Salam semua. Setelah beberapa lama masuk kita pada pembentangan ke-3 sesi petang merangkap terakhir secara keseluruhan bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 22 Februari 2020. Bersambung gerak penulisan daripada artikel Melayu dan Islam berpisah tiada.
Tajuk yang diberikan adalah jelas pada slaid. Pembentangnya adalah saya. Ia asalnya diperuntukkan untuk dibawa oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar, cendekiawan utama di ISTAC. Namun setelah diminta juga untuk merasmikan majlis pada waktu pagi beliau memilih untuk bercakap tentang perkara dalam ucapan perasmian. Lihat HIKMAH ISTAC 2020 - "Salam Fakir Andalusia", kelebihan ilmu dan signifikan mengadakan acara di ISTAC.
Tajuk dipilih untuk menegaskan kembali kenapa tema acara ke-22 HIKMAH ini diberikan tajuk "Salam Fakir Andalusia". Ketika memberikan ucapan sebagai presiden HIKMAH iaitu sebelum ucapan perasmian Osman saya ada memberitahu bahawa ungkapan tersebut diambil daripada lirik lagu "Andalusia" oleh penyanyi dan komposer terkenal tanah air M. Nasir. Diterangkan bagaimana lagu menyatakan harapan dan kerinduan terhadap kebangkitan Islam akhir zaman. Dan salam itu sendiri adalah suatu pernyataan memohon agar dipinjamkan kekuatan (melalui fakir, merujuk pada ahli-ahli Sufi seperti Ibnul Arabi) demi menongkah arus kebejatan akhir zaman dalam melaksanakan perjuangan.
Osman kemudian memanjangkan perkara dengan menceritakan sedikit tentang zaman keemasan Andalusia. Disebutlah nama beberapa tokoh ilmuwan Islam sana dan bagaimana ketinggian peradabannya kemudian memacu zaman 'pencerahan' (enlightenment) Eropah yang bermula sekitar abad ke-15 Masihi. Untuk pembentangan petang perkara diperincikan dengan menunjukkan dahulu kedudukan Andalusia dalam peta sekarang. Untuk pengetahuan ia kini adalah sebahagian daripada negara Spain atau Sepanyol.
Beginilah kedudukannya dalam peta moden sekarang. Perhatikan negara Portugal atau Portugis terletak di sebelah kiri atau ke barat wilayah Andalusia. Adapun Portugis adalah kerajaan Eropah pertama menjadi satu kuasa dunia diikuti Sepanyol. Dalam sejarah Alam Melayu nama mereka terkenal setelah berjaya menakluki kota Melaka tahun 1511 Masihi sementara Sepanyol datang dari arah Lautan Pasifik (Portugis dari arah Lautan Hindi) lalu membentuk wilayah yang dikenali sebagai Filipina tahun 1521. Apakah satu kebetulan mereka menjadi kerajaan-kerajaan Eropah terawal mencapai status kuasa dunia? Untuk memahami perkara harus disorot sejarah awal kemunculan kerajaan Andalusia Islam.
Sesungguhnya Andalusia muncul sebagai rantaian peristiwa daripada perkembangan wilayah Islam sejak junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu untuk menyebarkan Islam sekitar tahun 610 Masihi. Sebelum wafat tahun 632 seluruh jazirah Arab dapat diIslamkan. Lihat kawasan yang ditanda dengan warna hijau gelap dalam peta. Pada zaman pemerintahan Khulafak Ar-Rashidin (Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) liputan pemerintahan Islam sudah meliputi sekali kawasan berwarna hijau sedang. Ketika itulah Empayar Parsi berjaya dikalahkan lalu wilayahnya dimasukkan dalam pemerintahan Islam. Ketika itu juga Baitul Maqdis berjaya dibebaskan daripada pemerintahan Empayar Rum lalu turut menjadi wilayah Islam.
Perkembangan terus berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah sebagai khalifah (661-750). Wilayah pemerintahan Islam menjangkau lebih besar untuk meliputi pula kawasan bertanda hijau cair. Nampak di sebelah kiri tengah Semenanjung Iberia di bahagian paling Barat Eropah? Itulah dia wilayah Andalusia Islam awal.
Penaklukan wilayah Eropah itu bermula dari arah Afrika Barat iaitu dari Maghribi, juga dikenali sebagai Morocco.
Dari Maghribi sudah terlalu dekat untuk menyeberang masuk dengan kapal.
