Salam semua. Salam malam terakhir bulan Rabiul Akhir 1445 Hijriah. Merujuk pada artikel Pengisian bagi acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub seminggu lebih sahaja lagi yang dipersembahkan pada 3 Nov iaitu 10 hari lalu. Sukacita dimaklumkan bahawa acara berkenaan telah selamat dilangsungkan 2 hari lalu. Sekarang biar dikongsikan cerita.
Acara dijadualkan bermula jam 10 pagi Sabtu 11 November 2023 dengan pembentangan-pembentangan ilmu.
Gambar tadi, ini dan tiga keping seterusnya pula diambil pada jam 10.33 pagi.
Tempat telah disiapsediakan sejak jam 9 pagi.
Tetapi sampai masa majlis dijadualkan bermula ia kelihatan kosong. Cuma terdapat beberapa hadirin sahaja di bahagian lain tempat iaitu Sarang Art Hub di Tanjung Malim, sebuah restoran merangkap pusat seni yang diasaskan oleh sutradara filem terkenal arwah Mamat Khalid.
Ini disebabkan pagi itu hujan lebat sehingga naik banjir kilat di perkarangan tempat. Difahamkan hujan lebat juga melanda banyak kawasan ke utara dan selatan Tanjung Malim sementara jalan-jalan dari luar mengalami kesesakan lalu lintas.
Sekitar jam 10.39 baru kelihatan cukup ramai hadirin untuk memulakan acara.
Saya sebagai presiden HIKMAH merangkap moderator/pemudah cara majlis pun membuka dengan menceritakan apa itu HIKMAH. Bagaimana ia bermula. Bagaimana 22 acara atas nama HIKMAH telah diadakan sebelum ini sejak penghujung tahun 2012 di merata Semenanjung Malaysia juga 3 kali di Aceh.
Satu gambar yang diambil oleh orang lain ketika pembentangan berlangsung. Kelihatan pembentang pertama Prof Madya Dr Dzahuri Khairani daripada Fakulti Seni UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) sedang berbicara mengenai seni lukis. Dalam tempoh masa berkenaan saya memberikan tumpuan penuh bagi pengendalian acara. Jam 1.09 petang baru ada mengambil lagi gambar.
Ketika itu tetamu VVIP iaitu Orang Besar Jajahan daerah Mu'alim, Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal sedang memberikan ucapan sebelum merasmikan majlis. Kelihatan ke kiri saya pembentang kedua, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Dato' Safry di kirinya. Sesi perasmian sebetulnya dijadualkan bermula jam 12.30 dan VVIP sampai sebelum itu. Cuma disebabkan majlis lewat bermula akibat hujan lebat dan pembentangan ada terlajak masa jadual jadi teranjak sehingga setengah jam ke hadapan.
Nasib baik VVIP yang sampai sekitar jam 12.24 (saya ada melihat jam dalam telefon bimbit) sudi untuk mengikuti pembentangan sehingga selesai. Ketika itu Ahmad Murad masih lagi membentang. Apabila beliau selesai sekitar jam 12.30 saya meminta kebenaran kepada Safry untuk menyampaikan pembentangan sendiri. Demi mengejar masa ia dipercepatkan menjadi 20 minit sedangkan setiap pembentang asalnya dijadualkan membentang 40 minit.
Pun begitu dapat juga disampaikan apa yang patut. Malah saya dapat tahu rupa-rupanya VVIP ini memang berminat dengan pembentangan saya tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin malah telah membeli dan baca buku yang saya tulis tentang tokoh tersebut. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Tepat 17 tahun kembalinya jasad Laksamana Muhammad Amin ke Perak di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Beliau juga rupa-rupanya tahu dan cakna tentang perbicaraan melibatkan harta Laksamana di Mekah yang sedang berjalan di Mahkamah Syariah Ipoh. Hal tersebut telah dinyatakan banyak kali dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Untuk perkembangan terbaru boleh rujuk artikel Misi hartanah dan wacana Laksamana yang dipersembahkan 3 minggu lalu.
Gambar ini pula diambil ketika persembahan silat oleh anak-anak gelanggang Lang Buana yang dikendalikan oleh Sarang Art Hub bermula sekitar jam 1.19 iaitu setelah VVIP merasmikan majlis. Berikut adalah rakaman-rakaman video yang dibuat oleh isteri saya meliputi setiap pembentangan sehingga ke perasmian majlis. Ia telah dikongsikan di Facebook dan WhatsApp semalam bersama teks-teks berikut :-
PERKONGSIAN PERTAMA HIKMAH SARANG - TENTANG LUKISAN SHARIFAH FATIMAH SYED ZUBIR (PART 1)
Salam. Sementara belum cukup lega daripada kepenatan dan belum cukup berkelapangan untuk membuat artikel blog biar dikongsikan dahulu video2 pembentangan yang ada direkodkan oleh isteri saya semalam bermula dengan ini...
PERKONGSIAN PERTAMA HIKMAH SARANG - TENTANG LUKISAN SHARIFAH FATIMAH SYED ZUBIR (PART 2)
Sambung lagi pembentangan pertama. Asalnya ia memang mahu disampaikan oleh pelukis terkenal Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir. Tetapi pertukaran tarikh acara dari 21 Oktober ke 11 November menyebabkan beliau tidak dapat bersama kerana ada hari keluarga. Namun pembentangan diteruskan dengan Prof Madya Dr Dzahuri Khairani daripada UPSI mengulas tentang lukisan Sharifah Fatimah.
PERKONGSIAN KEDUA HIKMAH SARANG - TENTANG JANGKAUAN ALAM MELAYU YANG DIPERKECILKAN BARAT
Pergi pada pembentangan kedua. Asalnya slot ini adalah untuk Senator Prof Emeritus Datuk Dr Awang Sariyan mengulas tema majlis iaitu "Antara Tradisi dan Kemodenan" daripada sudut ilmu bahasa. Namun beliau kemudian memberitahu tidak dapat bersama kerana timbul majlis lain di DBP pada hari sama. Lalu Prof Datuk Dr Ahmad Merican daripada ISTAC yang asalnya adalah pembentang ketiga mengisi slot dengan mengulas mengenai orang Melayu, ketamadunan dan alamnya melalui sudut sejarah sambil menolak naratif Barat yang selama ini memperkecilkan jangkauan.
PERKONGSIAN KETIGA HIKMAH SARANG - TENTANG KETOKOHAN DAN PERJUANGAN LAKSAMANA RAJA MAHKOTA MUHAMMAD AMIN
Seterusnya adalah pembentangan terakhir oleh saya, penulis buku Radzi Sapiee @ Merah Silu. Dikongsikan kisah ketokohan perjuangan moyang atau lebih tepat, moyang kepada datuk saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin seperti ada dikongsikan dalam buku terbaru dan ke-14 saya dengan tajuk berkenaan (terbit Mei 2023). Laksamana Muhammad Amin adalah antara pembesar Perak yang menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 lalu bertanggungjawab mengangkat Sultan Abdullah II menjadi Sultan ke-26 Perak. Namun beliau kemudian berusaha untuk membatalkan perjanjian kerana British telah melangkaui apa yang orang Melayu faham tentang perjanjian.
PERASMIAN OLEH ORANG BESAR JAJAHAN DAERAH MU'ALIM
OK. Sebenarnya video pembentangan daripada saya tadi turut mengandungi sebahagian daripada ucapan perasmian majlis oleh Orang Besar Jajahan daerah Mu'alim iaitu Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal. Sambungan ucapan ada dalam video seterusnya ini diikuti perasmian oleh beliau...
No comments:
Post a Comment