Wednesday, April 30, 2014

HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Diraikan Gabernor di kediaman rasmi

Pada hujung artikel HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Dari usaha awal di Shah Alam ke pelestarian sejarah di bumi Serambi Mekah ada disebut bahawa acara disambung dengan ziarah ke tempat-tempat bersejarah selepas Asar. Ini diikuti majlis makan malam yang gilang-gemilang. Saya rasa tak perlulah diceritakan pasal ziarah itu ya. Kita terus ke makan malam...


Ya. Terus sahaja kita masuk ke dewan makan, selepas solat Isyak.





Lihat sahaja keadaan tempat. Kalau ini adalah restoran tentu ia bukan sebarang restoran.





Malah kalau ada duit banyak mana pun belum tentu dapat menjejakkan kaki di sini.


Kenapa? Kita lihat dahulu Duta Muzium Aceh, Ustaz Mujiburrizal memberikan pengumuman.


Sebenarnya semua hadirin HIKMAH Aceh telah dijemput makan di kediaman rasmi Gabernor Aceh.


Gabernor ini adalah ibarat Menteri Besar di Kelantan atau Ketua Menteri di Melaka. Kami sedang diraikan pihak tertinggi sebuah negeri.


Cuma Gabernor yang dijadualkan makan bersama tidak dapat serta kerana kurang sihat setelah sibuk menjalankan tugas. Tak mengapa, Mujib yang bertindak sebagai pengacara semasa acara HIKMAH di Muzium Aceh pandai mengendalikan majlis. Beliau membuka cerita-cerita berkenaan sejarah, budaya dan perjuangan melestarikan kedua-duanya juga tentang agama.














Selepas itu tuan Teuku Zulkarnain dari jabatan budaya dan pelancongan Aceh memberikan sedikit ucapan mewakili jabatan juga kerajaan malah gabernor sendiri. Sebagai pemegang jawatan adat turun-temurun Raja Nagan iaitu raja bagi negeri Nagan yang terletak di dalam Aceh Darussalam beliau juga mewakili warisan raja-raja Aceh mengalu-alukan kesemuanya terutama tetamu dari Malaysia.


Sebelum itu saya juga ada memberikan ucapan sebagai presiden dan pengasas HIKMAH.


Selepas itu adalah majlis bergambar...


Kami mengambil giliran dan tempat...








Kaum ibu juga tidak ketinggalan mengambil peluang.


Ini diikuti dengan sesi bergambar bebas. Sesungguhnya ini satu kenangan yang tidak boleh dilupakan. Jasa baik semua yang terlibat terutama kawan-kawan dari Aceh yang sudi menyambut rombongan dari Malaysia dengan penuh mesra adalah tanda hubungan Aceh-Tanah Melayu yang insyaallah akan berterusan lebih maju demi mendaulatkan Islam dari sebelah Timur. Amin. :]





Tuesday, April 29, 2014

HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Dari usaha awal di Shah Alam ke pelestarian sejarah di bumi Serambi Mekah

Hari ini 29 April 2014 genaplah sebulan acara diadakan. Bersambung dari HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Acara pun bermula...


Selepas rehat pagi acara pun diteruskan dengan sesi pembentangan.


Saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH membuka sesi dengan persembahan slaid/kertas kerja bertajuk "Pengenalan HIKMAH". Sempat mengambil beberapa gambar dari hadapan iaitu tempat saya membuat persembahan sambil menunggu paparan dari komputer riba muncul pada skrin projektor.


Ia menunjukkan ringkasan/kompilasi video acara pertama HIKMAH di Shah Alam, Selangor, Malaysia pada 4 November 2012 diikuti ringkasan/kompilasi 4 lagi acara terawal HIKMAH. Ini kerana "Pengenalan HIKMAH" ini sebenarnya adalah slaid yang saya gunakan untuk menceritakan kembali perjalanan HIKMAH... apabila ia kembali ke Shah Alam untuk acara ke-6 hampir 7 bulan lalu. Lihat Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013.


