Saturday, October 25, 2014

Masuk tahun baru Hijrah - 2 minggu lagi HIKMAH Pagoh



Salam Maal Hijrah. Hari ini Sabtu 25 Oktober 2014 masuklah tahun baru Hijrah yang ke 1436. Genap 2 minggu lagi akan diadakan acara ke-11 HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah I di Kampung Raja, Pagoh, Muar iaitu pada 8 November bersamaan 15 Muharram. Biar dimaklumkan lagi makam ini adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia hingga kini. Lain-lain makam Sultan Melaka tidak dapat dipastikan lagi letaknya di mana, sudah hilang tanda dirosakkan Portugis selepas masuk menjajah kota Melaka tahun 1511 Masihi.

Seperti biasa pembentangan ilmu berteraskan sejarah kajian anak Melayu akan diketengahkan untuk meningkatkan semangat perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam. Acara kali ini akan turut menyaksikan majlis hol  atau ulang tahun kemangkatan almarhum  yang ke-550 menurut kiraan Hijrah, berdasarkan perkiraan baru Melaka diasaskan tahun 1262 Masihi. Difahamkan ini adalah kali pertama hol diadakan untuk Sultan Alauddin sekurang-kurangnya dalam sejarah moden. Baginda boleh dikatakan simbol kekuatan dan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan kealiman dan kesolehan sehingga tertulis pada batu nesan sebagai seorang wali Allah yang terpilih.

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ada beberapa perkembangan yang memberangsangkan tentang acara. Satu, seorang pencari dan pengumpul matawang dari Kota Tinggi, Johor, Yang Mulia Raja Kamarazaman telah bersetuju untuk membentang bersama kertas kerja bertajuk "Kehilangan dinar Melaka - Usaha Meminggirkan Kuasa Ekonomi Sebenar Melayu?". Kurang 2 minggu lalu beliau berjaya menemukan berpuluh matawang lama dinar, dirham dan keton (syiling timah) kerajaan Johor Lama, pewaris empayar Melayu Melaka. Matawang  tersebut meliputi tempoh 1528-1760 Masihi dan ia akan dipamerkan semasa acara nanti.

Selain itu kami diberitahu, insyaallah satu rombongan dari Aceh akan datang menyerikan majlis. Ini diberitahu oleh Yang Mulia Teuku Raja Zulkarnain dari Dinas (pejabat) Kebudayaan dan Parawisata (pelancongan) Aceh beberapa hari lalu. Beliau yang turun memegang jawatan adat raja Nagan, sebuah negeri kecil bawahan Kesultanan Aceh tetapi meliputi wilayah lebih 2 kali ganda keluasan negeri Melaka pernah mewakili Gabernor Aceh menyambut rombongan dari Malaysia semasa acara ke-10 HIKMAH diadakan di Muzium Aceh, Banda Aceh 29 Mac lalu. Pada majlis makan malam di kediaman rasmi gabernor beliau memberitahu akan berusaha membawa rombongan 50 orang Aceh ke Malaysia jika ada lagi majlis seperti itu. Lihat artikel lama HIKMAH Aceh @ HIKMAH X - Diraikan Gabernor di kediaman rasmi.





Selain mengatur acara seperti dibincangkan pada artikel Mesyuarat penganjuran di Masjid Sultan Alauddin - Bersedia untuk menjayakannya saya juga dijadualkan membentang 2 tajuk kertas kerja. Sukacita dimaklumkan set slaid untuk satu kertas kerja berjaya disiapkan 2 hari lepas, tinggal sedikit kemas kini dari segi teks dan isi. Pembacaan/kajian yang perlu dibuat untuk kertas kerja lagi satu pula baru selesai sehari lalu, tinggal diterjemahkan menjadi slaid untuk ditambah pada sejumlah slaid yang sudah tersedia lebih awal. Lebih kurang sejam tadi pula baru saya mendapat ilham bagaimana mahu mengatur 6 tajuk kertas kerja pembentangan untuk mengisi dua sesi, tengah hari dan petang. Dengan itu biar ditunjukkan atur cara yang boleh dikira cukup lengkap...


