Monday, March 31, 2014

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda sukses...

Subhanallahu walhamdulillahi walailahaillallahu wallakuakbar. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabat. Salam juga kepada semua pembaca.

Adapun saya dan keluarga baru lewat malam semalam kembali ke rumah, setelah 8 hari 7 malam berada di Aceh untuk menziarahi beberapa makam dan tempat bersejarah juga menjayakan acara ke-10 HIKMAH, HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X. Sukacita dimaklumkan acara telah berjaya diadakan dengan penuh gemilang Sabtu 29 Mac. Sebetulnya saya masih agak kepenatan untuk menulis apa-apa tetapi tarikh hari ini 31 Mac yang memiliki faktor 313 iaitu 31/3/2014 terlalu elok untuk dilepaskan begitu sahaja.

Kalau mengikut tertib penggiliran kebiasaan saya bercerita, kisah perjalanan ke Aceh kali ini yang dimulakan pada Ahad 23 Mac harus dilepaskan dahulu satu persatu di blogspot utama saya CATATAN SI MERAH SILU... selepas beberapa lama baru saya boleh bercerita tentang acara. Namun sekali lagi, disebabkan faktor 313 biarlah diluahkan sedikit tentangnya. Lagipun saya tahu ramai juga menunggu ulasan atau maklum balas dari saya.

Cukuplah dinyatakan acara ini sangat berjaya. Ditambah jamuan makan malam di Pendopo atau kediaman Gubernur Aceh yang fungsi jawatannya serupa Menteri Besar di Malaysia sungguh semua yang terlibat terutama rombongan dari Malaysia diraikan dengan penuh penghormatan dan kemuliaan. Untuk artikel ini biar dikongsikan gambar-gambar berikut tanpa ulasan ya. Laporan tentang acara dari pihak media massa sana boleh dilihat di sini (sila klik) dan sini. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-123 di blogspot ini.






















































Friday, March 14, 2014

Nasib pesawat MH370 dan bermalam Jumaat di makam Sultan Malikus Saleh

Gambar dari artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh yang ditulis 2 tahun lalu di blogspot CATATAN SI MERAH SILU...


Salam Jumaat. Hari ini sudah genap seminggu pesawat Boeing 777 penerbangan MAS MH370 hilang dengan misteri tanpa dapat dikesan. Saya sendiri kurang berminat untuk mengulas hal ini. Satu dunia telah memperkatakannya dan ramai telah menerbitkan pelbagai 'teori' dan pendapat. Harapan saya, apapun yang terjadi biarlah ia membawa kebaikan kepada semua samada tersurat mahupun tersirat. Yang pasti setiap yang berlaku ada hikmahnya. 

Adapun perenggan di atas diambil bulat-bulat daripada artikel Kehilangan pesawat MH370 dan selesainya misi HIKMAH Pulau Pinang yang disiapkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU hampir 3 jam tadi. Di sini biar ditambah. Berita melaporkan zon pencarian pesawat sudah dilebarkan untuk meliputi kawasan pertemuan Lautan Hindi dengan Laut Andaman. Ini adalah perairan yang terletak ke utara Aceh. Dengan ini bolehlah kita pergi pada perkara sepatutnya iaitu penganjuran acara ke-10 HIKMAH di Aceh, acara yang kalau tak salah ada nama lain diletakkan penganjur sana tapi pihak kami di sini sendiri terutama saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH panggil sebagai HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X.

Setakat di blogspot ini, HIKMAH Aceh yang akan berlangsung penghujung Mac cuma pernah disentuh 2 sekali sahaja - melalui artikel Membawa HIKMAH ke Aceh yang dibuat penghujung tahun lepas dan 3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul yang dibuat 2 bulan lalu. Sejak itu tumpuan diberikan pada acara yang diadakan di rumah baru saya di Sungai Buaya, Rawang (lihat Acara kelapan HIKMAH di Sungai Buaya, Rawang 8 Feb 2014) diikuti acara Pulau Pinang (lihat Acara kesembilan HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014). Namun di Facebook saya ada memberikan beberapa perkembangan tentang acara di Aceh. Maka biarlah dimaklumkan di sini...


1) Acara telah mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk dilangsungkan penghujung Mac - Ini telah dimaklumkan oleh Duta Muzium Aceh, Ustaz Mujibburizal sebelum acara ke-8 HIKMAH berlangsung lebih sebulan lalu. Sebelum itu ada kerisauan acara tidak dapat dilakukan lalu perlu ditukar menjadi sesi pertemuan dan jalan-jalan santai. Ini disebabkan pilihan raya umum akan diadakan di seluruh Indonesia 9 April dan Aceh terlibat sama. Beberapa hari sebelum pilihan raya penduduk dilarang mengadakan apa-apa acara keramaian kecuali kempen....

