Saturday, December 13, 2025

Samudera Pasai : Pusat kekhalifahan di Alam Melayu abad ke-13 hingga ke-15 Masihi

Penulisan berikut baru dipersembahkan dalam CATATAN SI MERAH SILU kurang setengah jam lalu. Memandangkan ia turut terkait malah video berkenaan sendiri dibuat atas nama HIKMAH biar dikongsikan lalu dijadikan artikel ke-434 di sini.

-------------

Merujuk pada artikel Manifestasi kemaruk senarai panjat bukit dan gunung yang dipersembahkan pada Rabu 5 November iaitu lebih sebulan lalu. Ada dinyatakan bahawa pada petang Ahad 2 November ada membuat podcast dalam keadaan sakit tekak, lepas Isyak malam sebelumnya tak boleh keluar suara. Nasib baik dapatlah keluar cukup untuk podcast. Selepas itu shutdown balik. Sekarang sukacita dimaklumkan pagi tadi baru hasilnya dikeluarkan untuk siaran umum. Ini video podcast.



Tajuknya "Samudera Pasai : Pusat Kekhalifahan di Alam Melayu Abad ke-13 Hingga ke-15 Masihi" harus dapat menggambarkan satu perkara yang sangat besar. Sedikit sebanyak ia mengulang  suatu hal yang tercetus dalam fikiran 11 tahun lalu. Lihat artikel lama  Kekhalifahan raja-raja Melayu dan dinar emas Melaka yang hilang. Tapi ada lebih banyak tambahan apabila dikaitkan dengan jatuh bangun beberapa kerajaan Islam juga kerajaan Melayu. Sila tonton dan fahamkan.


Thursday, November 13, 2025

Dah 13 tahun HIKMAH rupanya

Salam malam Jumaat. Ada perkongsian ringkas sementara tarikh masih 13/11/2025. Selepas ini mahu berkejar ke satu majlis.



Petang tadi ketika sibuk mengemas barangan di rumah isteri mengambil satu daripada beberapa pakej duit dirham yang ada lalu terambil yang ini. Ada nombor 131 yang membawa makna home sweet home, rumahku syurgaku buat kami. Isteri pun meletakkan gambar di Facebook berserta teks berkenaan. Dinyatakan bahawa :


Kebetulan hari ini 13/11.
Hampir 13 tahun kami menjayakan HIKMAH.
Sekarang meraikan sahabat-sahabat yang membuat acara.


Saya pun tergerak untuk menyemak bilakah kali pertama dibuat acara HIKMAH. Rupa-rupanya sudah 13 tahun 9 hari. Timbul rasa untuk membuat artikel kecil ini. Sebagai pengisian biar diletakkan pautan bagi setiap acara sehingga kali terakhir dilaksanakan 2 tahun lalu.




















Tuesday, November 11, 2025

Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025

Salam. Baru hendak mengemaskini lagi blogspot ini, setelah artikel terakhir Refleksi Konsert Gema Sufi 2025 dipersembahkan hampir 4 bulan lalu.



Hampir tengah hari Ahad 9 November 2025 saya dan isteri sampai ke Muzium Negara untuk mengikuti satu majlis.




Ramai sudah berada di majlis. Ia telah bermula sejak jam 8.30 pagi.




Poster bagi majlis. Ia adalah tentang persilatan Melayu.




Yang menarik bagi saya, ada pembentangan-pembentangan akademik tentang silat. Begini senarainya :-


Pembentang 1 - Profesor Emeritus Dr Shahidan Radiman dari Pusat Penyelidikan Teknologi Nuklear UKM Quantum - Movement in Silat : From Physical Energy to Spiritual Resonance

Pembentang 2 - Cikgu Mohd Rosyidi bin Che Don - Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Warisan Kraftangan Utara Keris Kedah: Simbol Kuasa, Identiti Dan Penyatuan Watan

Pembentang 3 - Dr Richard Peter Bailey Senior, Professor, Social Sciences and Liberal Arts, UCSI - Benefits of Traditional Martial Arts: Findings from a Decade of Research – Matra Silat: Seni, Sains, Spiritual

Pembentang 4 - Tuan Shukri bin Janudin Pengkaji, penulis dan penceramah bebas - Sejarah dan Tamadun Kedah Tua, Seni Silat Cekak Malaysia dan Jurai Keturunan Wan Evolusi Dan Proses Perkembangan Ilmu Persilatan Seni Silat Cekak di Malaysia Sejak Abad Ke 18 Hingga 2025


Pembentang 5 - Tuan Ahmad Basri bin Hashim Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan  - Silat sebagai Wadah Penyatuan dan Jatidiri Melayu di Pantai Timur

Pembentang 6 - Dr Emily Hsu Wen Yuan dari National Taiwan Museum - Documentation and Conservation of Cultural Artifacts for the Benefit of the Future Generation

Pembentang 7 - Al-Fadhil Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin, Pengerusi Yayasan Al-Amin - Seni Silat dan Jati Diri Watan


Setiap pembentangan diselang-selikan dengan persembahan silat.




