Assalamualaikum. Merujuk pada artikel
3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul yang dibuat lebih 3 minggu lalu. Adapun kebelakangan ini saya sangat sibuk dengan hal menyiapkan rumah baru. Sekarang, sukacita dimaklumkan saya dan keluarga telah berpindah sejak malam Jumaat lalu. Cuma belum selesai mengatur barangan yang dibawa dari rumah lama, ada antaranya baru diambil malam tadi. Dan ada sedikit lagi bahagian rumah belum siap.
Sudah dimaklumkan rumah baru itu akan menjadi tempat acara ke-8 HIKMAH berlangsung iaitu pada 8 Feb ini, hari Sabtu. Sekarang cuma tinggal 4 hari sahaja sebelum acara yang diberi nama "Rumahku Syurgaku" atau HIKMAH VIII ini berlangsung. Alamat rumah yang mahu dipanggil Baitul Hikmah ini sudah diumumkan di Facebook 1 Feb Sabtu minggu lepas. Sekarang biar dikongsikan di sini...
29, Jalan Cemperaisari 3D,
Bandar Sungai Buaya,
48010 Rawang,
Selangor Darul Ehsan.
Kedudukan rumah boleh dilihat pada peta-peta di atas. Letaknya cuma 4 km ke barat exit/susur keluar Lebuh Raya PLUS Sungai Buaya. Cuma kedudukan exit yang terletak antara exit Rawang/Batang Berjuntai dan exit Bukit Beruntung ini belum dikemaskini dalam peta Google. Ia baru dibuka malah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib sekitar 2 minggu lalu.
Saya juga mahu mengumumkan atur cara tentatif. Selama ini cuma dinyatakan akan ada majlis tahlil kerana acara kali ini juga merupakan 'pemanas (ke perasmi?) rumah' atau housewarming bersama majlis maulud kerana masih lagi hangat musim sambutan Maulidur Rasul. Turut telah dinyatakan adalah perkongsian ilmu tanpa memberikan butiran. Sekarang biar dinyatakan semuanya begini :-
8 pagi : Kedatangan hadirin/peserta
9 :
Tahlil dan maulud oleh ustaz dan para pelajar Ma'ahad Tahfiz Darul Quran Sungai Buaya
10.30 : Rehat dan jamuan ringan
11am :
Kata-kata aluan/pengenalan oleh presiden dan pengasas HIKMAH, Radzi Sapiee
11.20 : Pembentangan 1 - Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu
12 tengah hari - Pembentangan 2 - Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran - Puan Harleny Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)
12.40 - Rehat Zuhur/makan tengah hari
2.30 petang - Pembentangan 3 - Rumahku Syurga : Mencari Perhentian dalam Perjalanan - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH
3. 15 : Aktiviti berkumpulan menurut minat, persilatan, perkerisan dan sebagainya
4 : Rehat Asar/Minum petang
5 : Penutup :
Meneruskan perjuangan cara HIKMAH
Satu lagi perkara. Semalam set penuh terakhir siri buku "Berpetualang ke Aceh" karangan dan terbitan saya telah diposkan kepada seorang pembeli. Buku pertama siri, buku berwarna kuning dengan tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti" kini sudah habis stok, tinggal buku kedua berwarna hijau "Membela Syiar yang Asal" dan buku ketiga juga terakhir yang berwarna merah darah, "Sirih Pulang ke Gagang?". Sempena itu saya mahu membuat tawaran istimewa pada HIKMAH VIII. Kedua-dua buku tersebut akan dijual pada harga RM10 senaskah sepanjang acara berlangsung.
Harga asal buku kedua itu adalah RM25 sementara buku ketiga adalah RM28. Sambil itu juga saya ingin membuat satu lagi tawaran harga runtuh. Buku ketujuh saya, buku mewah atau coffee-table book "Jejak Keluarga Yakin" mahu dijual pada harga RM50 sahaja berbanding harga asal RM125. Ambillah peluang membeli ketiga-tiga buku yang ditawarkan ini sekali gus. Harga tawaran ketiganya sekali cuma RM70 sahaja berbanding harga biasa berjumlah RM178, diskaun lebih RM100 tu!
Seperti pada setiap acara HIKMAH penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua. Sesiapa yang mahu berniaga juga boleh berbuat begitu secara percuma. Cuma bawa meja dan kerusi sendiri ya, kalau ada payung sekali lagi bagus. Silakan datang... :]
No comments:
Post a Comment