Salam. Hampir setahun tidak mengemaskini blogspot HIKMAH. Ini ada sesuatu yang kena mengena.
Beberapa hari lalu isteri memanjangkan poster-poster ini melalui Facebook lalu memberitahu kami telah diundang untuk menghadiri acara berkenaan sebagai tetamu istimewa.
Menarik nampaknya acara. Cuma malam itu saya sudah memberikan komitmen mahu menghadiri majlis zikir tertutup di Petaling Jaya. Esoknya Ahad pula sibuk dengan anak-anak outing dari asrama tahfiz sepanjang hari.
Pun begitu terasa rugi kalau tak pergi. Sedangkan undangan adalah penghargaan terhadap kehadiran kami.
Setelah difikirkan masak-masak saya pun menyatakan komitmen akan hadir. Cuma datang lewat sedikit kerana sesi zikir berkenaan cuma selesai hampir masuk waktu Isyak. Sampai sahaja ke lokasi di Bandar Saujana Putra saya ditunjuk masuk hingga ke tempat duduk hampir ke hadapan.
Adapun saya sampai di luar dewan sejurus selepas jam 9.15. Ambil sedikit masa untuk melengkapkan pemakaian busana tradisional Melayu penuh bertanjak berkeris dan sebagainya lalu masuk ke dewan jam 9.20.
Kalau dapat sampai jam 9 seperti diminta penganjur tentu dapat duduk di barisan paling hadapan. Isteri sudah pergi lebih awal menumpang kereta orang lalu duduk bersama tetamu khas belah perempuan.
Namun memang tak boleh nak dikejar. Ketika bahagian akhir zikir tertutup di Petaling Jaya selesai lalu hadirin bertafakur senyap saya melihat telefon pintar menunjukkan sudah jam 8.42 malam.
Saya meninggalkan majlis zikir dalam keadaan ia belum betul-betul selesai sebenarnya. Untuk ke lokasi majlis seterusnya ini tidak kurang setengah jam perjalanan.
Sampai di satu kawasan tol pula ada kereta tersangkut di laluan RFID. Nasib baik masih sempat sampai ke dewan sekitar jam 9.15 seperti diberitahu kepada penganjur.
Gambar ini diambil jam 10.41. Selepas keluar dewan sejenak untuk ke bilik air.
Sedikit tentang pihak penganjur. Peneraju utama adalah Walid Ibrahim Al-Malik, seorang guru Tasawuf yang mempunyai ramai pengikut di seluruh negara.
Saya telah menghadiri beberapa acara anjuran beliau. Ada yang telah dikongsikan cerita dalam blogspot HIKMAH. Lihat artikel-artikel berikut
Bila sudah dicari artikel-artikel lama lalu diatur seperti tadi baru tersedar sudah hampir 2 tahun tidak menyertai majlis anjuran Walid.
Dan saya dan isteri sebenarnya sudah lebih setahun tidak aktif menyertai apa-apa majlis sebegitu rupa, termasuk dalam dunia persilatan dan aktivisma peradaban Melayu.
Itulah sebabnya
blogspot ini sudah lama tidak dikemaskinikan. Kerana sudah lama tidak melakukan atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikatakan terkait dengan keberadaan HIKMAH. Maksudnya aktiviti yang ada melibatkan kumpulan-kumpulan berkenaan, dalam kapasiti perjuangan, bukan kapasiti persendirian seperti rajin dikongsikan dalam blogspot utama saya
CATATAN SI MERAH SILU.
Menghadiri majlis terbaru iaitu Konsert Gema Sufi, mungkin yang pertama sebegitu rupa sekurang-kurangnya di Malaysia mengingatkan diri tidak boleh lari daripada perjuangan.
Yang dapat cuma mengasingkan diri buat sementara.
Macam sekarang ni, alasannya adalah untuk memberikan tumpuan pada pengajian PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).
Tetapi itupun cuma sementara sahaja. Sesungguhnya yang mengalir dalam diri ini adalah darah perjuangan keturunan turun temurun sejak zaman berzaman.
Oh. Beginilah saya berpakaian ke majlis.
Walaupun itu tetap melibatkan perjuangan ia adalah dalam kapasiti persendirian. Walaupun sebenarnya ada ruang dalam institusi iaitu UIAM untuk memanjangkan perkara terutama setelah guru saya di ISTAC merangkap penyelia tesis Sarjana Muda (Masters), sekarang penyelia PhD, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menjadi Rektor UIAM saya merasakan belum sampai masa untuk menggunakan laluan itu. Saya sedar penampilan diri suka berambut panjang dan bertanjak masih dipandang pelik ramai di universiti. Ia bukan penampilan yang biasa dikaitkan dengan kecendekiawanan.
Tentang majlis yang merupakan konsert lagu-lagu kesufian hasil tulisan Walid ini sendiri cukuplah dikatakan sangat menarik.
Kalam yang keluar untuk penulisan ini lebih pada refleksi diri dan keadaaan semasa setelah menghadiri, kalam tentang rasa selepas lama tidak menghadiri acara-acara sebegini.
Menarik apabila terjumpa ramai rakan seperjuangan yang sudah lama tidak ditemui.
Bergambar bersama Walid di tengah.
Sempatlah berbual sedikit bertukar khabar berita.
Bersama Senator Profesor Emeritus Datuk Dr Awang Sariyan yang sudah lebih 2 tahun juga tidak ditemui. Beliau yang pernah menjadi pensyarah saya di ISTAC pernah melancarkan buku ke-13 saya di rumah tahun 2019. Lihat
Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu.
Bersama penulis dan aktivis Tun Suzana yang saya dan isteri panggil mesra sebagai Kak Nana. Beliau pun sudah bertahun tidak kami temui.
Sesungguhnya konsert ini bukan sekadar menggemakan laungan dan semangat.
Ia turut menggemakan panggilan leluhur yang meminta supaya menguatkan lagi tali silaturrahim demi perjuangan akhir zaman.
No comments:
Post a Comment