OK. Sampai masanya untuk bercerita tentang acara yang baru sahaja tamat beberapa hari lalu.
Pagi Sabtu 8 Februari 2014 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1435. Selepas mengalih dan mengemaskan beberapa barangan binaan rumah seperti kayu, cangkul dan sebagainya saya pun keluar meletakkan poster-poster kecil HIKMAH untuk menunjukkan arah ke tempat acara. Seperti sudah dimaklumkan pada artikel HIKMAH VIII Sabtu ini dan tawaran buku lebih seminggu lalu juga beberapa artikel sebelumnya, acara kali ini, acara ke-8 HIKMAH mahu diadakan di rumah baru saya di Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
Poster diletakkan menumpang di atas sejumlah poster untuk majlis kerja kahwin yang telah berlangsung seminggu lebih awal. Sampai satu bahagian saya harus meletakkan tanda pangkah pada anak panah sedia ada dan melukis anak panah baru.
Ini diteruskan sehingga sampai ke rumah yang baru sahaja selesai dicat dan dicuci sehari sebelum berpindah Khamis 30 Januari.
Selain itu ada beberapa bahagian harus diperbaiki juga didirikan untuk meraikan tetamu.
Ketika gambar ini diambil sudah hampir jam 10 pagi. Sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 9 dengan tetamu diminta datang seawal jam 8.
Namun perkarangan rumah masih kelihatan begitu sepi. Tak mengapa kerana ini memberikan masa untuk saya mendirikan apa yang patut seperti poster-poster HIKMAH juga skrin dan projektor juga menyelesaikan beberapa perkara.
Tetamu yang sudah sampai ketika itu cuma satu keluarga saudara dengan seorang kawan dan keluarganya. Kalau mengikut jadual tahlil dan maulud mahu dimulakan jam 9.
Setelah menunggu agak lama iaitu hampir jam 11 baru majlis dimulakan. Ketika itu belum ada orang lain kecuali kami-kami ini.
Sekitar jam 12.30 tengah hari baru kelihatan kehadiran tetamu/peserta yang agak memberangsangkan. Maka itu sesi pembentangan ilmu yang dijadualkan bermula 11.20 pun ditunda. Biar sahaja dinikmati juadah dan makan-makan santai dahulu.
No comments:
Post a Comment