah bertajuk "Tok Pulau Manis dan Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam Perkembangan Islam di Nusantara"  oleh Profesor Dr Farid Wajdi dari Aceh sedang berlangsung. Dimaklumkan ia bermula agak lewat. Jadi saya tidaklah terlepas terlalu banyak...


Dapat didengar sejarah Aceh dikongsikan sekitar zaman kegemilangannya abad ke-16 hingga ke-17 Masihi. Disebut tentang kehebatan laksamana perempuan bernama Malahayati (Raja Keumala Hayati) menentang pencerobohan kuasa Barat. Disebut tentang Sultan Iskandar Muda yang memerintah tahun 1607-1636 mendukung fahaman Tasawuf wujudiyah yang dibawa Sheikh Hamzah Fansuri juga Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani. Seterusnya disebut tentang penentangan Sheikh Nuruddin ar-Raniri pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani (1636-1641) yang membawa fahaman shuhudiyah sehingga membunuh beribu pengikut wujudiyah dan membakar kitab-kitab mereka. Selepas itu baru muncul Sheikh Abdul Rauf Singkel mendamaikan kedua pihak dan pendapat sambil menjadi penasihat kepada 4 orang raja perempuan yang memerintah Aceh selepas kemangkatan Iskandar Thani.

Sheikh Abdul Rauf sebetulnya faham tentang kebenaran wujudiyah yang ditentang oleh Sheikh Nuruddin tetapi mengambil pendekatan lain yang tidak menimbulkan lagi perbalahan mahupun silap faham. Alimnya beliau itu sehingga dapat secara Syari'e mematahkan hujah-hujah ulamak Mekah yang melarang negara diperintah oleh raja perempuan. Bila beliau wafat sekitar tahun 1699 baru hal ini tidak dapat dipertahankan lagi lalu naiklah seorang Sultan berbangsa Arab keturunan Nabi Muhammad SAW didatangkan terus dari Mekah. Dengan Sheikh inilah Tok Pulau Manis atau Sheikh Abdul Malik dari Terengganu belajar sehingga dapat menjadi ulamak besar.


Selepas ceramah ataupun syarahan diadakan bacaan maulud.


Dalam keseronokan menyatakan pujian terhadap Rasul yang membawa kepada satu kemuncak semua hadirin berdiri saya bergerak ke hadapan sisi kanan masjid...





Daripada sisi itu saya mengikuti syarahan seterusnya oleh pendakwah muda dan penulis buku, Ustaz Mohd Hanif bin Ibrahim. Beliau membawa tajuk "Menginsafi Amanah Leluhur : Pulau Manis, Di Sini Bermulanya CINTA". Dipromosikan sekali satu buku tulisan beliau yang baru sebulan dua terbit bertajuk "Menginsafi Amanah Leluhur"...


Asalnya syarahan beliau sepatutnya diadakan jam 2 petang, Tetapi ia dikehadapankan kerana penceramah yang sepatutnya mengisi slot jam 11 pagi, Dr. Shafie bin Abu Bakar dari Lembah Klang tidak dapat hadir kerana jatuh uzur. Ceramah Hanif yang menceritakan keistimewaan Tok Pulau Manis serta lokasi yang dikenali sebagai Kampung Pulau Manis dalam lipatan sejarah lama kerajaan Terengganu ini tamat sekitar jam 12.30. Ketika orang lain keluar untuk makan tengah hari dan sebagainya saya yang sedang berpuasa berehat tidur  di sisi kanan masjid.


Saya bangun sejurus sebelum masuk waktu Zohor lalu mandi sedikit kemudian ikut solat berjemaah. Gambar ini diambil selepas solat. Saya harus bersedia untuk satu tugasan bidang terjun.


Adapun malam sebelumnya saya telah diberitahu bahawa Shafei yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah membuat tesis tentang kitab Hikam Melayu tulisan/syarahan Tok Pulau Manis, tidak dapat datang. Namun beliau ada menyerahkan teks berkenaan lalu pihak majlis telah meminta penceramah bebas terkenal Ustaz Iqbal Zain untuk mengulas teks tersebut pada sesi ceramah petang. Untuk memantapkan lagi sesi saya diminta berkongsi cerita tersendiri tentang Tok Pulau Manis selepas itu dengan pengkhususan diberikan terhadap kaitan dengan satu dinasti raja yang pernah wujud di Aceh lama. Saya diberitahu itu atas permintaan seorang guru dan pemimpin tarikat Syadziliyah berketurunan Tok Pulau Manis.


Hamba Allah ini mengendalikan satu tempat pengajian pondok dan tariqat berdekatan. Saya teringat pernah diberikan penghormatan untuk berkongsi kisah di sebalik penulisan buku-buku terawal saya, siri trilogi  "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) pada satu majlis besar agama di masjid negeri atau masjid besar Shah Alam tahun 2012. Selepas itu baru dapat tahu majlis yang dihadiri lebih 10,000 penuntut agama dan para ulamak dari seluruh Alam Melayu termasuk 1,000 orang dari Aceh itu terbit akibat usaha hamba Allah tersebut. Dan saya juga dapat tahu beliaulah yang meminta agar jawatankuasa majlis menghubungi lalu mengundang saya bercakap. Rujuk artikel  Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Gambar-gambar tadi menunjukkan satu kumpulan anak muda membaca qasidah. Ia adalah selingan sebelum sesi ketiga atau sesi petang wacana ilmu bermula.


Saya dan Ustaq Iqbal pun dijemput mengambil tempat di hadapan.


