Allah. Sedar tak sedar rupa-rupanya sudah masuk pertengahan bulan Rejab. Malam tadi baru tergerak untuk menyemak kalendar lalu mendapati Ahad semalam sudah 13 Rejab. Sepatutnya saya berpuasa sunat siang itu kerana sudah membiasakan diri berpuasa 3 hari berturut-turut tarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam tetapi terlupa. Kalau hari ini Isnin 14 Rejab tak tengok kalendar pun insyaallah tetap akan berpuasa kerana sudah membiasakan diri berpuasa sunat Isnin dan Khamis.
Apapun masuk kita pada pembentangan kedua sesi petang merangkap ke-5 secara keseluruhan bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 22 Februari 2020. Bersambung gerak penulisan daripada artikel
Dinar dan dirham sebagai wadah kebangkitan ummah.
Tajuk pembentangan adalah “Melayu dan Islam Berpisah Tiada”. Pembentangnya adalah Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, penyandang Kursi Za’aba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Untuk pengetahuan beliau adalah tokoh bahasa Melayu yang tidak asing lagi di persada tanah air. Sebagai penggiat bahasa beliau memiliki reputasi antarabangsa kerana pernah menjadi profesor bahasa Melayu di negara China selama beberapa tahun. Beliau juga sudah membentang tentang bahasa Melayu di banyak negara lain termasuk di Eropah.
Sebelum berpindah ke UPSI sekitar bulan September tahun lepas beliau pernah menjadi ketua unit Tamadun Melayu Islam di ISTAC. Di situlah saya mula mengenali Awang kerana beliau juga adalah pensyarah bagi kelas berkenaan sepanjang semester pertama saya di ISTAC September 2018 hingga Januari 2019. Untuk assignment iaitu kerja akhir kelas saya menulis satu kertas tentang HIKMAH, bagaimana ia boleh bermula dan apakah sumbangannya terhadap masyarakat. Jadi sedikit sebanyak beliau tahu saya juga terlibat dan usaha dan gerakan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
Beliau telah membeli buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Hitchhike Solo Eropah Tahun 1995" sejurus selepas ia selamat diterbitkan Jun 2019 lalu sedia datang untuk memberikan kata-kata aluan pada majlis pelancaran di rumah bulan seterusnya. Lihat artikel
Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu di blogspot
CATATAN SI MERAH SILU. Disebabkan hubungan inilah beliau tiada masalah untuk membentang pada acara ke-22 HIKMAH walaupun malam sebelumnya harus berada di Singapura untuk majlis lain.
Tajuk pembentangan adalah atas pilihan beliau. Difahamkan ia pertama kali disediakan lalu dibentangkan untuk satu majlis di sebuah masjid di Tangkak, Johor penghujung tahun lepas. Tajuk sama ada dipersembahkan di ISTAC awal tahun dalam satu majlis persatuan mahasiswa Indonesia di Malaysia. Walaupun pada mulanya ada terfikir untuk membawa tajuk lain ke acara HIKMAH akhirnya didapati lebih mudah mengulang tajuk sama tetapi pada khalayak yang berlainan memandangkan slaid untuknya sudah lama tersedia cantik.
Pembentangan dibuka dengan menyatakan asal usul orang Melayu seperti ada dinyatakan kajian Barat. Perkara sama melibatkan satu tanah besar dikenali sebagai Benua Sunda merujuk pada bentuk muka bumi Alam Melayu/Asia Tenggara beribu tahun lalu ada disebut dalam pembentangan saya yang berkenaan pada waktu pagi. Rujuk kembali artikel
Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia. Disebut juga asal usul bangsa Melayu sebagai satu cabang keturunan Nabi Ibrahim AS. Semua ini ada disebut dalam penulisan-penulisan saya kecuali hal perkataan Jawi (satu nama rujukan kepada bangsa Melayi) sebagai berasal daripada gabungan perkataan Ji dan Wi yang menurut Awang membawa makna "Satu Tuhan".
