Salam malam Jumaat 19 Rabiul Akhir 1445 Hijriah. Merujuk pada artikel Mesyuarat 31 Ogos bagi penganjuran acara ke-23 HIKMAH yang dipersembahkan pada 1 September. Ketika itu rancangnya acara mahu diadakan pada 21 Oktober. Tidak lama kemudian ditunda ke 11 November atas sebab-sebab tertentu. Tetapi ia dan perkembangan-perkembangan lain belum diceritakan di blogspot. Sekarang biar dikongsikan supaya jelas perkara apa lagi acara dijadualkan akan berlangsung seminggu lebih sahaja lagi.
Sebetulnya perubahan tarikh telah diwar-warkan di media sosial seawal 6 September.
Pada 21 Oktober baru dibuka event page di Facebook, atas sebab yang dinyatakan seperti berikut :-
Salam semua. Dengan lafaz bismillah biar dibuka event page acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub pada 11 November 2023. Sebelum ini tak dapat buka kerana entah kenapa butang untuk "create new event" tak jumpa dalam page. Untuk makluman acara HIKMAH kali ini akan dibuat selari dengan acara Anjung Tradisi yang telah 3 kali dianjurkan oleh Sarang sebelum ini. Bahagian kami adalah wacana ilmu pagi hingga tengah hari. Selepas itu kami ikut dan memeriahkan apa yang mahu dibuat Sarang sehingga waktu malam, insyaallah.
-------
Apa itu Anjung Tradisi? Biar diceritakan kemudian. Sebetulnya dalam tempoh waktu selepas mengubah tarikh sehinggalah baru sehari kedua kebelakangan saya agak tertanya-tanya apakah jadi acara pada tarikh 11 November. Ini disebabkan salah faham komunikasi. Semalam pagi Khamis 2 November, tinggal 9 hari sebelum acara baru mendapat kepastian. Rupa-rupanya bagi pihak pemilik tempat yang merupakan penganjur utama keseluruhan majlis bila dah sebut 11 November tu kira dah tetaplah. Tak perlu diulang sebut banyak lagi.
Mungkin saya yang terlebih risau kerana merasakan tidak menerima maklum balas jelas. Sedangkan saya harus memberikan kepastian kepada pihak-pihak yang diminta membentang secara sukarela. Harus ditegaskan, mereka ini nama-nama besar dalam bidang masing-masing. Saya sebagai penganjur kerdil tanpa bajet sendiri mengharapkan mereka dapat bersama secara sukarela. Ada rasa serba salah bagaimana hendak memastikan keterlibatan mereka sedangkan saya sendiri pun tertanya-tanya tentang majlis.
1. Pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir
2. Tokoh pejuang bahasa Melayu, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan
3. Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Prof Dato' Dr Ahmad Murad Merican
OK. Tentang perubahan tarikh dari 21 Oktober ke 11 November itu saya sebenarnya terus memberitahu semua yang terlibat sebaik sahaja dibuat perubahan. Tetapi selepas itu lama tidak menyatakan apa-apa kepada mereka. Ini kerana belum mendapat maklum balas bagaimanakah cadangan atur cara majlis apabila diletakkan di bawah aturan dan nama Anjung Tradisi.
Untuk pengetahuan acara tersebut telah diadakan oleh Sarang Art Hub sebanyak 3 kali. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel
Acara ke-23 di Sarang Art Hub kurang 3 bulan lagi insyaallah yang dipersembahkan1 Ogos. Ia sebenarnya banyak menyerupai format acara HIKMAH. Bezanya ia melebihkan persembahan budaya, tidak perkongsian/pembentangan ilmu.
Dalam keadaan masih tertanya-tanya itulah terserempak dengan Prof Awang Sariyan dalam satu majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) sekitar setengah bulan lalu. Beliau pun bertanya jadi ke majlis 11 November? Saya cuma mampu tersenyum lalu menjawab, insyaallah jadi. Tetapi saya sebenarnya masih menunggu maklum balas daripada pihak Sarang sedangkan mereka sibuk dengan urusan penggambaran drama di satu bahagian Perak sehingga hujung bulan.
Beberapa hari kemudian Awang memberitahu harus menghadiri majlis lain di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada jam 2 petang tarikh sama lalu mencadangkan agar slot beliau dialih ke waktu pagi. Tidak lama selepas itu beliau menyatakan elok ditukar tarikh supaya tidak terkejar-kejar...
Semalam pagi Khamis baru mendapat kepastian daripada pihak Sarang atur cara tentatif keseluruhan majlis. Ia tetap mahu dilangsungkan pada 11 November, cuma diawalkan bermula jam 9 pagi. Permulaan awal tercetus disebabkan Awang menyatakan harus ke DBP bagi acara di sana sebelah petang. Tetapi beliau kemudian nampak tidak dapat bersama kerana tidak mahu terkejar-kejar.
Saya faham keadaan walau beliau tidak menyatakan. Rumahnya di Taman Melawati bukan dekat dengan Sarang Art Hub di Tanjung Malim. Kemudian harus ke DBP di selatan pusat bandar raya Kuala Lumpur. Penat dan terkejar itu bukan sekadar kerana harus memandu ke sana ke mari tetapi juga menyediakan bahan-bahan yang akan disampaikan.
Pada saya, seorang bereputasi besar seperti beliau yang juga menjadi Senator/ahli Dewan Negara Malaysia sudi untuk membentang secara sukarela walaupun kemudian tak jadi pun sudah cukup baik. Saya sedar diri sendiri bukan sesiapa. Tetapi beliau tetap sudi melayan lalu mempertimbangkan perkara.