Satu angkatan perang Islam dipimpin oleh panglima Tariq bin Ziyad pun masuk menyeberang menuju ke satu bukit tinggi di hujung selatan Semenanjung Iberia yang boleh dilihat dari darat Afrika. Lalu berlakulah penaklukan demi penaklukan mengalahkan kuasa-kuasa Kristian Barat. Mengingati peristiwa penyeberangan tahun 711 bukit diberikan nama Jabal (bukit dalam bahasa Arab) at-Tariq. Kemudian hari sebutan Jabal at-Tariq menjadi Gibraltar. Itulah nama tempat tersebut seperti dipakai Barat hingga ke hari ini.
Sekadar menunjukkan kawasan-kawasan wilayah pemerintahan bukan Islam yang pernah wujud sebelum kedatangan Islam. Sengaja ditunjukkan keadaan hampir 200 tahun lebih awal. Walaupun berlaku banyak perubahan selepas itu ketika Tariq bin Ziyad datang kuasa utama yang perlu ditentang adalah puak-puak Visigoths, satu pecahan kaum daripada ras besar Jerman/Germanic. Dikatakan Tariq sendiri datang mengambil kesempatan atas perang saudara antara puak-puak Visigoth. Selebihnya adalah sejarah yang membuka jalan pada kemasukan paling awal kuasa umat Islam di Eropah.
Masuk tahun 750 jangkauan kekuasaan Islam sudah meliputi kesemua kawasan yang diwarnakan hijau. Dengan itu boleh dikatakan hampir seluruh Semenanjung Iberia berada dalam tangan ummah. Oh, slaid-slaid saya mengandungi animasi yang mana teks-teks muncul beberapa waktu selepas dipaparkan suatu gambar atau peta. Teks dalam slaid ini menunjukkan apa yang berlaku setelah beberapa lama penaklukan demi penaklukan meliputi wilayah yang kelihatan.
Adapun pada tahun 750 juga pemerintahan Bani Umaiyah yang berpusat di Damsyik jatuh lalu digantikan oleh pemerintahan Bani Abbasiyah (kemudian mendirikan kota Baghdad lalu berpusat di sana). Dalam selang waktu tersebut ramai ahli keluarga Bani Umaiyah diburu dan dibunuh. Namun ada yang dapat melarikan diri kemudian bergerak ke Andalusia lalu mengisytiharkan ia sebagai satu kerajaan bebas.
Peta kerajaan-kerajaan Islam pada abad ke 9. Kelihatan terdapat beberapa pecahan wilayah pemerintahan. Pemerintahan terus (direct rule) Bani Abbasiyah cuma terpakai pada kawasan yang ditandakan hijau. Kawasan berwarna ungu dan oren pula berada dalam naungan. Selain daripada itu adalah pemerintahan Islam yang tersendiri, tidak lagi memandang kepada Baghdad sebagai pusat.
Masuk abad ke-10 wilayah Islam Andalusia telah mengecil sedikit akibat perlawanan daripada kuasa-kuasa Eropah Kristian dari arah utara. Namun ini tidak menghalang ia daripada diisytiharkan sebagai Kekhalifahan (Caliphate), bukan lagi sekadar suatu kerajaan.
Selepas seabad Kekhalifahan Islam Andalusia (juga dikenali sebagai Kekhalifahan Kordoba kerana berpusat di kota Kordoba) pula jatuh. Muncul kerajaan-kerajaan kecil diperintah oleh para penguasa tempatan, kerajaan-kerajaan yang dikenali sebagai Taifa.
Kerajaan-kerajaan serpihan memberikan lebih ruang untuk kuasa-kuasa bukan Islam menyerang sambil mengadu domba. Tidak lama kemudian tinggal wilayah Andalusia seperti yang kita tahu sekarang sebagai satu-satunya kerajaan Islam yang masih wujud di Semenanjung Iberia. Tahun 1492 ia jatuh sepenuh ke tangan kuasa Kristian. Itulah tahun dan tarikh keramat bagi gerakan kebangkitan Kristian melonjak naik mula mengatasi Islam.
Selepas daripada tarikh itulah muncul dengan galak angkatan-angkat Barat terutama dari Portugis menyerang kota-kota pelabuhan Islam sehingga membawa kepada penaklukan Kota Melaka di Alam Melayu tahun 1511. Satu tinggalan penting zaman keemasan Islam yang pernah wujud di Andalusia ialah Istana Alhambara seperti kelihatan pada gambar...