        8 – 9  -  Kedatangan peserta/tetamu

        9 - 10 - Majlis hol almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah yang ke-550 

10 - 10.20  - Rehat/sarapan

10.20 – 11 -  Pembukaan :-

                  - Ucapan aluan oleh pengerusi jawatankuasa Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah I,
                    Tuan  Haji Hamzah Ali

                  - Ucapan aluan oleh ketua Kampung Raja, Tok Rahmat

                  - Ucapan aluan oleh presiden dan pengasas HIKMAH, Radzi Sapiee


      11 – 1 -  Sesi pembentangan tengah hari -

                     a. "Sultan Alauddin Riayat Syah - Wali Allah yang Terpilih" - Hasan Yusof, penulis buku "Sultan-sultan Soleh di Nusantara"

                     b. "Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"

                     c. "Kehilangan dinar Melaka - Usaha Meminggirkan Kuasa Ekonomi Sebenar Melayu?" - Raja Kamarazaman, pencari dan pengumpul matawang lama dan Norbaini Hassan, perunding dinar dan dirham


         1 – 2 - Rehat Zuhur/makan tengah hari


         2 - 4 -  Sesi pembentangan petang :-

                     a.  "Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Sambungan Aceh ke Muar" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"

                   b.  "Raja Temenggung Muar : Satu kaitan Aceh, Melaka lama dan beberapa kesultanan sekarang" - TunSuzana Tun Hj Othman, penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu"

                 c.    "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu" - Pelita Di Dalam Kaca, penulis novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafur


        4 - 4.45 - Rehat Asar/minum petang


 4.45 - 5.15 - Sesi berkumpulan“Mengangkat kembali kegemilangan Melayu Islam melalui contoh yang ditinggalkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah, wali Allah yang terpilih”

Hadirin boleh memilih untuk bersama salah satu daripada 10 kumpulan menurut minat untuk berbincang dan memberi maklum balas tentang topik. Setiap kumpulan dipimpin seorang moderator yang memiliki pengetahuan dan pengalaman dalam bidang. Kumpulan-kumpulan itu ialah :-

                        a. Perkerisan dan Persenjataan

                        b. Perubatan dan Pemakanan

                        c. Persilatan dan Siasah Perang

                        d. Busana Tradisional Melayu 

                        e. Kebudayaan,Tarian dan Wayang

                        f. Seni Ukiran/Khat 

                        g. Kitab/Buku/Sastera 

                        h. Keagamaan 

                        i. Keluarga dan Salasilah 

                        j. Ketamadunan dan Kerajaan


        5. 15 - Penutup - Setiap kumpulan diminta memberikan ringkasan maklum balas/dapatan sebelum presiden dan pengasas HIKMAH memberikan kata-kata akhir untuk menutup acara.



Dengan ini kehangatan acara semakin membara dan terasa. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-141 di blogspot ini. Peta dan panduan ke lokasi boleh dilihat dalam artikel Mesyuarat penganjuran di Masjid Sultan Alauddin - Bersedia untuk menjayakannya


Friday, October 10, 2014

Mesyuarat penganjuran di Masjid Sultan Alauddin - Bersedia untuk menjayakannya

Salam semua. Hari ini Jumaat 15 Zulhijjah. Genap sebulan selepas ini iaitu pada 8 Nov bersamaan 15 Muharram nanti akan berlangsunglah acara ke-11 HIKMAH insyaallah. Kerana mengikut kiraan Hijriah bulan Zulhijjah kali ini dijangka memakan masa cuma 29 hari.



Pada artikel Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu? yang dibuat awal pagi Rabu ada dinyatakan saya telah bermesyuarat di Masjid Sultan Alauddin iaitu di sebelah makam sultan. Mesyuarat tentang penganjuran majlis itu diadakan petang Isnin 6 Oktober bersamaan 11 Zulhijjah, sehari selepas sambutan Hari Raya Haji atau Aidil Adha. Tetapi  saya belum ada gerak untuk bercerita tentangnya kecuali apabila menulis artikel Video-video yang hilang - Angkat balik montaj... tengah hari Rabu, itupun sedikit dan berkenaan video. Sempena tarikh hari ini tepat sebulan sebelum acara eloklah saya membuka mulut lebih lanjut. Sambil itu boleh diceritakan beberapa perkembangan terkini dan tahap persiapan acara...

