Salam sejahtera kepada semua. Gambar hiasan ini menggabungkan elemen dari dua gambar. Satu menunjukkan saya bersama isteri ketika pertama kali sampai ke Masjid Baiturrahman, Banda Aceh Jun 2009. Lihat artikel Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini... di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Ketika itu isteri sedang 6 bulan mengandungkan anak kami yang bernama Muhammad al-Aminul Rasyid, nama yang digunakan untuk watak utama siri novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Gambar kedua menunjukkan banner HIKMAH digantungkan di hadapan Hang Tuah Center di Kampung Duyong, Melaka untuk acara ke-7 HIKMAH 30 Disember 2013. Lihat HIKMAH VII bersedia untuk menggegar Hang Tuah Center. Cuma banner sahaja diambil untuk gambar hiasan. Gambar sebenarnya seperti di bawah...
Sebelum ini saya ada menulis artikel bertajuk Ceramah di masjid diikuti di muzium yang menerbitkan HIKMAH - Faktor Jumaat 13 yang berulang menceritakan tentang 2 buah ceramah yang pernah dibuat berkenaan Aceh membuka jalan dan ilham sehingga terbitlah HIKMAH. Malam ini masuk tarikh 26 Disember 2013 maka genaplah 9 tahun Aceh diserang ombak besar Tsunami yang menyebabkan 200,000 rakyatnya terkorban. Namun, hikmah dari peristiwa itu, perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) yang sudah berlanjutan beberapa tahun pun tamat. Demi memulihkan Aceh kedua buah pihak dapat duduk semeja disaksikan masyarakat antabangsa. Dapatlah Aceh yang hampir lumpuh kembali bernafas malah muncul lebih gah.
Artikel ini ditulis untuk menceritakan rancangan mahu membawa HIKMAH ke Aceh 3 bulan dari sekarang. Tarikh 26 Disember dipilih untuk bercerita kerana genap 9 tahun berlakunya Tsunami. Tidak terfikir langsung ketika itu bahawa artikel ini yang merupakan ke 101 di blogspot ini akan ditulis 13 hari selepas artikel sebelumnya iaitu Ceramah di masjid diikuti di muzium yang menerbitkan HIKMAH - Faktor Jumaat 13 yang berulang dibuat. Nampaknya terdapat begitu banyak faktor berkait samada disengajakan atau disedari mahupun tidak.
Artikel tersebut ditulis pada hari Jumaat, Friday the 13th. Pada petang itu datang satu rombongan 7 orang aktivis kebudayaan dari Aceh dan esoknya Sabtu saya membawa mereka menghadiri satu majlis guru-guru seni bela diri dan silat. Lihat artikel Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!. Isninnya pula saya membawa mereka berjalan-jalan di Melaka. Dapatlah mereka melihat Hang Tuah Center atau Perkampungan Hang Tuah tempat acara ke-7 HIKMAH dijalankan. Lihat Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD.
Masa yang diluangkan bersama mencetuskan sesuatu. Biar dicopy and paste apa yang dinyatakan di Facebook Ahad 15 Disember.
TENTANG RANCANGAN MENGADAKAN HIKMAH DI ACEH HUJUNG MAC 2014
Semalam saya ada menyebut sedang berfikir hendak mengadakan satu acara HIKMAH di Aceh. Ini mahu mengambil kesempatan atas rancangan kedatangan saya dan keluarga ke Aceh Mac 23-30 Mac 2014. Tiketnya sudah ditempah awal Oktober 2013. Kedatangan 7 orang Aceh yang kami bawa ke majlis MAGMA di Jalan Conlay semalam seperti membuka jalan. Seorang dari mereka pernah bersama 2 orang rakan senegerinya yang kami taja ke HIKMAH II di Melaka 25 Nov 2012. Dia menyatakan, sejak itu mereka menyimpan hasrat untuk mengadakan satu acara kedaulatan agama, bangsa dan negara menurut model HIKMAH. Rujuk artikel di http://
Saya pun menyatakan ada eloknya dibuat acara ketika saya berada di sana. Saya dan keluarga dijadualkan sampai Ahad 23 Mac dan kembali Ahad 30 Mac. Kami ingin pergi ke beberapa tempat termasuk makam Sultan Malikus Saleh yang terletak 6 jam perjalanan dari Banda Aceh (kapal terbang mendarat di situ). Maka tarikh yang sesuai untuk mengadakan acara di mana kami boleh terlibat sama adalah Sabtu 29 Mac... eloklah di Banda Aceh agar lebih senang orang luar bertandang.
Kepada kawan2 di Malaysia yang berminat untuk pergi ke sama bolehlah menempah sendiri tiket pada tarikh tersebut. Insyaallah kawan2 kami di sana boleh membantu perjalanan apabila sudah sampai. Semoga rancangan mengadakan acara menjadi realiti. Lagipun semasa itu cuti sekolah di Malaysia. Dan rasanya sudah sampai masa Aceh yang sudah saya ziarahi 5 kali, negeri induk asal tok nenek moyang saya didatangi HIKMAH. Sesungguhnya HIKMAH itu sendiri terbit akibat pengaruh Aceh yang kuat. Lihat artikel di http://
Cetusan fikiran untuk mengadakan HIKMAH di Aceh itu ada disebut secara ringkas di FB sekembalinya saya dari membawa mereka berjalan ke majlis guru seni bela diri. Hal ini kemudian dihuraikan lagi 2-3 kali lalu mendapat maklum balas yang agak memberangsangkan. Beberapa orang sahabat dari Malaysia menyatakan berminat untuk datang sementara dua orang penyokong dan penyumbang tetap HIKMAH menyatakan sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk membentangkan kertas kerja.