Sebetulnya sejak awal berlaku pertukaran tarikh seorang lagi pembentang iaitu Dato' Sharifah Fatimah menyatakan tidak dapat bersama. Ini kerana beliau ada perjumpaan besar keluarga pada 11 hingga 13 November. Orang seperti beliau yang mana setiap lukisannya biasa dijual pada harga RM60,000 sehingga RM100,000 bukan senang untuk didapatkan untuk berkongsi ilmu secara sukarela. Saya pun bersedia dengan satu kemungkinan. Cuma masih berharap kot-kot perjumpaan keluarga diubah ke tarikh lain.
Sayangnya, apabila dihubungi lagi semalam ternyata beliau tidak dapat bersama. Nasib baik selepas Maghrib seorang lagi pembentang iaitu Prof Dato' Dr Ahmad Murad Merican memberikan kepastian dapat menyertai. Dengan adanya beliau dapatlah dikekalkan sedikit aliran pemikiran yang dicadangkan bagi keseluruhan sesi. Ia asalnya adalah seperti berikut :-
1. Konsep "Antara Tradisi dan Kemodenan" yang merupakan tema acara HIKMAH kali ini dikupas daripada sudut visual melalu pembentangan Sharifah Fatimah sebagai seorang pelukis tahap tertinggi di Malaysia, juga dikenali di peringkat antarabangsa. Sejak beberapa tahun beliau lebih berminat membuat lukisan abstrak. Hal pemikiran abstrak inilah mahu dikupas dengan saya sebagai moderator/pemudah cara.
2. Konsep sama dikupas melalui pemahaman bahasa oleh Awang yang memang sudah dikenali ramai, sekurang-kurangnya dalam dunia intelektual, sebagai pejuang bahasa Melayu. Rasanya dalam sedekad kebelakangan ini beliau pejuang bahasa paling terkehadapan di Malaysia, pernah meneraju ATMA (Institut Tamadun Alam Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), kemudian DBP sebagai Ketua Pengarah seterusnya Pengerusi Lembaga Pengelola.
3. Aliran pemikiran disambung dengan kupasan berdasarkan kajian sejarah oleh Murad Merica, dahulu pensyarah kanan dalam bidang berkaitan di USM (Universiti Sains Malaysia), Pulau Pinang, kini menerajui bahagian Alam Melayu di ISTAC, Kuala Lumpur. Beliau paling dikenali ramai kerana lantang menyuarakan kedudukan silam Pulau Pinang sebagai satu penempatan Melayu yang telah wujud sebelum "ditemui" oleh pedagang British, Francis Light pada tahun 1786.
4. Kemudian baru saya sebagai pembentang terakhir membawa perspektif sejarah yang lebih relevan dengan bumi Perak (Sarang Art terletak di selatan Perak). Ini adalah berdasarkan kisah ketokohan moyang kepada datuk saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Beliau merupakan salah seorang pembesar Perak yang menandatangani Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874. Tetapi kemudian berjuang untuk menghalau British keluar. Kerana perlaksanaan perjanjian dilihat telah menyimpang jauh daripada apa yang orang Melayu faham dan persetujui sejak awal.

Apa yang hendak dikongsikan adalah serupa dengan apa yang telah dibentangkan dalam satu majlis gilang gemilang di Ipoh pada 19 Oktober lalu. Lihat artikel
Misi hartanah dan wacana Laksamana - Akhirnya terlaksana rancangan lebih 3 bulan lalu. Cuma harus ada lagi maklumat ditambah. Sebagai peneraju HIKMAH lalu bertanggungjawab atas keseluruhan pengisian ilmu pula saya harus memikirkan bagaimanakah aliran pemikiran daripada mula sesi sampai selesai boleh menerbitkan kesedaran yang bermakna buat anak Melayu. Itu yang disebut rancangan aturan pemikiran seperti di atas.
Dengan tiadanya penyertaan Awang, aspek bahasa tidak dapatlah dikupas. Namun walaupun Sharifah Fatimah juga tidak dapat bersama, masih boleh dibentangkan slaid yang dibuat menggunakan gambar-gambar lukisan yang saya ambil sendiri di rumah beliau hampir 2 bulan lalu. Cuma dahulu pembentangan mahu dibuat secara temu ramah antara saya sebagai moderator dengan Sharifah. Kemudian apabila dapat tahu beliau tidak dapat hadir cukuplah mengulas sedikit berdasarkan apa yang saya faham tentang lukisan dan diri beliau, sebelum diteruskan dengan pembentangan lain.
Malam tadi muncul idea yang lebih bernas. Format temu ramah boleh diteruskan dengan meminta pensyarah seni di UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), Prof Madya Dr. Dzahuri Khairani mengulas lukisan-lukisan Fatimah. Ini kerana lukisan abstrak adalah tentang menggambarkan rasa seorang pelukis terhadap satu subjek tanpa perlu melukis rupa bentuk sebenar suatu subjek.
Misalnya sedapnya makan epal tanpa menunjukkan orang makan epal. Malah tiada serupa orang mahupun apel dalam lukisan. Setiap orang boleh memberi penafsiran lain terhadap lukisan. Tetapi faham saya, kalau pelukis itu berjaya menyatakan rasanya dengan tepat, maka orang yang cukup mahir dapat mengulas apakah rasa yang pelukis cuba terjemahkan ke atas kanvas itu.
Dzahuri yang merupakan ahli jawatankuasa Anak Seni Sarang lalu terlibat dalam penganjuran acara keseluruhan Anjung Tradisi pun bersetuju. Dengan ini cukuplah luahan rasa saya tentang perkara. Insyaallah jumpa kita di Sarang 11 November :]
No comments:
Post a Comment