Sambil menayangkan video saya juga menceritakan bagaimana setiap acara boleh tercetus. Tentunya lebih banyak diceritakan tentang usaha awal di Shah Alam. Kerana tanpa acara pertama, bagaimana boleh muncul yang lain-lainnya? Kiranya "Pengenalan HIKMAH" adalah ringkasan untuk penceritaan berikut :-








Walaupun HIKMAH sudah masuk acara ke 10 apabila diadakan di Aceh tak perlulah saya bercerita panjang lebar tentang kesemuanya. Cukuplah setakat diceritakan 5 acara terawal. Selepas itu sesi diserahkan kepada pembentang kedua, saudara Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh), sebuah NGO sejarah dan budaya Aceh.


Beliau merawikan isi kitab Bustanus Salatin karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri abad ke 17 Masihi. Dengan gaya penglipur lara isi yang berkaitan hubungan Aceh dengan Malaysia disampaikan begitu lancar tanpa perlu merujuk pada apa-apa teks mahupun slaid atau bahan bacaan sisi.











Selepas itu sampai giliran tuan Teuku Zulkarnain dari jabatan budaya dan pelancongan Aceh.


Beliau yang merupakan pemegang jawatan adat Raja Nagan, raja bagi negeri Nagan, sebuah negeri di bawah kerajaan Aceh Darussalam memilih untuk membuat persembahan dari tempat duduk.



Ia adalah tentang usaha-usaha pelestarian tempat-tempat bersejarah di Aceh. Turut dipaparkan adalah pembabitan terus beliau dalam majlis beradat di tempatnya di Nagan di mana beliau diiring para panglima selayaknya seorang raja.





Tiga orang pembentang kemudian duduk bersama di hadapan untuk sesi soal jawab. Turut bersama duta Muzium Aceh, Ustaz Mujibburizal merangkap pengacara majlis.


Selepas itu adalah rehat makan tengah hari dan Zuhur.








Walaupun majlis boleh diteruskan hingga ke petang jika mahu kami memutuskan untuk menundanya buat masa itu. Ini dibuat memandangkan cuaca selepas masuk Zuhur agak panas. Biarlah hadirin berehat dahulu di hotel dan sebagainya. Biar acara disambung dengan ziarah ke tempat-tempat bersejarah selepas Asar, ketika cuaca dijangka lebih redup. Lagipun akan ada acara makan malam yang gilang-gemilang...



Monday, April 28, 2014

HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Acara pun bermula

Salam sejahtera semua. Sampailah giliran untuk bercerita tentang acara HIKMAH Aceh @ HIKMAH X yang sudah berlangsung dengan jayanya sebulan lalu.

Pagi Sabtu 29 Mac 2014. Muzium Aceh berhampiran pusat Banda Aceh sudah sedia untuk menyambut majlis dan kedatangan peserta.


Sepanduk-sepanduk tentang acara terpampang di beberapa tempat. Orang sini memanggilnya sebagai Majlis Silaturrahim Aceh-Malaysia, ada yang menyebutnya sebagai Muhibbah Tamaddun Islam.


Pihak saya sendiri memanggilnya sebagai HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda. Ini kerana sambil datang untuk acara rombongan dari Malaysia turut mengambil peluang untuk menziarahi makam sejumlah tokoh-tokoh besar dalam sejarah Aceh.


Ada antara kami yang memiliki darah keturunan raja-raja di Aceh, ada yang berdarah keturunan ulamak. Maka pada saya sesuailah tajuk "Kembali ke Makam Nenda" itu, tajuk yang pernah difikirkan beberapa tahun lalu sebagai tajuk kecil jika novel bersiri "Berpetualang ke Aceh" yang diterbitkan 2006-2007 mahu disambung dengan buku keempat.


Mungkin faktor darah keturunan itu memudahkan kami diterima dalam majlis pertama HIKMAH di luar negara.


Pihak saya juga memanggil ini HIKMAH X kerana merupakan majlis ke-10 sejak HIKMAH diasaskan 12 Oktober 2012. Untuk pengetahuan X mewakili nombor 10 dalam sistem abjad Romawi. Kalau ada yang kata kenapa tak pakai sistem abjad atau pernomboran Arab? Jawab saya apa salahnya? Bukankah Nabi Muhammad SAW dahulu bermuamalat, membuat urus niaga menggunakan wang dinar Romawi? Lagipun huruf X juga boleh membawa makna X-faktor... satu faktor misteri.