2) Lokasi pusat acara adalah di bawah Rumoh Aceh di Muzium Aceh, sebuah rumah kayu tradisional besar yang berdiri di atas tiang-tiang tinggi - Ini adalah cadangan sejak awal lagi lalu disebut dalam  Membawa HIKMAH ke Aceh dan pihak muzium sudah bersetuju.

3) Acara boleh dan akan diadakan sepenuh hari Sabtu 29 Mac - Sebelum ini acara pernah mahu ditukar ke hari Jumaat 28 Mac. Ini disebabkan rombongan dari Malaysia yang diatur sahabat kami, Ustaz Mahyuddin dari Anjung Hikmah ketika itu katanya cuma dapat berada di Aceh 26-29 Mac, tidak sempat mengikut acara kalau ia diadakan hari Sabtu. Lalu Jumaat 28 pun dipilih. Tetapi ini menyebabkan ia boleh diadakan separuh hari sahaja kerana muzium sebelum waktu solat Jumaat dan terus ditutup hari itu.

Namun berlaku hal yang menyebabkan tarikh kedatangan rombongan diubah menjadi 27-31 Mac. Ini disebabkan harga tiket untuk pergi 26 dan kembali 29 Mac telah melonjak naik sedangkan tiket pergi 27 dan kembali 31 lebih ekonomikal. Maka itu acara boleh dibuat pada 29 Mac. Untuk pengetahuan saya dan keluarga sendiri akan berada di Aceh 23-30 Mac kerana telah membeli tiket tambang murah sejak beberapa bulan lepas. Sekarang bolehlah diterangkan kenapa tajuk artikel ini menyebut  "bermalam Jumaat di makam Sultan Malikus Saleh."



Saya bersama seorang anak, Muhammad Al-Aminul Rasyid ketika kali terakhir menziarahi makam Sultan Malikus Saleh. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh....



Adapun satu tujuan utama saya dan keluarga ke Aceh kali ini adalah untuk membawa anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan menziarahi makam Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera Pasai yang bertaraf wali. Ketika kali terakhir saya di sana hampir 3 tahun lalu, isteri sedang sarat mengandungkan Johan. Adalah menjadi kebiasaan (kami sudah 5 kali ke sana) dan keinginan kami untuk berada di makam hari Jumaat, samada siang, malam atau kedua-duanya sekali. Namun apabila HIKMAH Aceh harus ditukar ke hari Jumaat tentu tak sempat kerana lokasi acara di Banda Aceh adalah lebih 6 jam perjalanan dari makam.

Apapun ziarah ke makam tetap dalam rancangan. Rombongan Ustaz Mahyuddin yang hampir kesemuanya belum pernah ke Aceh juga sudah lama teringin hendak ke sana... setelah beberapa lama mendengar nama besar sultan dan cerita-cerita tentang baginda. Cadangnya saya dan keluarga akan ke tempat lain terlebih dahulu sebelum berjumpa di makam tengah hari atau petang Khamis. Selepas itu kami semua terus berkejar ke Banda Aceh untuk acara pagi Jumaat.

Dengan takdir Allah SWT rombongan harus memilih 27-31 Mac untuk berada di Aceh. Dengan itu bukan sahaja acara dapat diadakan pada tarikh cadangan asal Sabtu 29 Mac, keadaan malah menggalakkan agar rombongan terus ke makam Sultan Malikus Saleh malam Jumaat! Ini disebabkan penerbangan ke Aceh Rabu 27 Mac adalah pada waktu petang. Rombongan dijangka sampai ke Banda Aceh sekitar 4.25 petang, siap segala hal termasuk pemeriksaan imigresyen di lapangan terbang sekitar jam 5. Maka adalah elok dan lebih ekonomikal untuk terus ke makam Sultan Malikus Saleh dari lapangan terbang. Cadangnya tidur sahaja di madrasah bersebelahan makam kerana saya dan keluarga sendiri pernah bermalam di situ. Lihat Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh. Esoknya pagi Jumaat boleh kembali ke Banda Aceh, singgahlah beberapa tempat dalam perjalanan.

Adapun kenderaan sewa dikira sehari bersamaan 24 jam. Jika sewa bermula jam 5 petang Khamis dari lapangan terbang, insyaallah sempat kembali ke Banda Aceh malah berhenti di beberapa tempat termasuk bersolat Jumaat sebelum 5 petang Jumaat. Dengan ini penggunaan kereta sewa dapat dimaksimakan. Tidor di madrasah juga dapat menjimatkan banyak belanja berbanding di hotel. Cukuplah cerita buat masa ini. Sebagai renungan dan kena pun pada masanya, disarankan anda membaca artikel Mutiara HIKMAH sebagai jambatan ke Aceh dan penyatuan Alam Melayu? yang ditulis 2 hari sebelum HIKMAH bertandang ke Pulau Pinang...