Sambil itu ada persembahan silat yang berjalan secara terus menerus.




Ini diadakan di dataran muzium...




Sementara pembentangan yang diselangselikan persembahan silat diadakan di auditorium bawah...










Kami sampai sempat untuk mengikuti pembentangan kedua. Selain terlepas pembentangan pertama kerana ada hal di Shah Alam terlepas juga ucapan pembukaan oleh Presiden DSSM (Dunia Seni Silat Melayu Malaysia), Tuan Roslim Abu, perasmian oleh Ketua Pengarah JMM (Jabatan Muzium Malaysia), Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim dan ucaptama oleh Senator Profesor Emeritus Datuk Dr Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara dan Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu UiTM.










Naik ke dataran untuk mengikuti persembahan silat belah sana.







Alhamdulillah sangat meriah. Dapat bertemu ramai kawan dan kenalan termasuk sejumlah penggerak awal aktivisma silat dan warisan.




Kembali mengikuti pembentangan di auditorium...










Secara rata format keseluruhan termasuk atur letak penggunaan ruang bagi pelbagai komponen majlis adalah serupa seperti pernah pihak saya dan isteri anjurkan bersama kawan-kawan di Muzium Negara 9 tahun lebih awal. Lihat Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016.






Cuma yang ini lebih meriah dan lebih banyak penyertaan.






Ada persembahan syair oleh tuan Zahamri Nizar.



Ada penampilan khas oleh tuan guru Ruzaidi Abdul Rahman menunjukkan aplikasi tapak empat silat dalam menghadapi pelbagai penjuru serangan dan kemungkinan. Untuk lebih banyak gambar sekitar majlis boleh buat carian "Konvesyen silat" di Facebook.


Monday, July 28, 2025

Refleksi Konsert Gema Sufi 2025

Salam. Hampir setahun tidak mengemaskini blogspot HIKMAH. Ini ada sesuatu yang kena mengena.



Beberapa hari lalu isteri memanjangkan poster-poster ini melalui Facebook lalu memberitahu kami telah diundang untuk menghadiri acara berkenaan sebagai tetamu istimewa.




Menarik nampaknya acara. Cuma malam itu saya sudah memberikan komitmen mahu menghadiri majlis zikir tertutup di Petaling Jaya. Esoknya Ahad pula sibuk dengan anak-anak outing dari asrama tahfiz sepanjang hari.



Pun begitu terasa rugi kalau tak pergi. Sedangkan undangan adalah penghargaan terhadap kehadiran kami. 




Setelah difikirkan masak-masak saya pun menyatakan komitmen akan hadir. Cuma datang lewat sedikit kerana sesi zikir berkenaan cuma selesai hampir masuk waktu Isyak.  Sampai sahaja ke lokasi di Bandar Saujana Putra saya ditunjuk masuk  hingga ke tempat duduk hampir ke hadapan.




Adapun saya sampai di luar dewan sejurus selepas jam 9.15. Ambil sedikit masa untuk melengkapkan pemakaian busana tradisional  Melayu penuh bertanjak berkeris dan sebagainya lalu masuk ke dewan jam 9.20.




Kalau dapat sampai jam 9 seperti diminta penganjur tentu dapat duduk di barisan paling hadapan. Isteri sudah pergi lebih awal menumpang kereta orang lalu duduk bersama tetamu khas belah perempuan.




Namun memang tak boleh nak dikejar. Ketika bahagian akhir zikir tertutup di Petaling Jaya selesai lalu hadirin bertafakur senyap saya melihat telefon pintar menunjukkan sudah jam 8.42 malam.




Saya meninggalkan majlis zikir dalam keadaan ia belum betul-betul selesai sebenarnya. Untuk ke lokasi majlis seterusnya ini tidak kurang setengah jam perjalanan.




Sampai di satu kawasan tol pula ada kereta tersangkut di laluan RFID. Nasib baik masih sempat sampai ke dewan sekitar jam 9.15 seperti diberitahu kepada penganjur. 




Gambar ini diambil jam 10.41. Selepas keluar dewan sejenak untuk ke bilik air.




