Salam semua. Salam petang Rabu 1 Jamadil Awal 1445 Hijriah. Seperti biasa selepas menceritakan perjalanan suatu acara HIKMAH akan dibuat artikel-artikel khas bagi pembentangan setakat mana yang dapat. Pada acara kali ini cuma ada 3 sahaja tajuk pembentangan. Dan paparan bagi ketiga-ketiga pembentangan telah disediakan oleh saya. Maka lebih mudah untuk dibuat perkongsian.
Pembentangan pertama dengan tajuk seperti yang kelihatan asalnya akan dibuat oleh pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir secara QnA atau bersoal jawab dengan saya.
Untuk itu saya telah mengambil sendiri gambar 11 buah lukisan abstrak di rumah baru beliau merangkap studio di Bukit Beruntung. Gambar-gambar dipilih menurut gerak hati mana yang suka dan pelukis yang saya dan isteri panggil sebagai Kak Fatimah bersetuju dengan pilihan.
Secara rata saya mahu beliau mengulas apakah cerita di sebalik setiap lukisan. Saya tertarik untuk menjadikan ia pembentangan apabila mendapat tahu Kak Fatimah adalah seorang yang peka dan sangat mengambil tahu tentang asal usul keturunan. Sehingga sanggup mengembara jauh seorang diri untuk menziarahi makam-makam tokoh-tokoh bertaraf wali terutama para Sayyid keturunan Nabi Muhammad SAW di pelbagai belahan dunia.
Pada saya ia bertepatan dengan tema acara ke-23 HIKMAH iaitu "Antara Tradisi dan Kemodenan". Tradisi itu adalah tentang jiwa di sebalik lukisan terutama apabila melibatkan apresiasi terhadap para leluhur yang merupakan para pendakwah Islam hebat zaman silam. Sedangkan kemodenan itu adalah tentang bagaimana apreasiasi itu dizahirkan melalui lukisan-lukisan abstrak yang dilihat berasal daripada dunia pemikiran seni moden Barat.
Namun disebabkan berlaku pertukaran tarikh acara daripada tarikh cadangan asal 21 Oktober menjadi 11 November (lihat Pengisian bagi acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub seminggu lebih sahaja lagi) beliau tidak dapat bersama. Ini kerana sepanjang hujung minggu tersebut harus bersama dalam satu perhimpunan keluarga di luar kawasan.
Nasib baik ada Prof Madya Dr Dzahuri Khairani daripada Fakulti Seni UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris dapat menggantikan bagi mengulas lukisan-lukisan yang dipilih itu.
Asalnya saya cuma memilih beliau atas 2 sebab. Pertama, beliau adalah seorang pensyarah ilmu seni. Tentu boleh mengupas sedikit sebanyak tentang lukisan. Atau sekurang-kurangnya memberikan pendapat yang terpelajar.
Kedua, kerana beliau memang ahli jawatankuasa penganjuran majlis. Beliau adalah timbalan kepada arwah Mamat Khalid yang pernah mengetuai Persatuan Anak Seni Sarang. Sarang Art Hub pula adalah pemilik tempat dan penganjur utama majlis. Untuk pengetahuan, HIKMAH ke-23 ini dijalankan selari dengan acara ke-4 Anjung Tradisi (diperkenalkan Sarang pada tahun 2017). Kedua-dua acara boleh dikira sama. Nama acara yang dihebahkan dalam poster terbitan mereka pun adalah "Anjung Tradisi & HIKMAH".
Gambar-gambar lukisan ini dipersembahkan sebagai paparan slaid Powerpoint melalui projector. Dalam paparan sebenar gambar keluar dahulu tanpa tajuk lalu saya meminta Dzahuri mengulas apa yang beliau dapat lihat dan faham tentang lukisan. Selepas itu baru dikeluarkan tajuk.
Tajuk-tajuk itu saya cari sendiri berdasarkan sejumlah buku yang dihadiahkan Kak Fatimah. Ia berupa katalog-katalog lukisan dengan sejumlah ulasan. Mana yang gambarnya tidak dapat ditemui dalam buku lalu tak tahu tajuk diletakkan sebagai "...".
Rupa-rupanya Dzahuri memang sudah lama mengkaji lukisan-lukisan Sharifah Fatimah malah pernah terlibat menjayakan pameran beliau di Balai Seni Lukis Negara. Maka itu pensyarah UPSI yang juga pernah membuat pameran lukisan sendiri itu cam sejumlah lukisan Fatimah, sedikit sahaja belum pernah dilihat sebelum itu.
Akhir sekali dipaparkan gambar lukisan yang sedang diusahakan Kak Fatimah ketika saya datang ke rumah mengambil gambar 3 bulan lalu.
Untuk mendengar dan melihat sendiri apa yang dibincangkan tonton video atas diikuti video bawah...
Semoga apa yang dikongsikan memberikan faedah dan ilmu pengetahuan. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-424 di blogspot HIKMAH.
No comments:
Post a Comment