Sesungguhnya memang ada faktor misteri yang menyebabkan acara demi acara HIKMAH dapat diadakan dengan jayanya tanpa menggunakan banyak wang atau cara/sumber kebiasaan mengadakan acara. Dari segi huruf biasa, HIKMAH di Aceh sebagai acara ke-10 pula seperti membawa kembali pada asas acara pertama yang dibuat di Shah Alam satu setengah tahun lalu... melalui faktor nombor 10 menjadi 1+0 menjadi 1. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


Apapun acara bermula dengan sambutan tarian tradisional oleh para penari dan ahli persatuan Komunitas Pakaian Adat Aceh.


Kumpulan inilah yang pertama kali menyuarakan hasrat agar acara HIKMAH dibawa ke Aceh. Lihat artikel Membawa HIKMAH ke Aceh yang ditulis pada ulang tahun ke-9 Aceh dilanda ombak besar Tsunami 26 Disember 2004. Mereka sendiri memulakan kumpulan melestarikan adat dan budaya setelah menyertai acara kedua HIKMAH di Melaka 25 November 2012. Lihat Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka


Komunitas Pakaian Adat Aceh inilah yang menyambut saya dan keluarga dengan penuh hormat di pengkalan mereka di Sigli beberapa hari sebelum acara. Lihat Sambutan Komunitas Pakaian Adat Aceh di Pidie. Untuk HIKMAH ini mereka mengetuai gabungan NGO-NGO  Aceh yang bersama mengemblengkan tenaga dan sumber untuk menjayakannya.














Selepas tarian, duta Muzium Aceh, Ustaz Mujiburrizal memberikan kata-kata aluan. Beliau bertanggungjawab membuat surat menyurat yang perlu untuk menjayakan acara.


Ustaz Mujib bertindak sebagai pengacara majlis selain orang tengah yang mempersatukan pelbagai NGO untuk memastikan kejayaan.


Adiknya (maaf saya tak ingat nama) kemudian mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.


Ini diikuti kata-kata aluan dari saudara Syahrial mewakili Komunitas Pakaian Adat Aceh.


Wakil dari jabatan kebudayaan dan pelancongan Aceh, tuan Teuku Zulkarnain memberikan kata-kata aluan bagi pihak kerajaan. Beliau yang memakai jawatan adat sebagai raja bagi negeri kecil Nagan, sebuah negeri bawahan Aceh Darussalam turut mewakili warisan raja-raja Aceh.


Sebelum itu saya sebagai presiden dan pengasas HIKMAH terlebih dahulu memberikan kata-kata. Teuku Zulkarnain mengakhiri ucapan dengan merasmikan majlis.


Doa selamat pun dibacakan.


Persembahan silat diadakan oleh seorang pesilat Aceh. Beliau menunjukkan permainan rencong, senjata unik orang Aceh.


Novelis Aceh, saudara Putra Gara kemudian memberikan sedikit sketsa sejarah hubungkait Aceh-Malaysia.


Ustaz Mujiburrizal dan 2 orang rakan mengadakan persembahan nasyid. Untuk pengetahuan beliau pernah bersama kumpulan Raihan dan Rabbani membuat persembahan di Malaysia. Kelihatan dalam gambar buku bertajuk "Aceh di Mata Dunia". Ia baru dihadiahkan kepada saya oleh penterjemahnya, saudara Haekal Afifa sebelum nasyid.





Kelihatan di kiri gambar satu lagi cenderamata yang saya terima. Ia dihadiahkan oleh gabungan NGO Aceh yang aktif melestarikan situs atau tapak-tapak bersejarah.


Selepas nasyid majlis berehat sebentar sambil memberi masa projektor dan skrin dipasang untuk sesi pembentangan. Sambil itu hadirin juga boleh bergambar. Ketika itulah Ustaz Mahyuddin yang bertanggungjawab mengatur kedatangan rombongan dari Malaysia menerima cenderamata berupa sebilah rencong. Rujuk artikel Ziarah rombongan Malaysia ke makam Sultan Malikus Saleh