Sedikit tentang pihak penganjur. Peneraju utama adalah Walid Ibrahim Al-Malik, seorang guru Tasawuf yang mempunyai ramai pengikut di seluruh negara.




Saya telah menghadiri beberapa acara anjuran beliau. Ada yang telah dikongsikan cerita dalam blogspot HIKMAH. Lihat artikel-artikel berikut









Bila sudah dicari artikel-artikel lama lalu diatur seperti tadi baru tersedar sudah hampir 2 tahun tidak menyertai majlis anjuran Walid.




Dan saya dan isteri sebenarnya sudah lebih setahun tidak aktif menyertai apa-apa majlis sebegitu rupa, termasuk dalam dunia persilatan dan aktivisma peradaban Melayu.




Itulah sebabnya blogspot ini sudah lama tidak dikemaskinikan. Kerana sudah lama tidak melakukan atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikatakan terkait dengan keberadaan HIKMAH. Maksudnya aktiviti yang ada melibatkan kumpulan-kumpulan berkenaan, dalam kapasiti perjuangan, bukan kapasiti persendirian seperti rajin dikongsikan dalam blogspot utama saya CATATAN SI MERAH SILU.




Kali terakhir melibatkan diri dengan sesuatu yang terasa sesuai dikongsikan di sini terbitlah  artikel Malam Ekpresi Malaya Merdeka di bangunan Majlis Perundingan Melayu pada 31 Ogos 2024.




Kali terakhir saya sendiri menganjurkan majlis pula adalah pada penghujung tahun sebelumnya. Lihat Acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub, Tanjung Malim 11 November 2023.




Menghadiri majlis terbaru iaitu Konsert Gema Sufi, mungkin yang pertama sebegitu rupa sekurang-kurangnya di Malaysia mengingatkan diri tidak boleh lari daripada perjuangan.




Yang dapat cuma mengasingkan diri buat sementara. 




Macam sekarang ni, alasannya adalah untuk memberikan tumpuan pada pengajian PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Tetapi itupun cuma sementara sahaja. Sesungguhnya yang mengalir dalam diri ini adalah darah perjuangan keturunan turun temurun sejak zaman berzaman.




Oh. Beginilah saya berpakaian ke majlis.




Kali terakhir berbusana penuh tradisional Melayu saya bahkan memakai sepersalinan yang sama tetapi untuk majlis melibatkan bacaan Al Quran di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Lihat artikel QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf di blogspot CATATAN SI MERAH SILU diikuti Kehadiran berbusana tradisional penuh di QuranHour - Dah lebih 3 bulan baru sedar ada dalam akhbar.




Walaupun itu tetap melibatkan perjuangan ia adalah dalam kapasiti persendirian. Walaupun sebenarnya ada ruang dalam institusi iaitu UIAM untuk memanjangkan perkara terutama setelah guru saya di ISTAC merangkap penyelia tesis Sarjana Muda (Masters),  sekarang penyelia PhD, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menjadi Rektor UIAM saya merasakan belum sampai masa untuk menggunakan laluan itu. Saya sedar penampilan diri suka berambut panjang dan bertanjak masih dipandang pelik ramai di universiti. Ia bukan penampilan yang biasa dikaitkan dengan kecendekiawanan.




Tentang majlis yang merupakan konsert lagu-lagu kesufian hasil tulisan Walid ini sendiri cukuplah dikatakan sangat menarik.






Kalam yang keluar untuk penulisan ini lebih pada refleksi diri dan keadaaan semasa setelah menghadiri, kalam tentang rasa selepas lama tidak menghadiri acara-acara sebegini.




Menarik apabila terjumpa ramai rakan seperjuangan yang sudah lama tidak ditemui.




Bergambar bersama Walid di tengah.




Sempatlah berbual sedikit bertukar khabar berita.




Bersama Senator Profesor Emeritus Datuk Dr Awang Sariyan yang sudah lebih 2 tahun juga tidak ditemui. Beliau yang pernah menjadi pensyarah saya di ISTAC pernah melancarkan buku ke-13 saya di rumah tahun 2019. Lihat Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu.




Bersama penulis dan aktivis Tun Suzana yang saya dan isteri panggil mesra sebagai Kak Nana. Beliau pun sudah bertahun tidak kami temui.



Sesungguhnya konsert ini bukan sekadar menggemakan laungan dan semangat.







Ia turut menggemakan panggilan leluhur yang meminta supaya menguatkan lagi tali silaturrahim demi perjuangan akhir zaman.