Saturday, February 22, 2020

Beberapa persiapan akhir bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC

Salam semua. Adapun kini cuma tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum acara ke-22 HIKMAH dilangsungkan di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam.  Pelbagai perkara berkenaan penganjuran acara dan perkembangan persiapan telah dikongsikan dalam artikel-artikel berikut :-






Sekarang ada satu cerita perlu dikongsikan sebelum saya dapat berehat untuk mengembalikan tenaga bagi menjayakan acara.


Sekitar jam 3 petang semalam seorang rakan HIKMAH yang diminta untuk membaca syair pada sesi pembukaan dan perasmian memberitahu melalui WhatsApp sudah mendapat bahan yang dirasakan paling sesuai untuk majlis. Beliau menghantar lagu latar belakang syair lalu bertanya apakah ada kemudahan audio untuk mendengarkannya kepada umum? Hal ini menyebabkan saya menghubungi pihak pengurusan ISTAC lalu ditanyakan apa lagi benda yang perlu untuk menjayakan majlis. Ketika itulah baru tahu keperluan perlu dinyatakan dalam borang berkenaan untuk mendapatkan kelulusan pejabat. Disebabkan itu saya pun bergegas ke ISTAC jam 4.


Sebetulnya saya dan isteri memang bercadang untuk ke sana bagi membawa beberapa barangan supaya pagi nanti tidak sesak kereta. Kami juga mahu membuat persiapan yang patut supaya tidak perlu lagi tergesa-gesa sejurus sebelum acara. Cuma fikirnya tunggu dahulu anak-anak habis sekolah agama jam 6. Selepas mandi dan tukar pakaian baru bergerak. Tetapi disebabkan borang perlu diisi dan permintaan diluluskan pada waktu pejabat saya pun bergegas seorang diri...


Alhamdulillah setelah beberapa lama menerangkan lagi perjalanan acara kepada beberapa pihak kelulusan dapat diperolehi lalu saya ke bilik yang mahu digunakan bagi membuat persiapan. Sambil saya memasang sepanduk-sepanduk HIKMAH di tempat-tempat yang patut juruteknik ISTAC pula menghidupkan lalu menguji sistem PA (public address). Ah. Nasib baik perkara ini dilakukan petang semalam kerana ia rupa-rupanya mengambil banyak masa juga. Daripada microphone langsung tak keluar bunyi sampai betul-betul kedengaran mantap rasanya lebih 30 minit juga juruteknik harus membuat kerja kerana alatan dalam bilik itu sudah lama tidak digunakan. 

Selain itu ada barangan perlu diambil dan dikumpulkan daripada bilik-bilik lain. Kalau tunggu pagi alamatnya tak dapatlah pakai kerana pejabat ditutup hujung minggu, cuma ada beberapa kakitangan sahaja bertugas kerana kebetulan akan diadakan juga satu majlis perkahwinan di bahagian lain bangunan ISTAC.


Selain memasang sepanduk dan memastikan sistem PA boleh digunakan berserta alatan sokongan (didapati majlis perlu menggunakan 5 buah microphone kerana akan diadakan sekali sesi soal jawab, ingatkan cukup 3 sahaja tetapi rupa-rupanya itu pincang) saya juga perlu meletakkan pinggan mangkuk dan cawan plastik serta kertas yang telah dibeli oleh isteri. Lebih RM100 juga telah dibelanjakan untuk itu. Belum campur kos makan minum tambahan supaya dapat memastikan hadirin tidak lapar dan dahaga kerana acara akan dilangsungkan pagi hingga ke petang sedangkan kedai makan terdekat terletak lebih 500 meter ke luar ISTAC. 

Kami harus mengusahakan sendiri makan minum tambahan kerana cuma mendapat peruntukan RM500 sahaja sebagai kos makan tengah hari 100 orang pada kadar RM5 seorang. Untuk makluman, menurut katerer RM5 itu tidak termasuk minuman. Selain untuk memenuhi keperluan makan pagi dan petang yang tiada dalam peruntukan kami harus juga memikirkan kemungkinan bahawa lebih daripada 100 orang akan datang.  Malah kehadiran boleh melepasi 300 orang. Sudah menjadi kebiasaan dalam acara-acara kami orang tidak memaklumkan lebih awal kedatangan. Tiba-tiba boleh muncul beberapa rombongan.


Isteri sampai sanggup memasak sendiri sarapan juga bersedia untuk membancuh air sejuk dan panas agar meliputi juga makan tengah hari dan petang. Kuih muih telah ditempah sebanyak RM100 daripada seorang jiran sebagai sarapan tambahan selain RM100 lagi untuk makan petang ditempah daripada katerer yang dipertanggungjawab untuk menyediakan nasi dan lauk makan tengah hari. Maka itu banyak benda perlu dibawa dalam kereta Kenari kecil kami kerana kereta Kia Carens yang lebih besar masih berada dalam bengkel di Ipoh akibat kerosakan teruk yang dialami dalam perjalanan menuju ke selatan Thailand pertengahan tahun lepas. Rujuk artikel-artikel berikut di blogspot CATATAN SI MERAH SILU :-






Turut dibawa petang semalam adalah buku-buku tulisan dan terbitan saya untuk jualan. Kalau dikira daripada segi berat rasanya dekat 60 kg juga diangkat lalu disimpan dahulu dalam bilik acara agar mudah dikeluarkan pagi nanti ke ruang legar.


Dengan ini kuranglah sedikit barangan perlu dibawa pagi hari. Maklumlah, perlu membawa sarapan yang dimasak sendiri berserta kuih muih yang ditempah daripada jiran lalu dijangka akan diterima pada jam 7 pagi. Tentunya perlu dibawa sekali bekas dan perkakas makan minum. Sedangkan dalam kereta kecil yang sama kami perlu membawa set busana penuh tradisional Melayu untuk dipakai oleh saya, isteri dan anak-anak. 

Ah. Baru teringat. Sudah disebut bahawa ada majlis perkahwinan di bahagian lain ISTAC. Petang semalam baru tahu bahawa ia akan dihadiri lebih 1,000 orang tetamu. Maka harus begitu meriah ISTAC siang Sabtu sepanjang hari. Tentunya tetamu majlis perkahwinan akan mengambil peluang untuk meneroka pelbagai ruangan bangunan ISTAC yang begitu cantik dengan seni bina berunsurkan Istana Alhambra di Andalusia, Sepanyol. 

Tentu mereka tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dalam suasana yang menggambarkan zaman keemasan Islam Andalusia beberapa abad lepas. Begitu juga halnya bagi para hadirin ISTAC kerana ramai belum pernah menjejakkan kali ke sana. Lebih menarik lagi sejumlah daripada mereka akan bersantai bersilat sepanjang hari di dataran terbuka ISTAC. Maka itu tentu hadirin daripada kedua-dua majlis akan bercampur baur pada satu peringkat. Harus tetamu majlis kahwin teruja melihat ramai daripada kami berbusana tradisional Melayu penuh, berkeris, bersampin dan bertanjak seperti kebiasaanya pada acara-acara HIKMAH.


No comments:

Post a Comment