Salam semua. Hari ini saya mahu bercerita tentang hari terakhir acara HIKMAH V. Bersambung dari HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari khilafah Uthmaniyah ke Tokku Paloh dan mushaf quran Terengganu.
Sabtu 8 Jun 2013 bersamaan 29 Rejab. Sampailah kita pada hari terakhir acara "HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu". Hari dibuka dengan persembahan silat oleh ahli persilatan Lian 12 dari Manir berdekatan bandar raya Kuala Terengganu kalau tak salah ingatan. Persembahan ini tiada dalam jadual asal tetapi diumumkan pada hari sebelumnya, apabila seorang hadirin tergerak untuk menaja. Ia juga menggantikan slot pembentangan bertajuk "Tradisi Gemilang : Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19" yang telah dialih ke petang Jumaat.
Hari itu saya berpakaian set sampin dan tanjak sama seperti yang pernah ditonjolkan pada acara ketiga HIKMAH di Lumut, Perak 27 Januari dan acara keempat di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac. Cuma kombinasi baju dan seluar sahaja lain dan kali ini kaki saya berbungkus sakit...
Selepas jam 10 baru dimulakan sesi pembentangan. Pensyarah dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Syed Lutfi bercakap tentang "Jejak dan Legasi Tokku Paloh dan Keluarga". Melihat koleksi gambar baru saya tersedar cuma mengambil satu sahaja gambar beliau iaitu yang ini. Saya juga baru sedar bahawa telah terlupa langsung untuk mengambil gambar sekitar pembentangan seterusnya, pembentangan bertajuk "Batu Bersurat Terengganu : Mesej untuk Umat Akhir Zaman" oleh En. Rashid, seorang pegawai kanan Muzium Negeri Terengganu.
Untuk pengetahuan Batu Bersurat Terengganu yang dikatakan ditulis tahun 1303 Masihi ada tersimpan di muzium tersebut. Seolah-olah dirancang, Dr Syed Lutfi yang bercakap tentang Tokku Paloh memiliki nasab keturunan terus ulamak bertaraf wali abad ke 19 itu dari belah ibu. Tapi nasab belah bapanya sampai kepada orang yang dikenali sebagai Sayyid Husin bin Ghulam Al-Bukhari, orang yang dikatakan menemui Batu Bersurat Terengganu sekitar tahun 1887, zaman Tokku Paloh.
Oleh kerana saya terlupa mengambil gambar sekitar pembentangan batu bersurat, biarlah gambar batu yang diambil tahun 2009 dalam Muzium Terengganu ini dijadikan hiasan. Rujuk artikel lama Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Menyelesaikan 'bil tertunggak' bagi sekitar Kuala Terengganu... di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Biar diberitahu ada yang menyangkakan orang yang menemui batu tersebut secara tidak sengaja di sebuah surau di Kuala Berang adalah berbangsa India kerana nama bapanya disebut sebagai Ghulam. Walhal ia cuma nama panggilan sedangkan orang yang dimaksudkan, Sayyid Husin adalah seorang saudagar Arab berketurunan Nabi Muhammad SAW, dari keluarga Al-Bukhari. Mungkin bapanya pernah singgah berdakwah di India lalu dipanggil Ghulam. Apapun batu itu telah dijadikan tempat alas kaki orang mengambil wudhuk sejak beberapa lama, Sayyid Husin menemuinya apabila tersedar ada tulisan jawi pada batu.
En. Rashid dari muzium menyebut beberapa aspek tentang batu bersurat seperti pernah dikemukakan sejumlah pengkaji. Menariknya beliau menambah sebenarnya apa yang disimpan pihak muzium cuma bahagian bawah. Bahagian atas yang lebih besar telah patah lalu hilang, tidak diketahui di mana. Katanya ia mungkin mengandungi sejumlah lagi peruntukan undang-undang syariah atau undang-undang Islam yang perlu dipatuhi rakyat di negeri Terengganu (sebelum bernama Terengganu agaknya) zaman itu. Namun ada pihak percaya ia mengandungi petunjuk tentang kebangkitan Islam akhir zaman dari bumi Timur.
Selepas rehat solat Zuhur dan makan tengah hari iaitu sekitar jam 3, sampailah masa untuk upacara perasmian HIKMAH V oleh pesuruhjaya agama negeri Terengganu, Dato' Haji Mohd Rozali bin Salleh. Perasmian itu merangkap penutup rasmi acara. Kata-kata aluan diberikan dahulu oleh ahli jawatan kuasa masjid. Kemudian baru pesuruhjaya memberikan kata-kata panjang lebar yang menjurus ke arah pelestarian adat Melayu bersama Islam.
Adalah menarik apabila beliau menyebut tentang pengstrukturan semula sistem pentadbiran agama negeri yang baru dibuat dalam masa terdekat, satu pendekatan yang sedang diperhatikan keberkesannya oleh badan-badan agama negeri lain. Menurut Dato' Rozali, jabatan agama negeri telah diserapkan ke dalam Majlis Agama Negeri sebagai badan tertinggi. Majlis agama pula diletak ke bawah Sultan, tidak lagi di bawah Menteri Besar seperti halnya sebelum ini. Ini adalah menurut satu resolusi terbaru yang diluluskan Majlis Raja-raja. Malah ahli politik tidak lagi dibenarkan memegang jawatan dalam badan agama. Ini dibuat agar badan agama tidak boleh sewenang-wenangnya dimanipulasikan oleh orang-orang politik. Maka badan agama tidak dapat dikacau apabila berlaku pertukaran kerajaan.