Sekarang baru hendak disebut tentang budaya dan legasi ilmu yang penting daripada zaman keemasan Andalusia. Osman telah menyebut beberapa nama ilmuwan sana yang membentuk suasana keemasan. Seorang pembentang iaitu saudara Shaiful Hakim juga ada memberikan contoh dalam pembentangan beliau. Lihat Ilmu kejuruteraan di Alam Melayu dan Islam. Saya cuma mahu memberikan tumpuan terus pada seorang sahaja tokoh iaitu Sheikh Muhyiddin Ibn Arabi (hidup 1165-1240). Beliau yang sering disebut sebagai Ibnul Arabi adalah seorang ahli ilmu Tasawuf yang dipercayai telah mencapai taraf wali tertinggi.
Sesungguhnya saya melihat legasi keilmuan Ibnul Arabi ini ada dibawa dalam pemikiran pengasas ISTAC iaitu Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ini boleh kaitkan dengan tesis PhD beliau tahun 1962 di London yang kemudian dijadikan buku bertajuk "The Mysticism of Hamzah Fansuri" (Kemistikan Hamzah Fansuri). Ia merujuk kepada tokoh besar ilmuwan Aceh abad ke-16 hingga ke-17 tersebut yang juga dikatakan seorang wali besar. Hamzah ada membawa fikrah, falsafah dan cara pemikiran Ibnul Arabi di dalam tulisan-tulisannya tentang hubungan manusia dengan Tuhan.
Saya melihat pemikiran sama ada dibawa oleh Syed Naquib sehingga tergambar pada seni bina bangunan ISTAC yang memang diketahui ramai mengikut ciri-ciri Istana Alhambra di Andalusia. Pemikiran serupa walaupun dengan pendekatan berlainan saya lihat dibawa pula oleh peneraju sekarang ISTAC, guru saya, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Untuk pengetahuan satu kursi pemikiran tinggi diberi nama Kursi Al-Ghazzali telah dilancarkan di ISTAC lebih dua dekad lalu dengan Syed Naquib sebagai penyandang pertama kursi. Osman yang sudah beberapa lama mengajar di luar negara pula muncul sebagai penyandang kedua cuma baru setahun lebih lalu. Lihat artikel Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Nah. Harus semakin jelas kenapa saya memilih tema "Salam Fakir Andalusia" bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC. Sekarang lihat kedudukan dan konteksnya dalam lirik lagu Andalusia oleh M. Nasir. Sesungguhnya yang dimaksudkan sebagai fakir, yang dipohon sampaikan salam lalu diminta izin untuk diselami irama asyiknya itu adalah ahli-ahli Tasawuf Andalusia terutama Ibnul Arabi. Yang diminta pinjamkan gambus dan ghazalnya jadi azimat supaya dapat tari menongkah arus itu adalah memohon wasilah kekuatan ummah seperti tergambar pada zaman keemasan Andalusia melalui jalan kerohanian agar dapat memperjuangkan kebangkitan Islam akhir zaman.
Sesungguhnya saya berusaha untuk mengadakan acara di ISTAC memakai tema berkenaan untuk mengajak hadirin terutama kawan-kawan dalam dunia persilatan agar dapat merasai jika tidak pun menyelami apa yang saya lihat sangat istimewa tentang lokasi sehingga akhirnya tergerak untuk menyambung kembali pengajian setelah lebih dua dekad meninggalkan universiti. Adapun dahulu, selepas menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang matematik di Universiti College of London tahun 1995 saya telah membuat keputusan untuk tidak lagi belajar (secara formal) walaupun disuakan peluang. Sebetulnya ada terbuka jalan untuk menyambung ke peringkat sarjana tetapi dalam bidang berkaitan seni pada waktu itu juga. Ini ada diceritakan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar yang dipaparkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU Khamis lalu.. Satu lagi tak pasti apakah pernah diceritakan di mana-mana. Sebenarnya sebelum menduduki peperiksaan akhir tahun lagi saya pernah mendapat surat tawaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjadi tutor kemudian pensyarah.
Turut ditawarkan adalah biasiswa bagi menyambung pengajian di peringkat sarjana. Syaratnya cuma dapatkan tempat (tidaklah susah bagi saya ketika itu) dan ia mesti dalam bidang matematik (yang ini agak susah sedikit kerana ketika itu fikiran saya sudah beralih arah tidak berapa lagi menggemari subjek-subjek sains). Saya akhiri artikel ini dengan cerita aspirasi berkenaan yang pernah dinukilkan tidak lama selepas menyambung pengajian di ISTAC. Lihat artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia. Sekian perkongsian tentang pembentangan.
No comments:
Post a Comment