Thursday, November 16, 2023

Pembentangan HIKMAH Sarang - Alam Melayu dan jangkauan yang diperkecilkan Barat

OK. Pergi pada pembentangan kedua acara ke-23 HIKMAH. Bersambung daripada  Pembentangan HIKMAH Sarang - Tentang Sharifah Fatimah dan lukisan-lukisan beliau.




Cadangan asal saya adalah pembentangan kedua akan meneruskan kupasan tema majlis iaitu "Antara Tradisi dan Kemodenan" dengan beralih daripada hal seni rupa ke soal bahasa sebagai wadah komunikasi alam fikir. Untuk itu pakar dan pejuang Bahasa Melayu terkenal, Senator Profesor Emeritus Datuk Awang Sariyan telah diminta menangani perkara dan beliau telah bersetuju. Namun hampir sampai tarikh acara iaitu 11 November beliau memberitahu telah diminta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membentang dan menghiasi satu majlis besar pada tarikh sama. Oleh kerana lokasi DBP  di selatan pusat bandar raya Kuala Lumpur adalah mencapah jauh dari kediamannya di Taman Melawati maka beliau tidak dapat bersama bagi acara HIKMAH ke-23 di Tanjung Malim.

Dengan itu Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang asalnya adalah pembentang ketiga dikehadapankan menjadi pembentang kedua. Rupa-rupanya, walaupun bertugas di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang terletak ke barat pusat bandar raya beliau menetap di Proton City, cukup dekat dengan Tanjung Malim. Tajuk yang kelihatan pada gambar atas sebenarnya lebih merupakan deskripsi bagi perkongsian atau kupasan yang diharapkan daripada beliau. Ia masih dalam tema sama "Antara Tradisi dan Kemodenan" tetapi lebih pada aspek sejarah. 




Untuk pengetahuan, flow atau aliran pemikiran yang saya dicadangkan bagi pembentangan pagi hingga ke tengah hari adalah berupa kupasan tema "Antara Tradisi dan Kemodenan" melibatkan Alam Melayu, pemikiran dan jiwa daripada sudut seni rupa membawa kepada bahasa kemudian kepada sejarah . Tapi tak mengapalah jika melompat terus pada hal sejarah, sesuatu yang Murad cukup pakar kerana memiliki cukup keahlian dalam bidang walaupun difahamkan kepakaran asal beliau adalah bidang media dan kewartawanan. Lihat sahaja antara buku-buku tulisan beliau yang dapat ditemui di Internet. Saya ambil secara copy and paste terus untuk dimasukkan ke dalam slaid supaya boleh ditunjukkan bagi memperkenalkan  keahlian beliau kepada para hadirin. Sebetulnya latar belakang kewartawanan menyebabkan beliau dapat menangani sedikit aspek bahasa dalam dunia pemikiran kerana kewartawanan memang menggunakan bahasa sebagai alat menyampaikan. Cuma tidaklah dikupas aspek-aspek teori bahasa seperti boleh dilakukan Awang Sariyan.




Sebetulnya saya ada bertanya jika beliau ada menyediakan slaid untuk pembentangan. Beliau menjawab dengan memberikan gambar atas melalui WhatsApp pada malam sebelum acara lalu menyatakan cukup dengan itu. Saya pun mengaturnya untuk dijadikan slaid dalam Powerpoint. Tetapi entah kenapa ketika itu fail baru Powerpoint yang dibuka bermasalah lalu tidak dapat dimasukkan gambar. Dengan itu saya meletakkan dalam Word pula. Nasib baik tetap dapat dipaparkan untuk dikupas.

Secara rata Murad mengambil pendekatan berdasarkan pengenalan definisi dengan menyatakan betapa luasnya jangkaun sebenar Alam Melayu, kerana kaum-kaum daripada rumpun Melayu sebenarnya terdapat merata dan melata dari Laut Hindi ke Lautan Pafisik, bukan sekadar di Asia Tenggara. Namun perkembangan semasa yang dipacu penjajahan Barat yang membawa konsep "nation-state" atau negara bangsa yang menghadkan negara dan kependudukan dalam batas-batas tertentu dan sempadan-sempadan yang dicipta menyebabkan pemahaman ramai tentang apa itu Melayu dan jangkaunnya disempitkan. Sambil itu beliau menyentuh banyak perkara lain yang sebenarnya berkaitan juga dengan hal Melayu dan sejarah ketamadunannya. Antaranya, dengan memberitahu kenapa memilih untuk membeli rumah lalu menetap di Proton City di Tanjung Malim.

Beliau asalnya orang Pulau Pinang, pernah mengajar di Universiti Sains Malaysia buat beberapa lama. Setelah itu berpindah untuk mengajar di ISTAC tetapi menetap di Proton City yang terletak lebih 80 km perjalanan dari tempat mengajar. Pergi balik dah lebih 160 km, tak campur hal masa, kesesakan lalu lintas, duit minyak bagai. Banyak lagi tempat lebih dekat boleh diduduki. Jadi kenapa di situ? Kata beliau kerana ia dekat dengan UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris), satu tempat yang pada beliau (dan ramai orang) sebenarnya sangat ikonik dengan usaha-usaha mencerdikkan orang Melayu. 




Sila ikuti sendiri perkongsian beliau melalui video atas. Oh. Tergerak untuk memberitahu. Artikel sebelum ini iaitu Pembentangan HIKMAH Sarang - Tentang Sharifah Fatimah dan lukisan-lukisan beliau ditulis di sebuah warung di Durian Sebatang, Teluk Intan sementara artikel ini pula ditulis di Dewan SITC di UPSI. Saya sebetulnya masih dalan perkelanaan, setelah menghadiri sesi terbaru perbicaraan  di mahkamah syariah Ipoh melibatkan hartanah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Saya ke UPSI kerana ada pesta buku dan satu wacana tentang drama sitkom

Perkongsian selepas ini iaitu daripada pembentangan ketiga acara ke-23 HIKMAH adalah tentang Laksamana yang merupakan datuk kepada moyang saya. Durian Sebatang merupakan pusat pentadbiran beliau ketika menjadi Laksamana Perak separuh abad ke-19 Masihi. Insyaallah saya akan cuba mempersembahkan cerita selewatnya sebelum masuk Maghrib esok petang Jumaat.



No comments:

Post a Comment