Perkara ini dibuat kerana sudah berlaku di sesetengah negeri badan-badan agama cuba dipengaruhi orang bukan Islam sedangkan orang Islam yang bertanggungjawab ke atas badan pula seperti mahu menjaga hati kawan bukan Islam kerana faktor pakatan politik. Sudah ada pihak cuba mendapat wang zakat untuk orang bukan Islam malah belanja dari kerajaan termasuk dari badan agama Islam untuk menyokong aktiviti agama lain. Sedangkan ini jelas haram kerana duit zakat cuma boleh digunakan untuk orang Islam.
Paling menarik apabila Dato' Rozali menekankan, majlis agama bukan sahaja untuk agama Islam tetapi untuk orang Melayu yang menurut definisi perlembagaan HARUS BERAGAMA ISLAM. Maka itu majlis harus diakui dan dikenali sepenuhnya sebagai Majlis Agama Islam DAN ADAT ISTIADAT MELAYU di bawah seliaan Sultan sepertimana sepatutnya berlaku sejak dahulu lagi. Maka majlis ini bertanggungjawab menjaga kepentingan agama Islam di negeri Terengganu seiring dengan kepentingan orang Melayu yang mana kini sering diserang sebagai bersifat rasis dan assobiyah, kononnya tak perlulah jaga Melayu, perlu jaga Islam sahaja.
Sesungguhnya pada apa yang disebut pesuruhjaya agama itu ada beberapa perkara yang layak diketengahkan pada muka hadapan akhbar-akhbar perdana. Sayangnya, selain dapat bercakap di radio FM Terengganu pagi Khamis kemudian dikunjungi wartawan RTM pagi Sabtu (mereka ada menemuduga saya dalam masjid sambil membuat rakaman video tetapi meninggalkan acara sebelum Zuhur), acara kurang mendapat liputan. Malah jumlah kehadiran Sabtu itu adalah yang paling rendah sepanjang HIKMAH V berlangsung sejak Rabu 5 Jun lepas Maghrib. Walhal ia adalah hari kemuncak. Tidak ada sebab orang tidak mengetahui tentangnya selepas acara berlangsung Rabu, Khamis dan Jumaat.
Apapun kami tetap meneruskan bahagian berikutnya iaitu sesi bengkel berkumpulan sepertimana diadakan pada penghujung setiap acara HIKMAH.
Cuma tidak seperti dahulu di mana kami dapat memecahkan peserta kepada 10 kumpulan menurut minat seperti Perkerisan, Persilatan dan Perubatan kali ini kami cuma menjadikan mereka dua kumpulan, satu laki-laki, satu perempuan.
Dengan tema bertajuk "Penyediaan Tapak Kekhalifahan Mengikut Manhaj Nubuwwah (atau Kenabian)", bengkel dibuat dengan peserta ditanya terlebih dahulu : "Kalau diberi peluang menyampaikan hajat dan buah fikiran kepada Imam Mahdi, apakah yang mahu dinyatakan?"
Bergambar bersama beberapa orang yang masih ada petang selepas solat Asar. Terus terang cakap, saya merasa agak kesal dengan jumlah pernyertaan HIKMAH V walhal ia diadakan 5-8 Jun, 4 hari tu (3 hari kalau menurut perkiraan Islam di mana acara selepas Maghrib 5 Jun dikira sama hari dengan siang Khamis keesokannya). Ada cukup banyak masa untuk mendekati majlis berbanding acara-acara HIKMAH sebelum ini yang dibuat cuma satu hari sahaja tetapi jauh lebih ramai penyertaan. Sedangkan dari segi pengisian saya percaya ini adalah acara terbaik HIKMAH setakat ini.
Kemudian saya diberitahu ada masalah prejudis yang dikaitkan dengan politik. Ada orang memberitahu penduduk sekitar ada ternampak poster majlis lalu terus tertumpu pada keris. Tanpa mempedulikan lambang Al-Quran, tanpa mempedulikan juga lambang Batu Bersurat Terengganu, terus keris itu dikaitkan dengan sebuah parti politik. Perjuangan kami untuk membela Melayu terus disempitkan, kami dikatakan cuma alat parti!
Masyaallah! Tapi tak mengapalah. Kami tetap mendapat penyertaan yang meriah. Di kalangan yang ada, semangat kekeluargaan sangat kuat atas nama Melayu dan Islam, tiada langsung unsur-unsur politik. Sesungguhnya ramai antara kami cuma memandang pada sistem khalifah, tidak lagi pada sistem demokrasi yang memfitnah lagi menggalakkan orang berpecah-belah.
Dengan itu biarlah ditamatkan artikel ini. Cukuplah penceritaan HIKMAH V dari mula sehingga selesai. Kalau saya rajin nanti insyaallah akan diproses sedikit rakaman video lalu dikongsikan di blogspot ini ya. Tapi rasanya tak payahlah sepanjang seperti untuk acara-acara HIKMAH terdahulu. Cukuplah sekadar untuk memberi rasa. Kalau mahu panjang lebar, ada rakan kami yang merakamkan hampir kesemua isi acara lalu katanya mahu menerbitkan DVD. Nanti bolehlah rujuk pada mereka ya. Sekian... :]