Thursday, November 29, 2012

Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka



Sesi pembentangan petang selepas jam 3 dibuka dengan pembentangan oleh wakil dari Aceh, atau lebih tepat, NGO bernama MAPESA, Masyarakat Peduli Sejarah Aceh. 


MAPESA menghantar tiga orang wakil, dua daripadanya, saudara Mujiburrizal sebagai ketua (berpakaian tradisional Aceh seperti kelihatan pada gambar pertama) dan saudara Mawardi (kiri gambar atas) ditanggung kos penerbangannya oleh HIKMAH. Melalui sumbangan wang seorang sahabat lama saya yang kini menjadi profesor di Universiti Sains Malaysia (USM). 


Kalau ikut rancangan asal, sesi pembentangan petang mahu dimulakan jam 2.30. Mengikut keadaan semasa yang berlaku ketika itu pula saya mengumumkan agar sesi dimulakan 2.45 sejurus sebelum hadirin meninggalkan dewan untuk makan tengah hari dan solat Zuhur. Namun apa yang berlaku ialah saya lihat ramai masih berlegar-legar di luar termasuk di kantin selepas makan dan solat. Saya sendiri jadi terleka apabila seronok minum kopi dari sarapan pagi menggunakan ais dari makan tengah hari (air sirapnya habis cepat) lalu masuk dewan 15 minit lewat.


Wakil dari Aceh didatangkan khas dari sana kerana saya mahu memenuhi janji menolong pihak mereka untuk menyelamatkan sebuah tapak sejarah yang baru ditemui setahun dua, tapak pemerintahan kerajaan lama Lamuri daripada diratakan menjadi padang golf oleh pihak yang lebih memikirkan keuntungan material. Saya tidak ada wang untuk menolong, cuma ada sedikit kenalan di tempat tinggi yang saya pun tidak berapa suka untuk meminta apa-apa kerana tidak mahu terhutang budi, ditakuti nanti saya akan diminta membalas dengan membuat perkara yang melanggar prinsip hidup sendiri. Lalu apabila Allah melorongkan saya untuk mengasaskan HIKMAH saya nampak cara bagaimana masalah mereka boleh diangkat untuk perhatian dan khalayak yang lebih besar termasuk membuka mata orang-orang yang berkuasa.


Mereka ini asalnya 'ditempah' untuk bercakap pada acara sulung HIKMAH yang kemudian menjadi "Suai Kenal HIKMAH" 4 Nov. Rujuk balik artikel Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal.... Apabila kami menghadapi masalah penggunaan dewan ketika itu saya cepat-cepat menukarkan tarikh penerbangan mereka datang dari 2 Nov ke 23 Nov. Fikir saya kalau cepat menukar tak perlu buat bayaran tambahan. Rupa-rupanya kena bayar lebih RM400 juga!


Apapun ternyata persembahan wakil Aceh ini memang menarik. Untuk pengetahuan Mujib adalah seorang bekas anggota asal kumpulan nasyid terkenal Raihan. Selain bercerita tentang masalah Lamuri dan kerja-kerja sukarela yang dilakukan untuk melestarikan sejarah agama, bangsa dan negara, saudara Mujib turut mendendangkan "Syair Perahu" yang ditulis oleh pujangga dan ahli Tasawuf terkenal Aceh dan Alam Melayu abad ke 17 Masihi iaitu Sheikh Hamzah Fansuri.  


Beliau juga adalah seorang daripada survivor atau orang yang terselamat daripada serangan Tsunami 26 Disember 2004 yang meranapkan lalu membunuh sekitar 200,000 rakyat Aceh. Mujib turut berkongsi pengalaman bagaimana beliau dan sejumlah penduduk tempatan boleh terselamat dengan menaiki sebuah bot nelayan yang ditolak ombak ke arah mereka lalu tersangkut pada bumbung rumah. Lihat bahagian tengah artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Sekitar Banda Aceh.