Ditunjukkan pula peta sebaran kependudukan orang Melayu daripada Benua Sunda ke bahagian lain dunia terutama setelah berlaku paras air laut naik mendadak sehingga membentuk muka bumi Asia Tenggara yang kita kenali sekarang. Perkara ini juga rujukan-rujukan yang kelihatan (buku "Eden in The East" oleh Stephen Oppenheimer dan "Atlantis the Lost Continent Finally Found") ada disebut dalam tulisan-tulisan saya terutama buku ke-11"Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dan 'kembarnya' (kerana diterbitkan bersama Mac 2018) dan buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Manusia". Sekadar memberitahu, kedua-dua buku ada dihadiahkan kepada Awang tidak lama selepas mengikuti kelas beliau di ISTAC.
Yang saya tak pernah sebut adalah rujukan ketiga dalam gambar iaitu buku "Asal Usul Melayu Induknya di Benua Sunda" oleh pengkaji tempatan Puan Zaharah Sulaiman. Namun kajian-kajian Zaharah ada dirujuk dalam penulisan dan buku kerana pernah mengikut berapa pembentangan beliau tentang hal-hal berkenaan. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
1.
Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Dari asal membawa ke usul
2.
HIKMAH Merdeka Raya - Dari DNA Melayu ke pencarian makna besar kemerdekaan
3.
Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Mengaitkan Adam dengan bangsa Melayu
4.
Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu - Dari DNA Sundaland ke raja-raja Melayu
Selepas menerangkan asal usul Melayu purba sekitar 10,000 tahun lalu dan lebih awal baru disorot zaman yang lebih dekat. Dibuatlah pembahagian tempoh masa peradaban Melayu seperti dalam senarai. Kalau tak salah ingatan hal serupa pernah dibentangkan dalam kelas di ISTAC juga salah satu buku tulisan beliau.
Sesungguhnya sebelum mengenali di ISTAC lagi saya sudah mengikut sejumlah syarahan dan pembentangan beliau terutama ketika menyandang jawatan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Institusi tersebut banyak mengadakan majlis-majlis ilmu dan saya selalu berusaha untuk hadir. Sekadar berkongsi sejumlah artikel yang pernah ditulis tentang majlis-majlis ilmu di DBP termasuk sebelum Awang bertugas di sana dan selepas beliau keluar :-
Sebut pasal DBP pada zaman beliau saya malah pernah menumpang kenderaan Awang dari sana ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) tahun 2005. Tapi Awang tak ingat. Lihat
Daripada Cheng Ho ke pesta buku - Rumi dan projek penulisan baru. Kembali pada pembentangan. Disebutlah tentang kedudukan Melayu dan Islam seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Kebangsaan dan apakah implikasinya terhadap pembentukan negara. Tentulah disebut sekali bahawa menurut perlembagaan orang Melayu (di Malaysia) mestilah beragama Islam. Baru boleh diiktiraf menurut undang-undang sebagai seorang Melayu lalu boleh menerima hak-hak keistimewaan yang diperuntukkan sebagai penduduk asal dan peneraju Tanah Melayu.
Dalam memperjuangkan hal ini Awang diakui sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh dan terkehadapan. Beliau sudah beberapa kali terlibat dalam demontrasi mengangkat kepentingan bahasa Melayu, suaranya menjadi satu petunjuk arah perjuangan. Sebagai mengakhiri penulisan biar diletakkan pautan beberapa artikel yang melibatkan perjuangan beliau dalam tempoh setahun kebelakangan :-
Secara rata pembentangan dan perkongsian fikir Awang termasuk pada acara ke-22 HIKMAH di ISTAC mengandungi aspirasi perjuangan yang sama demi memartabatkan Melayu dan Islam. Ini kerana beliau tetap konsisten dalam menanggapi perkara. Perjuangannya tidak pernah berubah asas, yang ada cuma penambahan, mungkin perubahan hujah menurut keadaan. Intipatinya tetap Melayu dan Islam.
No comments:
Post a Comment