Mesyuarat dihadiri ketua kampung, imam dan bilal masjid, wakil pengurusan tanah perkuburan (kerana makam Sultan Alauddin dikira dalam tanah perkuburan walaupun terletak di laman masjid) dan beberapa pemuda anak Pagoh yang mewakili persatuan-persatuan belia tempatan. Saya memulakan dengan memperkenalkan HIKMAH, bagaimana ia bermula, aspirasi kami, konsep acara lalu menyebut acara-acara yang sudah dijayakan dahulu. Laptop atau komputer riba pun dibuka untuk menunjukkan montaj acara lama. Ketika itulah baru tersedar tidak ada satu pun montaj dalam komputer seperti disebut dalam Video-video yang hilang - Angkat balik montaj....

Nasib baik masih ada video-video versi panjang. Bolehlah ditunjukkan tetapi perlu fast forward selalu agar tidak terlalu lama. Mereka tiada masalah memahami kebiasaan cara kami membuat acara. Perbincangan pun menjurus pada sumbangan masing-masing untuk menjayakannya.

Secara rata masjid itu sendiri sudah cukup untuk menampung majlis sederhana besar. Dewan solat dalam boleh memuatkan 600 orang dan ini akan digunakan untuk membuat pembentangan ilmu. Projektor dan skrin boleh disediakan anak tempatan lalu disambung dengan sistem pembesar suara masjid. Serambi masjid boleh menampung ramai lagi hadirin, boleh juga digunakan untuk membuat aktiviti sampingan termasuk pameran barang-barang berkaitan tamadun Melayu dan Islam.

Oh. Tarikh mengadakan acara Sabtu 8 Nov 2014 bersamaan 15 Muharram 1436 Hijriah juga dipersetujui semua. Majlis hol atau ulang tahun kemangkatan almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah akan diadakan pada pagi hari diikuti pembukaan, pembentangan dan aktiviti berkumpulan sebelum penutup waktu petang. Pak Imam sudah bersetuju untuk memimpin hol dengan mengadakan tahlil juga bacaan Yasin beramai-ramai. Kata beliau setiap tahun masjid mengadakan Tahlil Perdana. Tetapi inilah kali pertama hol mahu diadakan untuk Sultan Alauddin di mana bacaan tahlil dan Yasin diadakan di luar berdekatan makam berbanding majlis biasa di dalam.

Apabila ditanya apakah ada VVIP atau VIP jawab saya tidak ada jemputan rasmi dibuat. Di kalangan yang menghadiri acara-acara HIKMAH sebelum ini pun terdapat orang-orang daripada golongan atasan termasuk para kerabat diraja tetapi mereka sudi datang duduk beramai-ramai bersama yang lain tanpa mengira pangkat mahupun darjat. Kami mahu meneruskan konsep ini kerana majlis dibuat untuk orang ramai, bukan menjaga hati beberapa golongan ternama. Kami tidak suka majlis 'disendatkan' dengan protokol maka kalau ada yang berdarjat mahu datang biarlah berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan semua.

Tentang belanja pula pihak masjid dan kampung akan menyediakan kemudahan termasuk khemah-khemah tambahan dan kerusi meja tanpa bayaran, HIKMAH akan menanggung belanja makan minum pagi, tengah hari dan petang para hadirin juga sejumlah homestay untuk menempatkan pembentang, urus setia dan sejumlah hadirin dari jauh. Pihak masjid dan kampung akan mendapatkan caterer yang sesuai, homestay juga akan ditentukan sebaik sahaja pihak kami mendapatkan anggaran lebih tepat berapakah jumlah hadirin, berapa ramai pula daripada tempat jauh. Anak-anak Pagoh sudi bergotong-royong untuk mendirikan khemah dan sebagainya, dijangka petang Jumaat iaitu sehari sebelum acara. Orang luar terutama kawan-kawan HIKMAH amat dialu-alukan membantu.

Atur cara mudah boleh disenaraikan begini :-



 8 – 9 : Kedatangan peserta/tetamu

9-10 : Majlis hol almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah yang ke-550 (mengikut kiraan Hijriah berdasarkan pentarikhan baru pengasasan Melaka 1262 Masihi)

10-10.20 – Rehat/sarapan

10.20 – 11 – Pembukaan

                  - Ucapan aluan oleh wakil masjid
                  - Ucapan aluan oleh ketua kampung
                  - Ucapan aluan oleh presiden HIKMAH