Friday, March 7, 2014

Acara kesembilan HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Feb 2014



Sejak pertengahan 2013 ada pihak ingin membawa acara HIKMAH ke Pulau Pinang. Melihat kalendar tahun itu di mana 2-3 acara sudah dirancang, tarikh sekitar penghujung Oktober atau awal November pun dicadangkan. Namun atas sebab yang tak pasti apa, pihak tersebut menundakan rancangan tanpa menetapkan tempoh. Tidak lama kemudian muncul pihak lain dari Pulau Pinang mahu membawa acara lalu iapun menjadi kenyataan.

Pulau Pinang sebagai tempat ke-9 HIKMAH agak unik kerana situasi orang Melayu sana yang kelihatan menuju menjadi seperti nasib orang Melayu di Singapura. Di negara pulau itu mereka menjadi minoriti yang dikuasai bangsa asing berketurunan pendatang dan bukan Islam. Pulau Pinang juga sudah begitu, cuma belum terlalu teruk lagi kerana orang Melayunya masih ramai, cuma ada perpecahan yang menyebabkan kepentingan mereka susah hendak diperjuangkan dengan lebih berkesan.

Sebetulnya pihak kami sendiri ada menyimpan hasrat untuk mengadakan acara di wilayah yang dikenali sebagai Pulau Mutiara ini sejak acara ke-3 HIKMAH berlangsung di Lumut, Perak 27 Januari 2013. Ini kerana pulau itu dilihat sebagai satu tempat jejak bertapak penjajah Inggeris yang sangat penting. Kami percaya dari situlah Perjanjian Pangkor 1874 dirancang sehingga Perak mula dicengkam diikuti beberapa negeri Melayu lain. Maka itu kedatangan kami ke Pulau Pinang sangatlah tepat. Disokong semangat membara anak-anak sana yang sanggup mengenepikan perbezaan ideologi politik dan pegangan fikrah, saya melihat ia menampilkan organisasi dan keterlibatan pihak tempatan terbaik sejak HIKMAH diasaskan 12 Oktober 2012. Untuk makluman ini adalah artikel yang ke 121 di blogspot ini.


Persediaan untuk acara...


1. 3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul

2. Aura HIKMAH mula membara di Pulau Pinang...

3. Aku naik saksi tiada yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah rasulNya

4. Mutiara HIKMAH sebagai jambatan ke Aceh dan penyatuan Alam Melayu?


Apa yang berlaku sepanjang acara...


1. HIKMAH IX - Semangat membara orang Pulau Pinang

2. HIKMAH IX - Sokongan atasan dalam melestarikan satu perjuangan

3. HIKMAH IX - Menangani ancaman terhadap umat Islam melalui ukhuwah yang kuat


Kertas kerja atau/dan perkongsian rasa yang telah dipersembahkan...


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban

2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates,  firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI

3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos,  wartawan dan aktivis media bebas

4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah  – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam -  Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah


Antara yang dapat dikongsikan dengan butiran di blogspot...


1. Kertas kerja HIKMAH IX - Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu

2. Kertas kerja HIKMAH IX - Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu


Acara susulan yang ada kena-mengena...


1. Ukhwah Pendekar Malaiu di Balik Pulau


Acara juga boleh diikuti melalui video klip...


1. Video sekitar HIKMAH IX - Dari selawat ke 'rompakan' perbankan dan wang kertas

2. Video sekitar HIKMAH IX - Wasiat raja-raja Melayu dan ancaman terhadap umat Islam




Thursday, March 6, 2014

Ukhwah Pendekar Malaiu di Balik Pulau

OK. Untuk melengkapkan kitaran cerita tentang HIKMAH IX satu majlis berkaitan harus disentuh...


Ahad 23 Februari 2014 iaitu sehari selepas berlangsungnya acara Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas kami ke Dataran Warisan Alang di Sungai Burung, Balik Pulau.



Saya dan keluarga pertama kali sampai di sini penghujung tahun lepas untuk satu acara keMelayuan. Lihat artikel Festival Adat Istiadat Warisan Melayu di Balik Pulau.



Satu lagi acara keMelayuan mahu diadakan, mengambil kesempatan atas momentum dan kedatangan kawan-kawan dari luar Pulau Pinang ke HIKMAH IX.






Selamat datang ke majlis "Ukhwah Pendekar Malaiu".



Tuan Haji Chin dari qaryah Masjid al-Hidayah, Bayan Lepas, seorang pengamal silat yang berpengaruh di Pulau Pinang memberikan ucapan pembukaan dan kata-kata aluan.



Beliau kemudian dihadiahkan sebuah tanjak, diletakkan di kepala oleh Ustaz Amir Hamzah seorang pemimpin agama tempatan.






