Salam sejahtera kepada semua. Gambar hiasan ini menggabungkan elemen dari dua gambar. Satu menunjukkan saya bersama isteri ketika pertama kali sampai ke Masjid Baiturrahman, Banda Aceh Jun 2009. Lihat artikel
Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini... di
blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Ketika itu isteri sedang 6 bulan mengandungkan anak kami yang bernama Muhammad al-Aminul Rasyid, nama yang digunakan untuk watak utama siri novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Gambar kedua menunjukkan
banner HIKMAH digantungkan di hadapan Hang Tuah Center di Kampung Duyong, Melaka untuk acara ke-7 HIKMAH 30 Disember 2013. Lihat
HIKMAH VII bersedia untuk menggegar Hang Tuah Center. Cuma
banner sahaja diambil untuk gambar hiasan. Gambar sebenarnya seperti di bawah...
Sebelum ini saya ada menulis artikel bertajuk
Ceramah di masjid diikuti di muzium yang menerbitkan HIKMAH - Faktor Jumaat 13 yang berulang menceritakan tentang 2 buah ceramah yang pernah dibuat berkenaan Aceh membuka jalan dan ilham sehingga terbitlah HIKMAH. Malam ini masuk tarikh 26 Disember 2013 maka genaplah 9 tahun Aceh diserang ombak besar Tsunami yang menyebabkan 200,000 rakyatnya terkorban. Namun, hikmah dari peristiwa itu, perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) yang sudah berlanjutan beberapa tahun pun tamat. Demi memulihkan Aceh kedua buah pihak dapat duduk semeja disaksikan masyarakat antabangsa. Dapatlah Aceh yang hampir lumpuh kembali bernafas malah muncul lebih gah.
Artikel ini ditulis untuk menceritakan rancangan mahu membawa HIKMAH ke Aceh 3 bulan dari sekarang. Tarikh 26 Disember dipilih untuk bercerita kerana genap 9 tahun berlakunya Tsunami. Tidak terfikir langsung ketika itu bahawa artikel ini yang merupakan ke 101 di
blogspot ini akan ditulis 13 hari selepas artikel sebelumnya iaitu
Ceramah di masjid diikuti di muzium yang menerbitkan HIKMAH - Faktor Jumaat 13 yang berulang dibuat. Nampaknya terdapat begitu banyak faktor berkait samada disengajakan atau disedari mahupun tidak.
Masa yang diluangkan bersama mencetuskan sesuatu. Biar dicopy and paste apa yang dinyatakan di Facebook Ahad 15 Disember.
TENTANG RANCANGAN MENGADAKAN HIKMAH DI ACEH HUJUNG MAC 2014
Semalam saya ada menyebut sedang berfikir hendak mengadakan satu acara HIKMAH di Aceh. Ini mahu mengambil kesempatan atas rancangan kedatangan saya dan keluarga ke Aceh Mac 23-30 Mac 2014. Tiketnya sudah ditempah awal Oktober 2013. Kedatangan 7 orang Aceh yang kami bawa ke majlis MAGMA di Jalan Conlay semalam seperti membuka jalan. Seorang dari mereka pernah bersama 2 orang rakan senegerinya yang kami taja ke HIKMAH II di Melaka 25 Nov 2012. Dia menyatakan, sejak itu mereka menyimpan hasrat untuk mengadakan satu acara kedaulatan agama, bangsa dan negara menurut model HIKMAH. Rujuk artikel di http://merahsilu.blogspot.com/2013/12/faktor-aceh-di-majlis-guru-seni-bela.html
Saya pun menyatakan ada eloknya dibuat acara ketika saya berada di sana. Saya dan keluarga dijadualkan sampai Ahad 23 Mac dan kembali Ahad 30 Mac. Kami ingin pergi ke beberapa tempat termasuk makam Sultan Malikus Saleh yang terletak 6 jam perjalanan dari Banda Aceh (kapal terbang mendarat di situ). Maka tarikh yang sesuai untuk mengadakan acara di mana kami boleh terlibat sama adalah Sabtu 29 Mac... eloklah di Banda Aceh agar lebih senang orang luar bertandang.