11 – 1 : Sesi pembentangan tengah hari

1 – 2 : Rehat Zuhur/makan tengah hari

2-4 : Sesi pembentangan petang

4-4.45 : Rehat Asar/minum petang

4.45-5.15 : Sesi berkumpulan – “Mengangkat kembali kegemilangan Melayu Islam melalui contoh yang ditinggalkan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah, wali Allah yang terpilih”

5. 15 - Penutup


Ketika mesyuarat diadakan kami baru ada 4 tajuk pembentangan. Dalam tempoh beberapa hari ini dah dapat lagi 2 tajuk, rasanya cukup. Pembahagian pembentangan pada sesi mana akan diputuskan kemudian. Tajuk-tajuk adalah :-



1.      "Raja Temenggung Muar : Satu kaitan Aceh, Melaka lama dan beberapa kesultanan sekarang" - TunSuzana Tun Hj Othman, penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu"


2.      "Sistem Pentadbiran Islam Moden di bawah Pemerintahan Raja-Raja Melayu" - Pelita Di Dalam Kaca (nama pena, nama betul saya tak tahu), penulis novel Baldatun Thoiyyibatun Warabbun Ghafur


3.      "Sultan Alauddin Riayat Syah - Wali Allah yang Terpilih" - Hasan Yusof, penulis buku "Sultan-sultan Soleh di Nusantara"


4.      "Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Sambungan Aceh ke Muar" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"


5. "Kehilangan dinar Melaka - Usaha Meminggirkan Kuasa Ekonomi Sebenar Melayu?" - Norbaini Hassan, perunding dinar dan dirham


6.  "Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang" - Radzi Sapiee, penulis trilogi novel "Berpetualang ke Aceh"





Untuk mereka yang tidak tahu lokasi acara iaitu di masjid dan makam Sultan Alauddin lihat peta Muar ini. Zoom in ke kawasan dalam kotak kuning iaitu di Pagoh...




Kelihatan Plaza Tol Pagoh. Masjid dan makam terletak sekitar 6 km dari tol, dalam kawasan kotak kuning. Zoom in lagi...




Kedudukan harus sudah cukup terang, Namun untuk mereka yang lebih selesa dengan peta ringkas sila rujuk di bawah. Jumpa kita insyaallah nanti ya...




Oh lupa nak cakap. Pihak masjid juga telah bersetuju untuk membenarkan para hadirin beriktikaf di masjid. Eloklah datang Jumaat malam Sabtu, malam bulan penuh 15 Muharram menginap di dalam masjid yang dipercayai didirikan di atas istana hinggap Sultan Alauddin, Mereka yang ingin membantu secara sukarela disarankan datang lebih awal agar dapat membantu kerja-kerja mendirikan khemah dan sebagainya petang Jumaat. Satu lagi, seperti pada acara-acara HIKMAH terdahulu siapa yang berminat untuk berniaga boleh datang ambil tapak percuma. Datang sahaja awal Sabtu dan dirikan gerai. Cuma kerusi meja sila sediakan sendiri. Yang ada pada kami diutamakan untuk kegunaan urusetia dan tempat makan.


Wednesday, October 8, 2014

Video-video yang hilang - Angkat balik montaj...

Merujuk pada artikel Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu? yang dipaparkan jam 12.08 tengah malam tadi. Hari ini timbul rasa untuk bercerita sedikit tentang apa yang berlaku semasa mesyuarat penganjuran HIKMAH Pagoh - Hol Almarhum Sultan Alauddin yang diadakan di masjid sebelah makam sultan petang Isnin. Tapi cuma mengenai hal video...



Saya datang ke mesyuarat membawa laptop atau komputer riba bersedia untuk menunjukkan paparan video acara-acara terdahulu HIKMAH. Fikir saya montaj (dari perkaraan Inggeris montage) memaparkan ringkasan-ringkasan daripada setiap 10 acara yang telah diadakan setakat ini telah tersimpan elok dalam fail yang dipanggil HIKMAHprocessed.



Bila masuk tengok-tengok masih ada satu lapisan fail. Patutnya kalau montaj sudah ditunjukkan thumbnail atau paparan kecil setiap video.



Masuk dalam fail pula tengok-tengok yang ada cuma video-video yang sudah disunting atau diproses tetapi belum digabungkan sambil diringkaskan menjadi montaj. Bila cari di tempat lain dalam laptop ternyata tiada video montaj. Yang ada cuma video yang sudah diproses. Itupun untuk acara 1-3 dan 7-10 HIKMAH, untuk acara 4-6 nampaknya dah hilang.