Ini diikuti persembahan silat.






Bergambar beramai-ramai.



Selepas itu ada tazkirah oleh Ustaz Amir Hamzah. Tetapi beliau tidak mahu diambil gambar ketika memberi tazkirah. Maka ditunjukkan gambar sesi seterusnya, saudara Kamal, Yang Dipertua NGO Armada Malaiu memberi pengenalan tentang cara-cara memanah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.



Ini diikuti demonstrasi memanah...






Hadirin diajak mencuba sama dan diberi tunjuk ajar.



Makan tengah hari...






Sambil itu pertunjukan silat berjalan.



Petang sebelum bersurai ada upacara tertentu diadakan melibatkan beberapa orang pilihan dengan harapan dapat menghilangkan pengaruh tinggalan penjajah ke atas Pulau Pinang sambil betul-betul menaikkan Melayu dan Islam. Tak perlulah ditunjukkan bagaimana ia diadakan. Cukuplah disebut sebagai isyarat agar para pejuang lain dapat meneruskan usaha menurut kaedah dan cara masing-masing asalkan tidak lari dari landasan agama yang benar. Cukup.


Wednesday, March 5, 2014

Video sekitar HIKMAH IX - Dari selawat ke 'rompakan' perbankan dan wang kertas

Salam. Sejak 2 hari lepas saya telah bertungkus-lumus untuk memproses rakaman-rakaman video yang dibuat melalui perakam video saya pada HIKMAH IX yang sudah berlangsung 11 hari lalu. Rakaman yang diambilkan orang lain itu telah dibuat dalam format Full HD lalu perlu dikecilkan saiz agar tidak terlalu membebankan komputer selain lebih ringan untuk dimuatnaik ke Youtube. Selepas dipilih adegan-adegan sesuai dan disunting mana yang patut berjam-jam pula harus diperuntukan untuk memuatnaik fail video. Walaupun fail telah dikecilkan menjadi kurang 20 peratus saiz asal Internet saya cuma berkelajuan 1Gb...

Proses memuatnaik yang dimulakan petang semalam telah sampai pada peringkat di mana 5 klip video telah sedia untuk ditonton ramai ketika ini. Kebetulan 5 video itu menunjukkan aktiviti HIKMAH IX dari pembukaan sehingga masuk waktu rehat tengah hari dan solat Zuhur. Maka biar ia dikumpulkan dahulu di sini. Perjalanan acara boleh dirujuk dan dipadankan dengan cerita pada artikel HIKMAH IX - Semangat membara orang Pulau Pinang dan HIKMAH IX - Sokongan atasan dalam melestarikan satu perjuangan.





Selepas selesai sesi pembukaan ada rehat sarapan pagi sebelum acara disambung kembali. Ketika disambung itulah muncul tetamu kehormat, Dato' Seri Dr. Hilmy Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Namun orang yang memegang perakam video tidak merakamkannya, mungkin kerana disibukkan dengan hal lain. Dengan itu video terus melangkah pada sesi pembentangan dan seterusnya...




















Kertas kerja HIKMAH IX - Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu

Bersambung dari Kertas kerja HIKMAH IX - Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu. Ini adalah satu lagi pembentangan di mana semua slaid masih berada di dalam komputer saya. Ia adalah pembentangan ketiga yang bertajuk "Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu", dibuat oleh saudara Shamsul Yunos. Tajuk sama pernah dibentangkan beliau pada HIKMAH I, II dan VI. Lihat video klip berkenaan pada artikel Video sekitar HIKMAH VI - Sambutan Merdeka Raya.

Untuk artikel ini biar slaid dikongsi menurut turutan persembahan tanpa apa-apa penerangan tambahan. Selepas itu pembentangan keempat majlis dibuat oleh presiden dan pengasas HIKMAH serupa dengan satu perkongsian lebih awal pada majlis anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di Kuala Lumpur. Lihat artikel Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Pembentangan kelima dan terakhir pula dibuat tanpa slaid mahupun teks oleh Sheikh Raja Aman. Selepas ini klip-klip video ada dikongsi untuk tontotan awam...






















Kertas kerja HIKMAH IX - Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu

OK. Ini adalah slaid yang digunakan oleh saudara Amirul Haji Muhammad, dalam pembentangan kedua majlis, pembentangan yang bertajuk "Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu". Secara rata ia menerangkan isi satu kerta kerja yang pernah dikongsikan di blogspot ini setengah tahun lalu. Lihat artikel Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu. Biar slaid dikongsikan tanpa penerangan tambahan.

Nota : Pembentangan ini adalah antara dua pembentangan yang slaidnya masih tersimpan kemas dalam komputer saya. Maka itu mudah untuk dikongsikan. Pembentangan pertama, "Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang" dipersembahkan dengan slaid tetapi tidak ditinggalkan dalam komputer.