Pengenalan dibuat sebelum Ustaz Iqbal membuka kata-kata. Secara rata beliau bercerita tentang asal usul Tok Pulau Manis dan keturunan juga sumbangan beliau. Untuk makluman kertas kerja yang harus ditangani beliau walau menurut cara sendiri bertajuk "Ketokohan, Dakwah dan Perjuangan Tok Pulau Manis".


Saya sebagai pembicara atau pensyarah/penceramah terakhir mengambil tugas berat memanjangkan dan mewar-warkan lagi asal-usul Tok Pulau Manis yang dipercayai sampai kepada cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan. Walaupun datang sebagai bidang terjun saya bernasib baik kerana ada bahan sokongan penting telah lama dipersembahkan dalam blogspot lalu boleh dimuat-turun untuk tatapan hadirin. Saya memulakan dengan memperkenalkan perkongsian sebagai pengalaman peribadi berbentuk dzauqiyah dan majzub.  Diceritakanlah bagaimana sebagai seorang pelajar matematik di London tahun 1991-1995 saya hampir menjadi atheis atau tidak percayakan Tuhan lantaran terlalu berpegang pada akal. 

Namun saya ditunjukkan kebesaran Allah SWT melalui pengalaman roh beberapa kali keluar masuk badan. Diceritakan peringkat-peringkat seterusnya pencarian sehingga terbawa untuk mengenali asal usul keturunan di Aceh.  Lalu terjadilah satu peristiwa yang membuka perkenalan tentang siapakah itu Tok Pulau Manis. Ketika itu saya sudah lama diberikan ilham bahawa wujud ramai keturunan Saidina Hassan di Alam Melayu yang tidak tahupun mereka memiliki darah Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW akibat peristiwa-peristiwa lampau memaksa nenek moyang menyembunyikan asal usul sebenar. Seperti membenarkan telahan ini ziarah pertama ke makam Tok Pulau Manis menyaksikan saya dihadiahkan risalah menyebut kaitan dengan Saidina Hassan.


Cerita berkenaan boleh dibaca dalam artikel lama Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17.... Gambar-gambar yang digunakan untuk membantu penerangan diambil daripada Risalah kecil Tok Pulau Manis. Diberitahu kepada hadirin bahawa cerita boleh dibaca dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007) malah dikhaskan satu bab untuk Tok Pulau Manis. Tetapi perkara paling besar adalah tentang kaitan dengan Saidina Hassan dan amanah yang wujud dalam darah keturunan baginda. 

Dalam hal ini tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa saya adalah orang pertama membuka satu rahsia besar berkenaan melibatkan seorang Ahlul Bait bernama Muhammad Nafs az-Zakiyah ibni Abdullah al-Kamil ibni Hassan al-Muthanna ibni Saidina Hassan. Ia ada diceritakan dalam buku saya dan anda boleh membacanya dalam artikel Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!. Di atas adalah gambar yang isteri temui tadi menunjukkan saya sedang memberikan ceramah. Kemudian baru isteri dapat menemui lebih banyak gambar sekitar perkongian tersebut. Biar diletakkan sedikit di bawah...








Sesungguhnya saya merasa terharu diberikan penghormatan dapat berkongsi sedikit ilmu dalam majlis haul yang penuh gilang- gemilang ini. Keadaan begitu terasa kerana saya tahu sejak beberapa tahun hingga kini ada beberapa pihak berusaha bertungkus lumus untuk menjatuhkan nama saya serta meremehkan kajian-kajian dan sumbangan ilmu daripada saya. Penghargaan daripada pihak-pihak yang lebih berwibawa menjadi bukti bahawa usaha saya selama ini bukanlah sia-sia, ilmu yang dikongsikan bukan tidak bermakna mahupun picisan. Saya bukanlah orang yang mengejar harta, duit mahupun nama. Tetapi sebagai manusia biasa apabila difitnah macam-macam apa lagi setelah penat berusaha menggali pelbagai maklumat untuk dikongsikan disebabkan dorongan dalaman tentulah ada masanya saya terasa dan terguris hati. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-360 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


3 comments:

  1. Salam uhkwah tuan,Saya asal Sabah berdarah negara berunei darus salam tetapi menetap di sabah,bukan utk riak atau takabbur(Nauzubillahi min zalik) tetapi sekadar ingin bertanyakan tentang keturunan kami juga berasal dari syaidina Hassan r.a..kami dari keturunan sultan berunai yg ketiga ya itu Shariff Ali yg sebelumnya adalah mufti negara berunei sekitar 400-500 tahun yang lalu,susur jalur kami dari sultan berunei yang ke6 yaitu sultan syariful rijal klu Tak silap..macamana utk berhubung dgn tuan via HP utk bersiratul rahmi dgn tuan,insyallah diberikan ilham pada tuan utk mengkaji Pula keturunan syaidina Hassan di negara berunei darus salam yang keturunan baginda banyak tersebar luas dinegeri Sabah dari kami yang berketurunan berunei ini yang mewakili hampir 30 % penduduk Negeri Sabah..dengan rendah hati kiranya tuan boleh memhubungi saya di no 0138831176..wassalam Dan Salam uhkwah fillah dari Saya..

    ReplyDelete
  2. Wassalam. Alhamdulillah saya sudah berkesempatan menyusur di belah Brunei. Lihat sini... http://merahsilu.blogspot.com/2010/11/tribute-untuk-perjalanan-ke-brunei.html . Yang di Sabah belum lagi. Saya cuma pernah sampai Labuan, Kota Kinabalu dan mendaki Gunung Kinabalu lama dahulu...

    ReplyDelete