Nampaknya saya sudah tersilap persediaan. Tak dapatlah saya menunjukkan kepada mesyuarat bagaimana setiap 10 acara dapat dilangsungkan dengan jayanya. Yang dapat adalah paparan video diproses yang setiap satu memakan masa yang agak panjang. Untuk meringkaskan dan menjimat masa video harus 'dilompat-lompatkan' secara manual, main agak-agak...



Pagi tadi baru teringat untuk menyemak di dalam external drive. Tengok-tengok apa yang ada serupa dalam laptop. Apakah saya telah terpadam atau tidak sengaja terdelete video-video montaj? Saya pasti ada membuatnya untuk setiap 10 acara dan pernah memuatnaik kesemuanya ke Youtube.  

Tetapi itu pada komputer lama yang rosak teruk beberapa bulan lalu. Yang saya pakai sekarang adalah komputer lain yang dibeli second hand secara top up duit sambil menyerahkan komputer lama. Nampaknya saya terlupa nak back up. Yang ada dalam external drive  cuma video-video asal yang dirakam  dalam format Sony AVCHD Full HD lalu memakan ruang memory yang sangat besar. Nak proses balik jadi ringan dan mudah untuk tatapan ramai memakan banyak kerja dan masa. Nak diringkaskan jadi montaj perlu satu lagi lapisan kerja atau proses. Malas dah nak buat...

Nasib baik saya berjaya menemui montaj untuk acara 1-5 HIKMAH yang disediakan untuk ditunjukkan pada acara ke-6 di Perkampungan Hang Tuah, Kampung Duyung, Melaka penghujung 2013. Nasib baik juga memang semua 10 montaj pernah dimuatnaik ke Youtube, 5 bulan lalu... selepas siap memaparkan semua yang patut tentang acara ke-10 di Aceh penghujung Mac. Montaj-montaj ini dimuatnaik untuk dikongsikan dalam artikel HIKMAH berehat dan Faktor 131. Ketika itu saya berniat untuk berehat lama daripada terlibat dengan apa-apa acara mendaulatkan Melayu dan Islam... setelah membatalkan niat untuk bersara.

Kini keadaan telah memanggil saya untuk keluar daripada rehat. Dengan itu biar dikongsikan kembali semua montaj berserta link membawa kepada artikel kompilasi yang mengumpulkan semua artikel berkaitan bagi setiap acara. Selamat menonton dan/atau mengulangkaji... :]



















Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu?

Keadaan telah membawa saya untuk menulis panjang lebar tentang satu perkara di Facebook. Saya rasa elok dikongsikan di sini juga...






KEHILANGAN DINAR MELAKA - USAHA UNTUK MEMINGGIRKAN KUASA EKONOMI SEBENAR ORANG MELAYU?


Salam. Kalau ikut rancangan hari ini saya mahu berkongsi sedikit cerita tentang mesyuarat bersama jawatankuasa masjid, ketua kampung dan anak-anak tempatan di Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh, Muar petang semalam. Mesyuarat diadakan untuk menentukan gerak kerja dalam menjayakan acara ke-11 HIKMAH di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Syah iaitu di sebelah masjid, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia. Alhamdulillah hasilnya begitu baik. Semua pihak bersetuju untuk bekerjasama menjayakan acara pada Sabtu 8 Nov 2014 bersamaan 15 Muharram.

Namun sejak sampai ke rumah selepas tengah malam fikiran saya disibukkan dengan desakan hati untuk mengkaji kaitan Kaabah dengan Alam Melayu. Baru sebentar tadi pula saya dihubungi seorang rakan aktivis dinar dirham yang menyatakan masalah mencari bahan untuk membentang seperti diminta untuk acara. Saya telah meminta beliau berkongsi kajian terbaru tentang dinar dirham sambil memberikan fokus kepada dinar kesultanan Melaka. Malangnya beliau tidak dapat menemui sebarang dinar Melaka dalam simpanan apa-apa badan waima dari Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang memiliki rangkaian sekitar 30 buah muzium sekalipun.

