Wednesday, October 8, 2014

Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu?

Keadaan telah membawa saya untuk menulis panjang lebar tentang satu perkara di Facebook. Saya rasa elok dikongsikan di sini juga...






KEHILANGAN DINAR MELAKA - USAHA UNTUK MEMINGGIRKAN KUASA EKONOMI SEBENAR ORANG MELAYU?


Salam. Kalau ikut rancangan hari ini saya mahu berkongsi sedikit cerita tentang mesyuarat bersama jawatankuasa masjid, ketua kampung dan anak-anak tempatan di Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh, Muar petang semalam. Mesyuarat diadakan untuk menentukan gerak kerja dalam menjayakan acara ke-11 HIKMAH di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Syah iaitu di sebelah masjid, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia. Alhamdulillah hasilnya begitu baik. Semua pihak bersetuju untuk bekerjasama menjayakan acara pada Sabtu 8 Nov 2014 bersamaan 15 Muharram.

Namun sejak sampai ke rumah selepas tengah malam fikiran saya disibukkan dengan desakan hati untuk mengkaji kaitan Kaabah dengan Alam Melayu. Baru sebentar tadi pula saya dihubungi seorang rakan aktivis dinar dirham yang menyatakan masalah mencari bahan untuk membentang seperti diminta untuk acara. Saya telah meminta beliau berkongsi kajian terbaru tentang dinar dirham sambil memberikan fokus kepada dinar kesultanan Melaka. Malangnya beliau tidak dapat menemui sebarang dinar Melaka dalam simpanan apa-apa badan waima dari Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang memiliki rangkaian sekitar 30 buah muzium sekalipun.

Ini menimbulkan banyak persoalan dan boleh merencatkan pembentangan. Tetapi pada saya ada hikmahnya kerana ia boleh membuka sudut pandang baru dalam mengkaji evolusi ekonomi orang Melayu dahulu dan sekarang. Premis kehilangan dinar boleh membawa kepada penelitian persoalan kenapa dahulu Melaka pernah menjadi kuasa ekonomi besar peringkat dunia sehingga boleh menyaingi Venice, kota paling makmur di Eropah abad ke-15 tetapi sekarang orang Melayu terpaksa berpayung di bawah kuasa ekonomi orang lain yang bukan Islam. Hal ini malah terkait rapat dengan kemunculan wang fiat atau duit kertas berdasarkan fractional reserve banking system oleh penjajah Barat.

Untuk makluman para aktivis dinar dirham yang sejati iaitu mereka yang betul-betul mahu memartabatkan ekonomi Islam, bukan sekadar mencari peluang perniagaan menjual emas untuk memenuhkan poket sendiri sering menekankan bagaimana wang fiat dan sistem perbankan menjadi alat golongan elit yang didalangi kumpulan jahat Yahudi Zionis Illuminati untuk secara halus merompak hasil kerja rakyat. Seorang profesor ekonomi malah membuat kertas kerja menunjukkan bagaimana kemunculan sistem ini di Pulau Pinang sekitar 150 tahun lalu menjadi alat untuk pendatang bukan Islam merampas kekuasaan ekonomi daripada orang Melayu. Sila lihat  Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu.

Kehilangan dinar emas Melaka juga boleh diselarikan dengan cerita Sultan Alauddin yang hilang. Walaupun kitab Sulalatus Salatin yang dikenali ramai sebagai Sejarah Melayu menyebut baginda ketika nazak sempat berwasiat kepada puteranya Sultan Mahmud yang kemudian menaiki takhta, sebenarnya baginda tidak mangkat di Kota Melaka tetapi jauh di luar lingkungan kekuasaan pusat kerajaan iaitu di Pagoh, Muar. Sultan Alauddin sebenarnya mangkat akibat diracun tetapi ini tidak diceritakan di dalam kitab Sulalatus Salatin. Besar kemungkinan ia berlaku kerana permainan politik pihak tertentu yang mahu menaikkan Sultan Mahmud ke atas takhta. Ketika itu baginda masih budak kecil lalu pemerintahan sebenar dipangku orang lain. Walhal Sultan Alauddin ada seorang anak yang sudah cukup dewasa, Raja Munawar yang sedang memerintah di Kampar.

Sejarah telah menceritakan bagaimana Sultan Mahmud membesar menjadi seorang raja yang zalim, sering mengikut nafsu amarah sehingga membuka ruang untuk Melaka dijajah. Selepas itu berlakulah satu demi satu perkara yang akhirnya membawa kepada keadaan orang Melayu sekarang di mana ekonomi tanah air dikuasai bangsa lain yang bukan Islam, bangsa yang nampaknya sengaja dinaikkan oleh penjajah Barat sambil meminggirkan anak tempatan. Nampaknya kehilangan cerita sebenar Sultan Alauddin diracun dari kitab Sulalatus Salatin membawa maksud tersirat seperti halnya kehilangan dinar emas Melaka. Saya pun mencadangkan agar pembentangan diberi tajuk "Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu?".

Beliau pun bersetuju lalu terus memulakan penyelidikan. Dengan ini biar diumumkan, sahabat kami Puan Norbaini Hassan, perunding dinar dan dirham akan menangani tajuk tersebut. Beliau pernah membentang kertas kerja berkaitan pada acara ke-5 HIKMAH di Kuala Terengganu Jun 2013. Lihat HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham.


p/s : Gambar daripada Internet menunjukkan dinar dari kerajaan Samudera-Pasai, sekarang dalam Aceh. Sebagai pusat utama penyebaran Islam ke seluruh Asia Tenggara dan kuasa ekonomi tumpuan pedagang Islam sedunia yang lebih awal, kerajaan ini sering dirujuk Melaka untuk memutuskan persoalan-persoalan agama yang tidak dapat diselesaikan mereka. Ada kemungkinan Melaka menggunakan dinar Pasai untuk dagangan sehinggalah ia meningkat cukup pesat lalu dapat menerbitkan dinar sendiri. Malah ada kemungkinan Melaka itu sendiri naik setelah menerima mandat daripada Samudera-Pasai, satu-satunya kerajaan yang ia dan pengasasnya dikatakan mendapat mandat istimewa wasiat Nabi Muhammad SAW.


No comments:

Post a Comment