Salam semua. Merujuk pada artikel Sedikit perkembangan terbaru tentang penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC yang dipersembahkan semalam. Pada bahagian akhir artikel ada disebut bahawa saya ada membincangkan sedikit perkara logistik tentang penganjuran acara dengan pihak pentadbiran atau pejabat ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam). Paling penting adalah penggunaan ruang, di bahagian manakah bangunan ISTAC acara ke-22 HIKMAH ini mahu diadakan dan beberapa perkara berkaitan.
Setelah mendapat kata sepakat saya pun membuat peninjauan ruang lalu mengambil gambar. Adapun beginilah rupa bangunan utama ISTAC setelah masuk ke halaman melalui pintu pagar utama dari luar. Kelihatan jalan jadi bercabang. Yang belah kanan menaiki bukit, belah kiri pula menurun...
Pintu masuk utama bangunan terletak di laluan kanan bawah 'gerbang' yang kelihatan di tengah gambar. Dari situ boleh masuk ke ruang legar lalu ke dewan utama syarahan di belah kiri dan dewan makan di belah kanan. Tetapi peserta HIKMAH diminta agar tidak menggunakan laluan ini mahupun meletakkan kenderaan di tepian jalan dan tempat-tempat letak kereta di seberang jalan (tidak kelihatan, belakang tembok di kanan gambar). Ini kerana pada hari itu juga akan diadakan satu majlis perkahwinan. Dewan makan atau dining hall telah disewa orang untuk majlis yang katanya bermula jam 11 pagi lalu berlanjutan hingga ke petang (tidak disebut jam berapa tetapi biasanya hingga jam 4).
Kalau tak salah dewan makan itu boleh menampung hingga 1,000 orang. Sudah menjadi kebiasaan majlis kerja kahwin besar melibatkan sebegitu ramai tetamu malah mungkin lebih. Kalau setakat majlis kecil sahaja buat apa sewa dewan makan ISTAC yang bertaraf mewah lagi eksklusif kedudukan di Bukit Tunku? Tentu mereka memerlukan ruang yang luas.
Sebab itu saya telah diminta untuk memberitahu peserta HIKMAH agar tidak meletakkan kereta di laluan kanan menaiki bukit menuju ke dewan makan. Sebaliknya kita boleh menggunakan laluan turun bukit di sebelah kiri. Ini kerana selain tidak menganggu perjalanan kerja kahwin acara HIKMAH sendiri akan diadakan di sebelah situ...
Turun sedikit kelihatan laluan sisi ke bangunan utama. Kita boleh menggunakan ini...
Ke bawah lagi jalan membawa ke sejumlah apartment milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu badan induk yang menaungi ISTAC. Ia diduduki oleh pelajar UIAM dari kampus utama di Gombak juga sejumlah pelajar dan pensyarah ISTAC. Letaknya ke bawah lagi, belakang bangunan dengan pintu gerbang yang kelihatan di tengah gambar. Saya diberitahu peserta HIKMAH boleh menggunakan ruang letak kereta sana.
Jaraknya sedikit jauh untuk berjalan kaki ke bilik yang telah diperuntukkan bagi pembentangan ilmu HIKMAH. Namun saya melihat boleh sahaja meletakkan kereta sepanjang jalan. Yang penting tidak mengganggu atau menghalang kenderaan orang. Sebelum pintu gerbang ada ruang untuk meletakkan beberapa buah kereta...
Naik ke pintu sisi bangunan utama ISTAC.
Memandang ke belakang dari pintu. Kelihatan serambi luar bagi bilik yang akan digunakan bagi pembentangan HIKMAH.
Dalam artikel Sedikit perkembangan terbaru tentang penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC sudah disebut malah diisytiharkan bahawa kami membuka ruang bagi peserta HIKMAH berniaga atau membuat pameran barangan seperti keris, tanjak dan buku secara percuma. Tidak perlu membayar sewa untuk meja mahupun tapak. Saya lihat serambi atau ruang legar tepi ini sudah cukup luas bagi meletakkan sekurang-kurangnya 10 meja sederhana panjang. Saya telah mendapatkan kebenaran untuk menggunakan meja-meja daripada bilik syarahan berdekatan.
Pesan pejabat, sila ambil dan atur sendiri. Kemudian apabila tamat acara letak kembali pada kedudukan asal. Oleh itu mereka yang berminat diminta datang awal sebelum majlis bermula jam 9 pagi. Kalau boleh jam 8 dah sampai untuk mengatur meja dan barangan. Jumlah meja terhad tetapi tetap ada ruang lain berdekatan boleh digunakan. Cuma pandai-pandai le sendiri nak atur bagaimana jika tak dapat meja. Seeloknya standby peralatan sendiri...
Pembentangan akan diadakan di Multi Purpose Room atau bilik serbaguna. Ia tidaklah sebesar dewan utama ISTAC yang boleh memuatkan lebih 300 orang, rasanya 600 orang pun boleh. Kalau 1,000 pun insyaallah masih boleh ditampung tetapi perlu ditambah kerusi sehingga ruang jadi sempit. Sebagai contoh saiz dan penggunaan dewan lihat artikel Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Memang asalnya hajat saya adalah mengadakan acara HIKMAH di dewan gah itu. Tetapi saya diberitahu untuk mendapatkannya harus memastikan kehadiran lebih 300 orang mengikuti acara sepanjang ia berlangsung. Itupun kalau pihak pentadbiran sanggup beri secara percuma kerana ia katanya biasa disewakan pada kadar RM1,800 setengah hari. Oleh itu cukuplah dapat memakai bilik serbaguna yang lebih kecil sepenuh hari.
Kecil tak kecil rasanya ia boleh menampung 100 orang dengan kerusi tambahan. Ketika saya diminta untuk memberikan syarahan ilmu yang terkait dengan buku ke-11 saya, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu (terbit Mac 2018)" hampir 2 tahun lalu lebih kurang 70 orang hadirin dapat duduk dengan selesa. Lihat artikel lama Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC. Namun ada kemungkinan juga lebih ramai akan datang malah tak mustahil melebihi 300 orang. Cuma saya tidak dapat menjamin atau memastikan jumlahnya, kena tunggu acara berlangsung Sabtu baru kita tahu...
Bersambung dengan serambi atau ruang legar bilik serbaguna adalah laluan untuk ke dataran lapang ISTAC.
Kawasan ini boleh digunakan untuk bersilat dan lain-lain aktiviti luar bilik.
Dengan persatuan (DSSM) Dunia Seni Silat Melayu menjadi penganjur bersama acara dijangka akan dimeriahkan oleh ramai pesilat daripada pelbagai perguruan seluruh Malaysia.
Mereka-mereka ini yang mungkin boleh menambah jumlah hadirin melepasi 300 orang sambil memeriahkan acara.
No comments:
Post a Comment