Ini menimbulkan banyak persoalan dan boleh merencatkan pembentangan. Tetapi pada saya ada hikmahnya kerana ia boleh membuka sudut pandang baru dalam mengkaji evolusi ekonomi orang Melayu dahulu dan sekarang. Premis kehilangan dinar boleh membawa kepada penelitian persoalan kenapa dahulu Melaka pernah menjadi kuasa ekonomi besar peringkat dunia sehingga boleh menyaingi Venice, kota paling makmur di Eropah abad ke-15 tetapi sekarang orang Melayu terpaksa berpayung di bawah kuasa ekonomi orang lain yang bukan Islam. Hal ini malah terkait rapat dengan kemunculan wang fiat atau duit kertas berdasarkan fractional reserve banking system oleh penjajah Barat.

Untuk makluman para aktivis dinar dirham yang sejati iaitu mereka yang betul-betul mahu memartabatkan ekonomi Islam, bukan sekadar mencari peluang perniagaan menjual emas untuk memenuhkan poket sendiri sering menekankan bagaimana wang fiat dan sistem perbankan menjadi alat golongan elit yang didalangi kumpulan jahat Yahudi Zionis Illuminati untuk secara halus merompak hasil kerja rakyat. Seorang profesor ekonomi malah membuat kertas kerja menunjukkan bagaimana kemunculan sistem ini di Pulau Pinang sekitar 150 tahun lalu menjadi alat untuk pendatang bukan Islam merampas kekuasaan ekonomi daripada orang Melayu. Sila lihat  Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu.

Kehilangan dinar emas Melaka juga boleh diselarikan dengan cerita Sultan Alauddin yang hilang. Walaupun kitab Sulalatus Salatin yang dikenali ramai sebagai Sejarah Melayu menyebut baginda ketika nazak sempat berwasiat kepada puteranya Sultan Mahmud yang kemudian menaiki takhta, sebenarnya baginda tidak mangkat di Kota Melaka tetapi jauh di luar lingkungan kekuasaan pusat kerajaan iaitu di Pagoh, Muar. Sultan Alauddin sebenarnya mangkat akibat diracun tetapi ini tidak diceritakan di dalam kitab Sulalatus Salatin. Besar kemungkinan ia berlaku kerana permainan politik pihak tertentu yang mahu menaikkan Sultan Mahmud ke atas takhta. Ketika itu baginda masih budak kecil lalu pemerintahan sebenar dipangku orang lain. Walhal Sultan Alauddin ada seorang anak yang sudah cukup dewasa, Raja Munawar yang sedang memerintah di Kampar.

Sejarah telah menceritakan bagaimana Sultan Mahmud membesar menjadi seorang raja yang zalim, sering mengikut nafsu amarah sehingga membuka ruang untuk Melaka dijajah. Selepas itu berlakulah satu demi satu perkara yang akhirnya membawa kepada keadaan orang Melayu sekarang di mana ekonomi tanah air dikuasai bangsa lain yang bukan Islam, bangsa yang nampaknya sengaja dinaikkan oleh penjajah Barat sambil meminggirkan anak tempatan. Nampaknya kehilangan cerita sebenar Sultan Alauddin diracun dari kitab Sulalatus Salatin membawa maksud tersirat seperti halnya kehilangan dinar emas Melaka. Saya pun mencadangkan agar pembentangan diberi tajuk "Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu?".

Beliau pun bersetuju lalu terus memulakan penyelidikan. Dengan ini biar diumumkan, sahabat kami Puan Norbaini Hassan, perunding dinar dan dirham akan menangani tajuk tersebut. Beliau pernah membentang kertas kerja berkaitan pada acara ke-5 HIKMAH di Kuala Terengganu Jun 2013. Lihat HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham.


p/s : Gambar daripada Internet menunjukkan dinar dari kerajaan Samudera-Pasai, sekarang dalam Aceh. Sebagai pusat utama penyebaran Islam ke seluruh Asia Tenggara dan kuasa ekonomi tumpuan pedagang Islam sedunia yang lebih awal, kerajaan ini sering dirujuk Melaka untuk memutuskan persoalan-persoalan agama yang tidak dapat diselesaikan mereka. Ada kemungkinan Melaka menggunakan dinar Pasai untuk dagangan sehinggalah ia meningkat cukup pesat lalu dapat menerbitkan dinar sendiri. Malah ada kemungkinan Melaka itu sendiri naik setelah menerima mandat daripada Samudera-Pasai, satu-satunya kerajaan yang ia dan pengasasnya dikatakan mendapat mandat istimewa wasiat Nabi Muhammad SAW.