OK. Pada "Suai Kenal HIKMAH", sesi petang dibuka oleh saudara Khairul Azhar yang bercerita tentang keris. Lihat artikel HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik! dan Dari keris sebagai lambang penyatuan membawa ke panji-panji hitam dari Timur. Apabila beliau menyatakan tidak dapat serta 25 Nov kerana ada hal lain saya pun meminta saudara Megat Iskandar seorang pengkaji salasilah daripada keturunan pahlawan terkenal Megat Terawis agar membentangkan kertas kerja tentang perkara kegemaran beliau. Sebenarnya beliau terlebih dahulu menawarkan begitu kalau ada kekosongan lalu terus bersetuju. Namun beberapa hari sebelum sampai masa acara beliau terpaksa menarik diri kerana mendapat arahan tiba-tiba daripada syarikatnya agar menjalankan tugasan di Jakarta.

Sebelum itu saudara Syukri Embong yang pernah membentangkan kertas kerja tentang kerajaan Srivijaya membawa ke Batu Bersurat Terengganu pada sesi petang "Suai Kenal HIKMAH" menyatakan tidak dapat ke Melaka kerana perlu melaksanakan beberapa kerja tertunda di tempatnya di Terengganu. Dengan itu sesi petang cuma tinggal saya dan saudara Zahamri (gambar atas) sebagai pembentang. Untuk makluman, wakil dari Aceh didatangkan bukan sebagai pembentang tetapi untuk berkongsi hal keadaan orang Melayu dan Islam di sana (bangsa Aceh masih lagi dikira orang Melayu menurut definisi kami di Malaysia). Penyertaan mereka sama halnya seperti Raja Syukri (rujuk Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari) yang asalnya datang ke acara HIKMAH untuk berkongsi hal orang Melayu di Pulau Bentan. Seorang lagi wakil luar negara adalah Tengku Syawal dari Singapura, keturunan Sultan Ali ibni Sultan Hussein, waris istana Kampung Gelam. Tetapi pagi itu saya mendapat panggilan daripada beliau menyebut rombongannya tersangkut di Pantai Timur akibat masalah kereta.


Apapun, selepas wakil Aceh bercerita hal mereka, sampailah giliran Zahamri untuk bercerita tentang motif pedang Zulfikar atau Zulfiqar di Alam Melayu. Untuk persembahan kali ini beliau memilih untuk bercerita banyak tentang kaitan Aceh.


Selepas itu sampai giliran saya bercerita tentang panji-panji hitam daripada timur. Tak perlulah dipanjangkan di sini. Nanti anda boleh melihatnya apabila saya ada kelapangan untuk memasukkan video. Di sini biar kita pergi terus ke sesi berkumpulan yang diadakan selepas solat Asar. Kelihatan dalam gambar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Latiff Tamby Chik memberi sedikit kata-kata aluan tentang acara.


Datuk Latiff dijadualkan merasmikan dan menutup acara selepas jam 5.30 petang tetapi datang setengah jam lebih awal untuk memaklumkan beliau harus berkejar untuk pengkebumian seorang rakan yang baru hari itu kembali ke rahmatullah. Kalau ikut jadual asal, sesi berkumpulan yang bermula jam 4.55 harus sudah selesai membuat beberapa rumusan yang kemudian akan diumumkan kepada beliau mengikut protokol majlis besar kerajaan negeri. Namun disebabkan keadaan beliau masuk dalam keadaan lebih santai, ketika peserta masih lagi duduk dalam berbagai posisi di merata sudut dewan.


Sebagai wakil kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam beliau sempat menyampaikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan wacana ini acara tahunan. Selepas itu beliau dibawa untuk melihat setiap kumpulan terutama untuk bertemu wakil-wakil dari luar negara.


Sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya harus turut mengiringi Datuk Latiff kembali ke keretanya. Ketika itulah beberapa pihak memohon agar dapat diambil gambar bersama.


Selepas itu, sesi berkumpulan diteruskan buat beberapa waktu sebelum acara ditutup dengan persembahan video dan silat oleh MAGMA Melaka. 


Asalnya ia dirancang mahu dibuat di hadapan Datuk Latiff.




Tetapi keadaan menyebabkan ia cuma dapat dipersembahkan di "kalangan kita-kita aje"... :]









1 comment: