Saturday, November 15, 2014

HIKMAH 8 Nov - Faktor 313 yang muncul tak disangka

Setelah beberapa lama masuklah kita kepada bahagian terakhir acara. Bersambung dari HIKMAH Pagoh 8 Nov - Kaitan Aceh-Muar dan visi kerajaan Islam ideal.



Sekitar jam 4.50, setelah dirasakan hadiran mendapat cukup rehat untuk solat Asar dan minum petang sesi berkumpulan menurut minat pun dimulakan. Ia adalah sesi atau mungkin lebih tepat, bengkel di mana peserta boleh menyertai satu daripada 10 kumpulan berikut :-


                        1. Perkerisan dan Persenjataan

                        2. Perubatan dan Pemakanan

                        3. Persilatan dan Siasah Perang

                        4. Busana Tradisional Melayu 

                        5. Kebudayaan,Tarian dan Wayang

                        6. Seni Ukiran/Khat 

                        7. Kitab/Buku/Sastera 

                        8. Keagamaan 

                        9. Keluarga dan Salasilah 

                        10. Ketamadunan dan Kerajaan


Setelah memberi taklimat bagaimana sesi harus dilaksanakan saya pun menyerahkan tugasan kepada moderator-moderator yang akan memimpin setiap kumpulan. Mereka adalah orang-orang yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang. Dengan itu peserta boleh bertanya tentang perkara yang menarik minat lalu berbual panjang. Sambil itu moderator harus memastikan bahawa setiap kumpulan dapat memberikan maklum balas yang terarah menurut tajuk. Kali ini ia berbunyi “Mengangkat kembali kegemilangan Melayu Islam melalui contoh yang ditinggalkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah, wali Allah yang terpilih”.



Setiap kumpulan boleh memilih mana-mana tempat untuk berbincang atau mendapatkan maklum balas. Kelihatan di sini kumpulan "Keluarga dan Salasilah" bersidang di hadapan pintu masuk utama dewan solat, dipimpin oleh saudara Megat Iskandar daripada Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia.



Taklimat saya telah diberikan dari bawah khemah putih sebelah makam Sultan Alauddin Riayat Shah. Menghadap khemah iaitu di serambi kiri masjid ada 3 buah kumpulan...




Kumpulan "Seni Ukiran, Tulisan & Khat" dipimpin oleh penggiat seni khat dan ahli PENGUKIR (Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia), saudara Zahamri Nizar.






Kumpulan Keagamaan dipimpin oleh Ustaz Halim dari Khazanah Fathaniyah, satu badan dakwah yang rajin menerbitkan kitab-kitab menonjolkan hasil kerja ulamak-ulamak silam Alam Melayu.






Kumpulan "Perubatan dan Pemakanan" pula dipimpin oleh Ustaz Mahyuddin daripada Anjung Hikmah. Ia adalah satu badan perubatan alternatif yang kebetulan namanya kelihatan seperti cawangan HIKMAH.






Setentang dengan pintu masjid iaitu di bawah kawasan berbumbung yang dijadikan tempat makan, 3 lagi kumpulan bersidang.



Kumpulan "Ketamadunan dan Kerajaan" dipimpin perunding dan penggiat dinar dirham, Puan Norbaini Hassan.



Kumpulan "Kitab/Buku/Sastera" dipimpin puan Tun Suzana Othman yang terkenal dengan buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu". Selain itu beliau menerajui NGO bernama KEMUDI (Kesedaran Melayu Dan Islam).



Kumpulan  "Busana Tradisional Melayu" dipimpin saudara Kamal yang menerajui NGO aktivis bernama Armada Malaiu.



Gambar dari satu sisi. Sepatutnya saya mengambil gambar dari bawah khemah putih sebelah makam di mana saya telah memberikan taklimat. Ini kerana perkumpulan yang ada membentuk formasi menarik 3-1-3. Dari situ saya dapat melihat 3 kumpulan ke kiri (di serambi kiri masjid), 1 kumpulan di hadapan (dekat luar pintu utama masjid) dan 3 kumpulan ke kanan (di bawah bumbung yang kelihatan ini). Sesungguhnya 313 adalah nombor yang memiliki banyak signifikan, Paling sering diingati orang adalah 313 ahli tentera Badar yang dapat mengalahkan lebih 1,000 tentera jahiliah Mekah yang bukan sahaja lebih ramai malah jauh lebih lengkap bersenjata, dalam peristiwa Perang Badar di mana hidup mati dakwah Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan agama Islam menjadi pertaruhan.

Kenapa formasi ini boleh berlaku sedangkan ada 10 kumpulan kesemuanya telah disenaraikan menurut minat? Ini kerana dalam kalangan mereka yang datang dan masih bersama untuk sesi, saya tidak dapat menemukan orang yang dirasakan cukup layak untuk menerajui 3  kumpulan - "Perkerisan dan Persenjataan", "Persilatan dan Siasah Perang" juga "Kebudayaan,Tarian dan Wayang". Siapa sangka 7 kumpulan yang memiliki moderator berkelayakan boleh membentuk formasi 3-1-3 tadi. Ia bukan diatur oleh saya, mereka sendiri memilih untuk bersidang di tempat pilihan.

Sungguh, segala ini adalah takdir Allah yang penuh makna, tiada yang sia-sia. Adapun pada acara HIKMAH sebelum ini, acara ke-10 iaitu di Aceh 9 bulan lalu tidak diadakan sesi berkumpulan kerana waktu petang digunakan untuk melihat tempat-tempat menarik di sekitar Banda Aceh. Lihat Acara kesepuluh HIKMAH di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014. Maka itu kali terakhir sesi berkumpulan diadakan adalah pada acara sebelumnya iaitu di Pulau Pinang. Lihat Acara kesembilan HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014. Dari acara itu ada baki 3 batang pen yang belum digunakan, Maka malam sebelum acara di Pagoh saya membeli 7 batang pen untuk mencukupkan 10 sebagai persediaan untuk sesi berkumpulan. Siapa sangka sampai masa nanti cuma 7 batang diperlukan disebabkan tiada moderator sesuai untuk 3 kumpulan? Lalu 7 batang pen baru itulah yang diserahkan kepada moderator, 3 batang pen baki dari sesi di Pulau Pinang masih tersimpan kemas dalam balutan.



Sekitar jam 5,.40 perbincangan dihentikan untuk memberi laluan kepada moderator atau wakil setiap kumpulan merumuskan maklum balas. Tun Suzana daripada kumpulan "Kitab/Buku/Sastera" menjadi orang pertama tampil ke hadapan. Cukuplah disebut beliau menyarankan agar kitab-kitab lama Tasawuf kembali dijadikan rujukan di sekolah seperti pernah berlaku suatu masa dahulu.



OK. Saya setakat memberikan laporan ringkas apa yang berlaku setakat boleh ingat ya, Kalau salah tolong betulkan. Yang ini saudara Rahmat mewakili kumpulan "Keagamaan". Penekanan terhadap peningkatan kefahaman agama yang betul adalah perkara pokok dalam mendaulatkan agama Islam.



Puan Norbaini merumuskan maklum balas kumpulan "Ketamadunan dan Kerajaan". Beliau menekankan aspek ekonomi dan kewangan agar dijalankan kembali menurut syariat Islam.



Tuan Kamal daripada kumpulan "Busana Tradisional Melayu" pula lebih pandai mencuri perhatian. Menggunakan dua orang ahli Armada Malaiu sebagai model, beliau menyarankan busana tradisional dijadikan pakaian harian.



Bijaknya beliau mencuri perhatian sehingga ramai dilihat bangun mengambil tempat lebih sesuai untuk mendengar..









Moderator seterusnya bangkit ke hadapan adalah saudara Zahamri daripada kumpulan "Seni Ukiran/Khat". Beliau menyarankan agar tulisan Jawi diangkat, antaranya dengan mengadakan satu acara HIKMAH versi Jawi.



Saudara Megat Terawis daripada kumpulan "Keluarga dan Salasilah" menyebut kepentingan salasilah dalam membentuk jati diri juga menjalinkan ukhuwah.



Ustaz Mahyuddin daripada kumpulan "Perubatan dan Pemakanan" pula menekankan iktikad yang benar ketika merawat.



Sesi berkumpulan tamat sekitar 6.20. Selepas itu kami bergambar beramai-ramai di hadapan makam. Oh, satu lagi faktor 313 yang muncul dalam acara ke-11 HIKMAH ini datang daripada penyertaan Khazanah Fathaniyah mempamerkan koleksi buku-buku agama sambil membuat jualan. Saya diberitahu itu adalah penyertaan mereka yang ke-313 dalam mana-mana majlis sejak badan itu ditubuhkan, Sungguh ada sesuatu yang tersirat tentang ini semua Cukup.


No comments:

Post a Comment