Hujung minggu lalu pula saya kembali ke kampung ibu di Muar untuk bertemu ibu bapa setelah beberapa bulan tidak bertandang. Lihat Kenangan panjat masjid di Muar. Isteri memberitahu rancangan kami untuk ke Aceh 23-30 Mac lalu ibu bapa yang belum pernah ke sana mahu ikut sama. Tiket untuk mereka pun dibeli sekembalinya kami ke rumah sendiri dan aturan mula dibuat. Namun terbit hal-hal yang seperti menguji keteguhan hati.
Pertama, tentang mengadakan HIKMAH di Aceh pada tarikh cadangan 29 Mac 2014 iaitu hari Sabtu. Ada kawan kami di Aceh (bukan 7 orang yang datang ke Malaysia 13-17 Disember) meminta agar ia ditunda ke selepas bulan Mei. Katanya ini kerana Indonesia bakal mengadakan pilihan raya lalu mereka yang terlibat akan giat berkempen. Ini menyebabkan keramaian tidak boleh diadakan dengan mudah. Maka acara seperti HIKMAH boleh jadi terganggu kalau pun tidak dilarang pihak pemerintah.
Kedua, tentang rancangan saya dan keluarga ke Aceh itu sendiri. Seorang kawan lain, rakyat Malaysia yang sudah lama berada di sana menyatakan Aceh agak gawat kerana berlaku pertentangan antara pihak yang berlainan kiblat politik. Katanya di beberapa tempat berlaku tembak-menembak dan ada orang mati. Jadi tidak sesuai pergi ke Aceh buat masa ini.
Jawab saya, bukan mudah untuk kami mendapatkan tiket murah ke sana. Kami bukan orang kaya, boleh melepaskan begitu sahaja tiket yang sudah dibeli sejak bulan September. Dahlah sebelum HIKMAH VII saya terlepas penerbangan ke Aceh sedangkan sudah diberi tiket percuma tanpa disangka. Lihat Lawatan tak dijangka ke Putrajaya, Hulu Langat dan sekitar ganti lawatan tak dijangka ke Aceh. Lagipun saya dan isteri sudah lama menyimpan hajat untuk membawa anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan bertandang ke makam Sultan Malikus Saleh. Kali terakhir kami di sana, isteri sedang 6 bulan mengandungkan Johan. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh.
Pendek kata kami bertegas untuk pergi dan sudi menanggung risiko. Tentang mengadakan HIKMAH di Aceh kawan-kawan kami tetap akan berusaha untuk menjadikannya satu realiti. Dapat tak dapat belakang cerita. Kami usaha dahulu untuk mendapatkan tarikh cadangan 29 Mac itu.

Cadangan saya biarlah acara diadakan di Rumah Aceh yang terletak di dalam kawasan Muzium Aceh di Banda Aceh. Bahagian bawah rumah yang sendiri merupakan satu muzium ini cukup luas dan tinggi untuk mengadakan acara. Lihat artikel Rumah tradisional Aceh (Aceh traditional house) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Di sebelah kirinya terdapat kawasan pemakaman raja-raja yang memerintah Aceh abad ke-18 hingga pemerintahan beraja Aceh ditamatkan oleh Belanda awal abad ke-20. Lihat Makam Raja-raja Dinasti Bugis (the tomb of kings from the Bugis dynasty). Di hadapannya terdapat loceng gergasi yang dihadiahkan Maharaja Cina kepada sultan kerajaan Samudera-Pasai (kemudian diserap ke dalam Aceh). Lihat Rumah tradisional Aceh (Aceh traditional house). Tidak jauh ke kanan terdapat makam seorang pemerintah agung Aceh. Lihat Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda?. Banyak tempat-tempat bersejarah di Banda Aceh boleh dicapai dengan berjalan kaki dari rumah tradisional ini.
Apapun saya akan terima keadaan dan akur dengan Qada' dan Qadar. Kalau diberikan jalan untuk mengadakan acara, saya dan isteri akan mencuba sebaik mungkin. Insyaallah ada sejumlah kawan dari Malaysia akan datang untuk menolong menjayakan acara selain memeriahkannya. Kalau tak dapat, saya tetap akan membawa HIKMAH ke Aceh. Sekurang-kurangnya kehadiran saya dan isteri sudah cukup untuk mewakilinya kerana memang kami tonggak utama persatuan atau kumpulan tidak rasmi ini. Kalau kawan-kawan di Aceh mahu kita boleh mengadakan satu perjumpaan santai bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pengalaman dalam mendaulatkan agama, bangsa dan negara. Kalau tidak pun, perjalanan kami ke Aceh kali ini tetap mewakili HIKMAH. Semoga ini akan mencetuskan sesuatu yang lebih bermakna untuk semua yang mahu melihat kebangkitan sebenar Islam dari Timur bermula tidak lama lagi.
Berbalik pada 7 orang kawan dari Aceh yang datang ke Malaysia sehingga tercetus rasa untuk mengadakan HIKMAH di tempat mereka. Sebelum berpisah mereka telah menghadiahkan saya sebuah topi Aceh yang dipanggil meukotop, ke meuketop? Saya sudah lama ingin memilikinya tetapi belum membeli kerana harganya agak mahal. Dalam perjalanan kembali ke rumah timbul ilham untuk menggabungkannya dengan tanjak Melayu.
Ia dan senjata tradisional Aceh yang dipanggil rencong telah saya pakai bersama keris kesayangan yang diberi nama Kanzul Hikmah dalam satu majlis ilmu selepas itu. Lihat Hari kedua Sidang Kemuncak Sejarah 2013 - Membawa kombinasi Melayu-Aceh ke majlis. Terasa timbul satu semangat luar biasa yang susah hendak digambarkan. Semoga niat untuk membawa HIKMAH ke Aceh dikabulkan. Amin... :]