Kepada kawan2 di Malaysia yang berminat untuk pergi ke sama bolehlah menempah sendiri tiket pada tarikh tersebut. Insyaallah kawan2 kami di sana boleh membantu perjalanan apabila sudah sampai. Semoga rancangan mengadakan acara menjadi realiti. Lagipun semasa itu cuti sekolah di Malaysia. Dan rasanya sudah sampai masa Aceh yang sudah saya ziarahi 5 kali, negeri induk asal tok nenek moyang saya didatangi HIKMAH. Sesungguhnya HIKMAH itu sendiri terbit akibat pengaruh Aceh yang kuat. Lihat artikel di http://hikmahmelayu.blogspot.com/2013/12/ceramah-di-masjid-negeri-shah-alam.html
Cetusan fikiran untuk mengadakan HIKMAH di Aceh itu ada disebut secara ringkas di FB sekembalinya saya dari membawa mereka berjalan ke majlis guru seni bela diri. Hal ini kemudian dihuraikan lagi 2-3 kali lalu mendapat maklum balas yang agak memberangsangkan. Beberapa orang sahabat dari Malaysia menyatakan berminat untuk datang sementara dua orang penyokong dan penyumbang tetap HIKMAH menyatakan sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk membentangkan kertas kerja.
Hujung minggu lalu pula saya kembali ke kampung ibu di Muar untuk bertemu ibu bapa setelah beberapa bulan tidak bertandang. Lihat
Kenangan panjat masjid di Muar. Isteri memberitahu rancangan kami untuk ke Aceh 23-30 Mac lalu ibu bapa yang belum pernah ke sana mahu ikut sama. Tiket untuk mereka pun dibeli sekembalinya kami ke rumah sendiri dan aturan mula dibuat. Namun terbit hal-hal yang seperti menguji keteguhan hati.
Pertama, tentang mengadakan HIKMAH di Aceh pada tarikh cadangan 29 Mac 2014 iaitu hari Sabtu. Ada kawan kami di Aceh (bukan 7 orang yang datang ke Malaysia 13-17 Disember) meminta agar ia ditunda ke selepas bulan Mei. Katanya ini kerana Indonesia bakal mengadakan pilihan raya lalu mereka yang terlibat akan giat berkempen. Ini menyebabkan keramaian tidak boleh diadakan dengan mudah. Maka acara seperti HIKMAH boleh jadi terganggu kalau pun tidak dilarang pihak pemerintah.
Kedua, tentang rancangan saya dan keluarga ke Aceh itu sendiri. Seorang kawan lain, rakyat Malaysia yang sudah lama berada di sana menyatakan Aceh agak gawat kerana berlaku pertentangan antara pihak yang berlainan kiblat politik. Katanya di beberapa tempat berlaku tembak-menembak dan ada orang mati. Jadi tidak sesuai pergi ke Aceh buat masa ini.
Pendek kata kami bertegas untuk pergi dan sudi menanggung risiko. Tentang mengadakan HIKMAH di Aceh kawan-kawan kami tetap akan berusaha untuk menjadikannya satu realiti. Dapat tak dapat belakang cerita. Kami usaha dahulu untuk mendapatkan tarikh cadangan 29 Mac itu.
Apapun saya akan terima keadaan dan akur dengan Qada' dan Qadar. Kalau diberikan jalan untuk mengadakan acara, saya dan isteri akan mencuba sebaik mungkin. Insyaallah ada sejumlah kawan dari Malaysia akan datang untuk menolong menjayakan acara selain memeriahkannya. Kalau tak dapat, saya tetap akan membawa HIKMAH ke Aceh. Sekurang-kurangnya kehadiran saya dan isteri sudah cukup untuk mewakilinya kerana memang kami tonggak utama persatuan atau kumpulan tidak rasmi ini. Kalau kawan-kawan di Aceh mahu kita boleh mengadakan satu perjumpaan santai bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pengalaman dalam mendaulatkan agama, bangsa dan negara. Kalau tidak pun, perjalanan kami ke Aceh kali ini tetap mewakili HIKMAH. Semoga ini akan mencetuskan sesuatu yang lebih bermakna untuk semua yang mahu melihat kebangkitan sebenar Islam dari Timur bermula tidak lama lagi.
Berbalik pada 7 orang kawan dari Aceh yang datang ke Malaysia sehingga tercetus rasa untuk mengadakan HIKMAH di tempat mereka. Sebelum berpisah mereka telah menghadiahkan saya sebuah topi Aceh yang dipanggil meukotop, ke meuketop? Saya sudah lama ingin memilikinya tetapi belum membeli kerana harganya agak mahal. Dalam perjalanan kembali ke rumah timbul ilham untuk menggabungkannya dengan tanjak Melayu.
Amin,,,,
ReplyDeleteInsyaallah Terkabul kan,,,,,,,
Dari Aceh pergi Madinah, Singgah semalam tengah laut, Nangis adik Siti Fatimah, Dengar suara nabi Daud.
ReplyDeleteOrang Arab pulang ke Aceh, Sampai Aceh menanam serai, Jangan di harap hati yang kasih, Badan dan nyawa lagi bercerai.